Muqaddimah
Artikel yang saya sajikan ini adalah merupakan satu perkara yang sangat penting, yang berkait rapat dengan permasalahan yang sering dihadapi oleh para da’ie, yang saya kira memerlukan kepada penilaian semula atau muhasabah. Tambahan pula di saat umat Islam majoritinya berada di dalam kepompong kejahilan serta bilangan jemaah Islam yang pelbagai, para da’ie bukan sahaja berdepan dengan permasalahan dalam berdakwah bahkan permasalahan ini juga berlaku di kalangan jemaah-jemaah Islam itu sendiri.
Artikel ini pada awalnya saya namakan dengan istilah Mengapa Kita Masih Gagal, namun saya lebih selesa untuk menamakannya dengan istilah ‘ISLAM & PEMIKULNYA: Di Mana Kesilapan Kita?’. Ia bukanlah bertujuan untuk membawa para pembaca ke kandang pesalah tetapi dengan ungkapan yang lebih sesuai, agar para pembaca conscious dan realize dengan beberapa kelemahan yang berkemungkinan mereka tidak sedari. Kadang-kala kita sendiri tidak menyedari kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita. Dengan sebab itu Islam mewajibkan umat Islam yang lain untuk memberi peringatan di atas kelemahan dan kekurangan yang berlaku ke atas orang lain kerana hakikat makhluk itu sentiasa lemah, terlupa dan melakukan kesilapan. Di mana perkara ini kadang-kadang orang lain lebih mengetahuinya daripada empunya badan itu sendiri. Begitu juga jika hendak dibandingkan dengan perkara ini, kadang-kala para da’ie/jemaah tidak menyedari kelemahan yang ada pada mereka, tetapi orang yang berada di luar lebih mengetahuinya. Secara ringkasnya, dalam penelitian saya, terdapat beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian serius yang melibatkan permasalahan dakwah serta permasalahan yang berlaku sesama jamaah, di mana saya rasakan ianya menjadi faktor kepada kelemahan kita. Namun begitu, ia hanyalah sebuah penilaian dan bukanlah ketetapan yang mesti dipatuhi. Atas alasan ini, saya bersedia untuk menerima sebarang kritikan kerana selagi mana kita bergelar manusia, kita tidak dapat lari dari kesilapan dan kekurangan. Berkata Imam Malik:
كل أحد يؤخذ ويترك الا كلمه صلى الله عليه وسلم
“Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan ucapannya kecuali ucapan dia s.a.w (sambil menunjukkan ke arah kubur Nabi s.a.w)”
Saya akhiri muqaddimah ini dengan merakamkan ucapan Nabi Allah Syu’aib a.s yang tertulis di dalam al-Quran al-Karim:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
“Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkemampuan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNya jualah aku kembali” (Hud: 88)
1) Iman adalah kekuatan kita:
Umat Islam wajib menyedari bahawa agama Islam ini merupakan agama wahyu yang datangnya daripada Allah s.w.t. Ia bukanlah seperti agama-agama lain yang diasaskan oleh manusia hatta oleh para nabi a.s, sebaliknya oleh Allah s.w.t yang mencipta alam ini. Rasulullah s.a.w tidak pernah sesekali menyeru para pengikut dan umatnya agar menyembah dan melutut kepada baginda s.a.w, sebaliknya baginda memerintahkan umatnya hanya tunduk dan menyembah Allah s.w.t, tuhannya dan tuhan sekalian alam. Allah s.w.t berfirman:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ .اللَّهُ الصَّمَدُ .لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ .وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
“Katakanlah(wahai Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa. Allah yang dituju untuk meminta hajat. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang menyerupainya” (al-Ikhlas: 1-4)
Begitu juga dengan Rasul-rasul dan nabi-nabi a.s yang lain, mereka menyeru kaumnya kepada tuhan yang satu, iaitu Allah s.w.t. Perkara inilah yang menjadi nadi perjuangan para nabi a.s sehinggalah kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Inilah asas yang dibina oleh Rasulullah s.a.w sehingga terbentuknya generasi awal yang unggul yang tidak dapat ditandingi sehingga bila-bila. Rasulullah s.a.w bersabda:
خير أمتي القرن الذي يلونهم ثم الذي يلونهم ثم الذي يلونهم
“Sebaik-baik umatku ialah zaman yang mengikutiku, kemudian yang mengikut mereka, kemudian yang mengikut mereka”
الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
“Kebenaran itu adalah dari Tuhan kamu, maka janganlah kamu tergolong di dalam golongan orang yang ragu-ragu” (al-Baqarah: 147)
Kerana imanlah para sahabat yang hanya berjumlah 313 mampu mengalahkan tentera kuffar seramai 1000 orang di dalam perang Badr. Kerana iman jugalah umat Islam dapat menyayingi kuasa besar Rom dan Parsi. Kerana imanlah, terciptanya pelbagai penemuan sains dan teknologi dan kerana iman jugalah kota Konstantinapol mampu dijatuhkan oleh sebaik-baik Jundullah. Imanlah yang membawa jasad-jasad dan fikiran mereka dan imanlah yang membuatkan mereka melayari bahtera lautan, hutan belantara dan ribut pasir kerana merasa bertanggungjawab untuk menyeru manusia ke arahnya. Apabila membiarkan dan berdiam diri, seolah-olah membiarkan agama lain menguasai dunia kepada selain Allah s.w.t. Inilah keajaiban iman yang mereka pegangi dan menjadi senjata keunggulan bagi seluruh umat Islam yang meyakininya.
Malangnya, keyakinan seumpama ini tidak lagi wujud di dada-dada umat Islam hari ini secara amnya. Mereka lebih meyakini barat daripada beriman kepada Allah. Mereka labih meyakini keputusan saintifik daripada kalam-kalam Allah. Mereka menghina Islam kerana mereka tidak punya iman. Mereka memuja-muja barat kerana mereka tidak punya iman. Mereka melanggari hukum-hakam dan perintah Allah dan RasulNya kerana mereka tidak punya iman. Kesannya, lahirlah manusia yang bernama Islam tetapi hati dan perbuatan mereka tidak ubah seperti Jahiliah. Perbuatan zina dan minum arak semakin berleluasa. Percampuran lelaki dan perempuan dianggap biasa dan normal. Lebih dahsyat lagi, mereka menganggap seruan-seruan yang memanggil mereka kembali kepada Islam seolah-olah satu panggilan asing yang menyeru mereka kembali ke zaman purba dan primitif. Wanita yang menutup aurat dengan rapi dianggap pelik dan asing. Lelaki yang memakai jubah atau kofiah dilihat janggal dan menakutkan. Dengan kata lain, mereka dianggap sebagai golongan yang tidak mengikuti perkembangan semasa (Manusia menjadi musuh terhadap apa yang mereka tidak ketahui). Mereka bersikap demikian kerana mereka menganggap bahawa kehidupan dunia adalah segala-galanya, tiada kaitan dengan kematian dan hari akhirat. Dunia dijadikan tempat untuk berseronok semata-mata, tempat untuk memuaskan hawa nafsu dan mencari kepuasan tanpa batasan. Inilah pengaruh Jahiliah dan kekafiran yang menusuk masuk di dalam jiwa mereka. Allah berfirman:
زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آَمَنُوا وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendakiNya tanpa batas”. (al-Baqarah: 212)
Perkara seperti ini juga tidak akan berlaku sekiranya mereka mengetahui betapa jelik dan hinanya menjalani kehidupan Jahiliah. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:
لا يعرف الاسلام من لا يعرف الجاهلية
“Seseorang tidak akan mengenal Islam sekiranya dia tidak mengenali Jahiliah” (Muhammad Qutb: Perlukah Menulis Ulang Sejarah Islam, cetakan Dar al-Fikr)
Perkara ini sama sekali berbeza ketika para sahabat diperintahkan oleh Allah supaya meninggalkan arak, setelah diberikan peringatan secara berperingkat-peringkat (tadarruj), serta merta mereka meninggalkannya tanpa bersoal dan bertangguh. Sesungguhnya orang-orang yang mempunyai iman di hatinya, apabila mereka diperintahkan oleh Allah dengan sesuatu perintah, mereka akan mengucapkan:
سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا
“Kami dengar dan kami patuh” (an-Nur: 51)
Ini kerana di hati mereka terdapat perasaan gentar terhadap Allah s.w.t dan mereka percaya bahawa di akhirat kelak mereka akan dipersoalkan. Inilah bukti kekuatan iman yang ada di dalam dada-dada mereka sehingga sekiranya mereka melakukan kesilapan, mereka sanggup dihukum di dunia ini daripada dihukum oleh Allah di akhirat kelak.
Sesungguhnya, mengimani perkara ghaib adalah salah satu bukti keimanan seseorang muslim seperti wujudnya Allah dan para malaikat, syurga dan neraka, kebenaran kitab-kitabNya, pahala dan dosa, keadilan Islam dan pemerintahannya. Allah berfirman:
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ
“Orang-orang beriman dengan perkara ghaib …” (al-Baqarah: 3)
Dalam erti kata yang lain, pembangunan Islam itu berteraskan kepada keimanan di mana melakukan apa yang disuruh mendapat pahala dan melakukan apa yang dilarang mendapat dosa. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui perkara ghaib dan inilah salah satu tanda kebesaran Allah s.w.t yang perlu kita imani. Allah s.w.t berfirman:
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ
“Dialah Allah, yang tidak ada tuhan kecuali Dia, mengetahui yang ghaib dan yang nampak, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang” (al-Hasyr: 22)
Diriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a di mana beliau berkata: “…barangsiapa yang memberitahu kamu bahawa dia (Muhammad) mengetahui perkara-perkara ghaib, maka dia sebenarnya telah berdusta …” (Hadis riwayat Bukhori)
Kisah Isra’ dan Mi’raj merupakan teladan agung yang perlu diambil perhatian oleh seluruh umat Islam. Sesungguhnya inilah kesaksian yang membuktikan kekuasaan dan ke-Esaan Allah s.w.t terhadap hamba-hambanya. Maka, umat Islam wajib mengimani perkara ini sebagai salah satu tanda kekuasaan Allah s.w.t.
Oleh itu, para da’ie khususnya harus melihat isu aqidah dan iman ini sebagai isu pertama yang mesti diselesaikan dalam tugas-tugas mereka kerana asas pembangunan Islam itu dibina dengan kekuatan iman yang tertanam di dada-dada pengamalnya. Lakukanlah seperti mana yang telah Rasulullah tekankan kepada para sahabat melalui sabdanya:
جددوا امانكم .قيل: كيف ننجد اماننا؟ قال: أكثروا من قول لا اله الا الله
“Perbaharuilah iman-iman kamu.
Walaupun para sahabat merupakan generasi yang terbaik, namun mereka tetap diminta oleh Rasulullah supaya memuhasabah diri mereka dengan keimanan.
Justeru, serulah mereka kepada Allah dengan iman yang benar dan bersih. Tanamkan permikiran mereka dengan keyakinan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kekuasaan Allah dan kesan-kesan orang yang melanggari perintahNya. Tanamkan permikiran mereka dengan bahaya neraka dan cintakan nikmat syurga. Namun begitu, janganlah menyeru mereka dengan semangat kepartian, organisasi, keramat syeikh-syeikh dan tok-tok guru. Kerana ianya diibaratkan seperti pokok besar yang reput akarnya. Oleh yang demikian, apa gunanya Islam tanpa tertanamnya roh keimanan?
0 comments:
Post a Comment