Monday, 5 November 2007

Rahsia disebalik kalimah Bismillah

Telah menjadi suatu kebiasaan di dalam penulisan kitab-kitab agama, penulis kitab akan membuka penulisan mereka dengan kalam Basmalah, kemudian dituruti bersama dengan selawat dan puji-pujian ke atas Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Terutamanya di dalam kitab-kitab syarah atau hasyiah yg dikarang oleh para ulama al-mutaqaddimeen, sebelum mereka mensyarahkan tentang isi kitab tersebut, terlebih dahulu mereka akan memulakan perbincangan dengan mensyarahkan hukum hakam yg berkaitan dengan BISMILLAH.

Oleh itu, terdapat 2 persoalan penting yg dibincangkan mengenai Basmalah ini, iaitu:

1. Mengapa penulis memulakan penulisan dengan Basmalah?

2. Bilakah keadaan yg dituntut & tidak dituntut untuk mengucapkan Basmalah?

Jawapan persoalan pertama:

Para ulama menyatakan bahawa memulakan penulisan dengan Basmalah adalah dengan tujuan Iqtidaa’ (mengikut atau menyontohi) dengan sesuatu yg telah dimulakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Kareem. Abu Bakr at-Tunisi telah menaqalkan bahawa telah menjadi ijma’ para ulama bagi setiap agama samawi(Islam, Yahudi & Nasrani) bahawa Allah SWT memulakan setiap kitab-Nya (Injil, Taurat, Zabur & Al-Quran) dengan Basmalah, berdasarkan kepada hadis:

كل أمر ذي بال لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أبتر أو أجزم أو أقطع

“Setiap pekerjaan yg tidak dimulai padanya dengan ucapan Basmalah, maka pekerjaan itu akan terpotong & terputus (iaitu cacat & kurang keberkatan)”

Perkataan أمر menunjukkan kepada keumuman pekerjaan termasuklah perbuatan, percakapan dan penulisan. WA

Jawapan kedua:

Walaupun kalimah أمر berbentuk umum, tetapi para ulama menyatakan bahawa di sana terdapat pengecualiaan terhadap tuntutan memulakan pekerjaan, percakapan & penulisan dengan Basmalah pd 5 keadaan:

1. Haram pada zatnya (dirinya) seperti zina, mencuri, merompak & sebagainya yg mana dalil pengharamannya thabit secara qat’ie di dalam al-Quran & sunnah nabi SAW.

2. Haram li ‘aridhi (haram disebabkan faktor luaran) seperti berwuduk dengan menggunakan air yg dirampas, sedangkan membaca Basmalah ketika hendak berwuduk pada asalnya merupakan salah satu dari sunat-sunat wuduk.

3. Makruh pada Zatnya seperti suami melihat faraj(kemaluan) isterinya tanpa sebarang sebab atau hajat.

4. Makruh li ‘aridhi seperti makan bawang & petai.

5. Berbeza ketika hendak membaca al-Quran, tidak disunatkan membaca Basmalah pada zikir semata-mata seperti “La ila ha illallah”. Begitu juga tidak disunatkan membaca Basmalah semata-mata ketika hendak mendirikan solat, kecuali kalau memulakannya dengan membaca surah al-Ikhlas sbg contoh, maka disunatkan membaca basmalah. Perkara nie banyak dilakukan masyarakat. Ia tidaklah haram, Cuma tidak disunatkan. WA.[1]

Hikmah dituntut memulakan pekerjaan dengan Basmalah:

Bukan setiap perkara yg Allah perintahkan dapat diketahui oleh manusia. Kadang-kadang ia merupakan perkara ta’abbudiyyah yg perlu kita laksanakan dengan penuh ketaatan. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kebesaran Allah SWT bahawa Dia memiliki ilmu yg sangat luas melampaui keluasan alam semesta, sehingga tidak terjangkau oleh akal manusia yg lemah & terbatas ini. Namun begitu, kadang kala Allah SWT membukakan pintu rahsia & hikmah di sebalik perintah dan ciptaanNya kepada para ulama & hambaNya yg beriman. Ini suatu kelebihan yg tidak semua manusia mampu memilikinya.

Berkenaan dengan Basmalah, di sana terdapat hikmah & rahsia mengapa kita dituntut untuk memulakan setiap pekerjaan dengan membacanya.

“Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

Kalau kita perhatikan, bukankah makna Basmalah ini seolah-olah seperti tergantung(tak sempurna)? Sebagai contoh kita sebut ‘dengan kerusi yg merah lagi kecil ini’ … bukankah tergantung maknanya? Ucapan seperti ini di dalam ilmu Balaghah dianggap sebagai ucapan yg tidak fasaahah kerana gagal memahamkan para audience. Namun begitu, adakah ini bermaksud bahawa kalam Allah SWT juga tidak fasaahah?

Bagi sesiapa yg pernah mempelajari ilmu Nahu bahasa arab, di dalamnya terdapat satu tajuk berkenaan dengan Harfu al-Jar seperti lam(ل), ba(ب), min(من) & sebagainya. Allah SWT memulakan kalimah Basmalah dengan huruf ba(ب) yg membawa maksud ‘dengan’. Mengikut kaedah nahu, huruf jar perlu dita’liq (bergantung) dengan fi’il (perbuatan) sebelumnya. Sebagai contoh, “Zaid pergi ke kedai dengan motor”. Dalam contoh ayat ini, ‘dengan’ bergantung dengan perbuatan ‘pergi’. Namun dalam ayat ini, kalimah ‘pergi’ disebut secara zahir. Tetapi berbeza dengan kalimah di dalam Basmalah … ia dimulakan dengan huruf ba tanpa didahului oleh sebarang kalimat yg menunjukkan kepada perbuatan. Justeru dalam hal ini, setiap orang yg ingin menyebut Basmalah, dia hendaklah mentaqdirkan (menganggap) di dalam hatinya dengan perbuatan yg ingin dia lakukan. Contohnya sekiranya zaid hendak membaca buku, maka zaid perlu nyatakan di dalam hatinya atau melafazkannya seperti ‘aku membaca buku Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Apakah hikmahnya?

Hikmahnya adalah supaya kita sentiasa bergantung kepada Allah SWT, Tuhan yg memiliki sekalian langit dan bumi. Kita perlu sedar bahawa apa yg kita lakukan adalah dengan Iradah dan Qudrat-Nya. Sekiranya Allah SWT tidak mengkehendaki kita melakukannya, walaubagaimana cara sekalipun usaha yg kita lakukan … perkara tersebut tidak akan terlaksana. Kerana segalanya di bawah kuasa Allah … yg merupakan Raja dan Pemerintah bagi setiap yg bernyawa dan yg mati. Allah telah bersaksi bahawa agamaNya tidak akan hilang & hapus dari muka bumi ini walaupun orang kafir dan musyrik membencinya.

"Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya"

(as-Shaff: 8)

Sekarang telah terbukti bahawa usaha yg selama ini mereka lakukan tidak berhasil. Mereka pernah meruntuhkan panji-panji Islam di Sepanyol suatu ketika dulu, tetapi hari ini suara Islam kembali kedengaran di sana. Rakyat beragama Islam menuntut hak mereka untuk mendirikan solat di masjid. Umat Islam bukan sahaja di Sepanyol, bahkan di negara-negara Eropah seperti England, Perancis dan sebagainya … jumlah mereka sudah semakin ramai. Di England, komuniti umat Islam merupakan komuniti kedua terbesar setelah Kristian. Gereja kosong … masyarakat Kristian tidak datang ke gereja lagi. Semangat keagamaan semakin hari semakin pupus di dalam diri mereka. Mereka mahu hidup bebas, menjadi atheis yg tidak mengenal tuhan. Gereja diambil alih & diganti menjadi masjid. Masjid-masjid tumbuh seperti cendawan. Ini membuktikan bahawa cahaya Islam sudah kembali menampakkan sinarnya dan akan terus terbit memancarkan cahayanya kepada seluruh alam.

Pejuang Islam dituduh zalim, terrorist dan penindas … mereka ditindas, dikecam dan dizalimi … tetapi ia tidak pernah memadamkan nama Islam dari peta masyarakat dunia, bahkan terjemahan al-Quran semakin banyak dicetak dek permintaan yg begitu tinggi dari masyarakat bukan Islam. Mereka ingin tahu Islam yg sebenarnya. Adakah benar ia ganas? Adakah benar ia zalim? Adakah benar ia mendiskriminasikan wanita? Jumlah manusia yg menganut Islam bertambah ramai … Allahu Akbar Allahu Akbar … suaran azan sayup-sayup kedengaran memanggil manusia …… Rumah Allah tidak pernah kosong dengan manusia seperti mana agamaNya tidak pernah kosong dari lambakan penganutnya.

Mengapa jadi begini..?

“Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang Mengaruniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki segala Keagungan, Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang membentuk Rupa, yang mempunyai asmaaul Husna. bertasbih kepadanya apa yang di langit dan bumi. dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

(al-Hasyr: 22-24)

Kerana Dia adalah Allah. Bukan patung, bukan binatang & bukan juga manusia … tetapi dia adalah Tuhan sekalin alam. Qudrat Allah tiada siapa yg boleh menandinginya ..
Jangan melihat kalimah Basmalah pada bilangan hurufnya, tetapi lihatlah pada besarnya maknanya …

“Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang … aku memulakan pembacaan”






[1] Tuhfatul Mureed li Jauharatit Tauhid, Syeikh Ibrahim al-Baijuri, m.s 9, cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

3 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah.. Terima kasih kerana mengingatkan..

Anonymous said...

salam~
mohon untuk share ya...
=)

Miss Phat said...

Good