5) Bersatu dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang diperselisihkan:
Perbezaan pendapat di antara manusia merupakan sebab mengapa Allah menciptakan manusia dengan potensi, kebolehan dan kemahuan yang berbeza. Islam menghargai perbezaan pendapat walaupun dalam perkara agama asalkan ia bukan dalam perkara-perkara qat’iyah dan akhlak. Perbezaan pendapat sebenarnya membawa rahmat dan kebaikan, kerana melaluinyalah akan munculnya banyak permikiran dan pendapat. Prof. Dr. Yusuf Qardhawi menyebutkan 3 faktor mengapa berlakunya khilaf di kalangan fuqaha’; Tabiat Manusia, Tabiat Bahasa dan Tabiat Alam Kehidupan.
Adapun tabiat manusia ini sentiasa berbeza-beza walaupun jika dibandingkan dengan dua adik-beradik kembar seiras. Pasti keduanya mempunyai perbezaan dalam menilai satu perkara yang serupa. Perkara ini apatah lagi akan berlaku bagi manusia yang tiada pertalian darah. Oleh itu, melihat kepada realiti ini, sekiranya terdapat usaha untuk mempersatukan manusia di dalam satu pola permikiran dan pendapat, ia merupakan suatu usaha yang teramat sia-sia dan tidak akan terjadi. Kerana ia merupakan fitrah kejadian manusia yang sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Bahkan sekiranya diteliti, perbezaan seumpama ini merupakan suatu kekayaan dan menunjukkan betapa Allah s.w.t ini Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah s.w.t berfirman:
وَمِنْ آَيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaannya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (ar-Rum: 22)
Dalam kepelbagaian ciptaan manusia ini, ada di antara mereka yang cenderung kepada sikap yang tegas.
Dalam soal permikiran, kita dapat melihat perbezaan di antara Saidina Umar r.a dan anaknya Ibnu Umar r.a. Saidina Umar al-Khattab dikenali sebagai khalifah yang banyak melalukan ijtihad di zamannya. Manakala anaknya, Ibnu Umar r.a lebih berhati-hati dalam mengikut sunnah Nabi s.a.w dan tidak cenderung untuk berijtihad. Begitu juga perbezaan di antara Imam Hanafi dan Imam Malik. Imam Hanafi lebih banyak menggunakan ijtihadnya dalam mengeluarkan sesuatu hukum dan banyak berijtihad dalam perkara-perkara yang masih belum berlaku. Dengan metodologinya itu membuatkan beliau dikenali dengan Ahlur Ra’yi. Manakala Imam Malik lebih berbeza dengan Imam Hanafi sehingga beliau digelar Ahlul Hadis dan tidak cenderung untuk berijtihad terhadap perkara-perkara yang belum berlaku.
Justeru, manusia memang dijadikan Allah s.w.t dalam beragam-ragam. Oleh itu, keragaman itu harus dihargai oleh sesama manusia dengan cara yang baik.
Begitu juga dengan tabiat bahasa. Hasil dari tabiat manusia yang suka berbeza pendapat, maka dengan wujudnya bahasa-bahasa yang indah dan seni akan menimbulkan perbezaan dari segi penafsirannya pula. Apatah lagi dengan tabiat bahasa al-Quran yang diciptakan dengan ketinggian sasteranya yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang Arab sendiri tanpa didasari dengan ilmu, yang mempunyai ketinggian balaghahnya, Nahu dan Sarafnya, pasti memerlukan kepada kepakaran dan ilmu yang mendalam untuk mengetahui isi tersirat dan tersurat yang terkandung di dalam kalam pencipta Alam ini. Malah ia tidak akan dapat ditiru dan dipalsukan oleh ahli syair dan pakar bahasa terkemuka dunia sekalipun. Allah s.w.t berfirman:
وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu
Inilah keajaiban al-Quran yang masih dan akan tetap terpelihara biarpun diturunkan 1400 tahun yang lalu.
Begitu juga dengan tabiat alam, yang diciptakan berbeza-beza mengikut tempat dan suasananya, pastinya memerlukan kepada pendapat dan permikiran yang berbeza-beza seperti keadaan di barat dan di timur.
Namun begitu, adakah perselisihan pendapat ini menandakan umat Islam dalam kemusnahan dan perpecahan? Selagi mana perselisihan pendapat itu berkisar di sekitar perkara ilmiah dan permikiran, bukan di atas perkara qat’iyah dan akhlak, perselisihan tersebut dianggap satu rahmat dan kemudahan bagi umat Islam. Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:
ما يسرني أن أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يختلفوا, لأنهم لو لم يختلفوا لم يكن لنا رخصة
“Aku tidak senang sekiranya para sahabat Rasulullah s.a.w tidak berselisih pendapat kerana sekiranya mereka tidak berselisih pendapat, maka tidak adalah kesenangan dan kemudahan bagi kita” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Madkhal sebagaimana di dalam Faidhul Qadir dan Ibnu Abdil Barr di dalam Jami’ul Bayanil Ilmi)
Apakah sebenarnya yang cuba dimaksudkan dengan kata-kata Khalifah Umar tersebut? Perselisihan yang dianggap oleh beliau adalah perselisihan hanya dalam perkara-perkara ilmiah dan permikiran, bukan dalam perkara qat’iyah dan akhlak. Ini dapat disokong dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud:
سمعت رجلا قرأ أية وسمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ خلفها فأخبرته فعرفت في وجهه الكراهة. فقالا: )كلاكما محسن ولا تختلفوا, فان من كان قبلكم اختلفوا فهلكوا(
“Aku mendengar seorang lelaki membaca sebuah ayat tetapi berbeza dengan apa yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w. Lalu aku memberitahu kepadanya(Rasulullah). Maka aku lihat diwajahnya tanda kebencian lalu bersabda: Keduanya adalah baik dan janganlah kamu berselisih. Kerana orang-orang sebelum kamu binasa kerana mereka selalu berselisih.” (Hadis riwayat Bukhori)
Ibnu al-Wazir berkata berkaitan dengan hadis ini: “Perselisihan yang dilarang dan akan membawa kehancuran adalah perselisihan yang diiringi dengan permusuhan. Adapun perselisihan yang tidak diiringi dengan permusuhan, telah diterima oleh Nabi s.a.w. Tidakkah Nabi s.a.w bersabda kepada Ibnu Mas’ud: Keduanya adalah baik” (As-Sofwah al-Islamiyyah baina al-Ikhtilaf al-Mashru' wal Tafarruqil Mazmum , Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi)
Seperti mana yang dijelaskan oleh Ibnu al-Wazir sebagai perpecahan yang membawa kehancuran itulah yang ditegah dan dibenci oleh Rasulullah s.a.w. Allah juga berfirman:
“Dan berpeganglah pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah” (ali-Imran: 103)
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Dan janganlah engkau menjadi seperti mereka yang berpecah belah dan berselisih sesudah datang kepada mereka keterangan, dan mereka akan mendapat siksa yang dahsyat” (ali-Imran: 105)
Namun, setelah melalui beberapa pengalaman bersama orang Islam, orang-orang Barat mula menyedari bahawa umat Islam tidak boleh dikalahkan melalui peperangan fizikal. Lalu mereka
وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
“Dan janganlah kamu berpecah belah kerana nanti kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu …” (al-Anfal: 46)
Kini telah terbukti bahawa umat Islam berada di tahap yang menghinakan. Kita tidak lagi berselisih dalam perkara yang dibenarkan tetapi lebih banyak berselisih dalam perkara yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya. Benarlah apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a ketika membuka Palestin:
“Kita dimuliakan dengan Islam. Namun sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam kita akan mendapat kehinaan daripada Allah s.w.t”
Oleh yang demikian, menyedari hakikat ini marilah kita mengambil ungkapan yang diungkapkan oleh Sheikh Rasyid Redha di dalam tafsirnya, al-Manar:
نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه
“Saling tolong-menolonglah dalam perkara yang kita sepakati dan bertoleransilah dalam perkara yang kita perselisihkan”
Inilah pegangan para salaf as-soleh r.a dalam menjalankan tugas dakwah mereka. Mereka juga berselisih pendapat, tetapi mereka tetap berkasih sayang. Mereka juga berkhilaf dalam sesetengah perkara, tetapi mereka tidak berpecah dan benci-membenci. Bahkan khilaf yang berlaku dikalangan mereka menjadi sumber hukum dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam dan akhlak mereka tetap dicontohi sehingga ke hari ini. Mereka bersatu dalam perkara yang mereka persetujui dan mereka saling maaf-memaafkan dalam perkara yang mereka perselisihkan. Buktinya, lihatlah diri kita sendiri yang berada dalam nikmat iman dan Islam hasil dari jihad dan pengorbanan mereka. Islam tidak menggalakkan kita berbangga dengan sejarah Islam yang silam tetapi Islam mewajibkan kita melihat sejarah sebagai panduan menuju kejayaan kerana “di dalam sejarah itu terdapat pelajaran dan rugilah bagi mereka yang tidak mengambil pengajaran daripadanya”.
Ketika ada orang bertanya kepada Imam Hassan al-Banna mengenai perbezaan pendapat dalam masalah solat terawih: samada dilakukan dua puluh rakaat, seperti yang dikerjakan di Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi, seperti mazhab Empat, atau dilakukan sebanyak lapan rakaat sahaja, seperti sikap sebahagian kaum Salafi? Orang-orang kampung yang berselisih faham tersebut hampir saling memerangi dan berperang antara satu sama lain kerana masalah ini. Jawapan yang diberikan oleh Imam Hassan al-Banna ketika itu adalah:
“Solat terawih hukumnya sunnah; kesatuan, ukhwah dan persaudaraan sesama kaum Muslimin hukumnya adalah fardhu. Oleh kerana itu, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah, tanpa saling bertengkar dan bermusuhan adalah lebih baik dan lebih sesuai”. (Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, Fiqhul Aulawiyyat)
Imam Ibn Taimiah berkata:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada seorang pun daripada imam-imam – yang diterima oleh umat dengan penerimaan yang baik – sengaja menyalahi Nabi s.a.w. pada sesuatu daripada sunnah baginda, secara halus atau terang”. (Raf’ul Malam ‘an Aimmatil ‘Alam)
Oleh itu, marilah kita menyusun langkah dan memperbaharui matlamat perjuangan kita. Adakah selama ini kita berjuang untuk memenangkan jemaah dan organisasi yang kita dokongi atau bermatlamatkan kejayaan Islam di masa hadapan? Andalah orang yang menentukannya. Walaupun kita berbilang jamaah, anggaplah kita semua sebagai satu anggota tubuh badan dan bukan dua atau tiga. Anggaplah perbezaan ini sebagai satu pelengkap kepada kelopongan, kekurangan dan kelemahan yang ada. Janganlah kita merasa cemburu dan iri hati di atas kekuatan jemaah lain sebaliknya kita membantu mereka sekiranya mereka memerlukan bantuan. Inilah yang dilakukan oleh golongan Ansar kepada golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinah. Ambillah pengajaran daripadanya.
0 comments:
Post a Comment