Tuesday, 26 June 2007

ISLAM & PEMIKULNYA: Di Mana Kesilapan Kita?

3) Islam adalah agama kesatuan, ukhwah dan kasih sayang:

Islam membangunkan masyarakat berlandaskan kepada asas ukhwah dan perpaduan sesama umat. Tujuannya adalah supaya tiada lagi ruang untuk berlakunya perpecahan dan permusuhan yang disebabkan oleh etnik, bangsa, agama, taraf sosial atau mazhab kerana ia sama sekali dibenci oleh Allah. Saidatina Aisyah meriwayatkan hadis daripada Nabi s.a.w di mana baginda bersabda:

أبغض الرجال الى الله الا الد الخصم

“Orang yang sangat dibenci oleh Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam menegaskan bahawa semua manusia adalah bersaudara. Semuanya sama-sama merupakan anak cucu Adam. Ini jelas, sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya Tuhan kamu satu dan orang tua kamu satu” (Hadis Riwayat Ahmad)

Islam meletakkan kedamaian dan kasih sayang di atas segala-galanya, hinggakan orang bukan Islam atau hamba abdi pun harus dilindungi. Tuan hamba harus melindungi hambanya seperti mana dia melindungi keluarganya sendiri. Mereka harus diberi makan seperti apa yang mereka makan dan mereka mesti diberi pakaian seperti apa yang mereka pakai. Walaupun mereka dimiliki, namun mereka tidak boleh dipaksa untuk disetubuhi sekiranya mereka enggan untuk menerimanya.

Tindakan seumpama ini merupakan salah satu daripada bentuk ibadah kerana melindungi dan memberi kasih sayang sesama manusia merupakan satu perkara yang amat dituntut oleh Islam. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membangunkan generasi sahabat dengan semangat ukhwah Islamiah dan kasih sayang. Soal etnik, taraf sosial, kedudukan dan pengaruh diketepikan, lalu digantikan dengan semangat ta’awun ‘ala at-taqwa. Buktinya, ketika mendirikan Masjid Nabi di Madinah, Rasulullah dan para sahabat sama-sama bergotong-royong untuk membangunkannya tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Mereka juga sanggup melepaskan isteri-isteri mereka untuk dikahwinkan dengan para sahabat yang lain atas dasar iman dan ukhwah di antara mereka.

Ustaz Jalal al-‘Alim mengambil beberapa pandangan dari beberapa tokoh bukan Islam yang mengakui kekuatan kesatuan Islam, antaranya Paderi Simon berkata: “Sebenarnya, kesatuan umat Islam berjaya menyatupadukan cita-cita umatnya dan boleh membantunya untuk membebaskan dirinya dari kekuasaan barat.”

Selain itu, Lawrence Brown juga pernah berkata: “Sekiranya seluruh orang Islam di Negara-negara Arab bersatu sesama mereka, maka ini boleh menjadi satu kecelakaan ke atas dunia, atau satu kebaikan. Namun sekiranya mereka berpecah belah, maka mereka tidak mempunyai nilai dan tiada kekuatan serta kesan” (Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya, Ust Jalal al-‘Alim)

Kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 memang disebabkan oleh hilangnya rasa kesatuan, ukhwah dan kasih sayang sesama Islam sebaliknya diselubungi oleh rasa benci dan dengki disebabkan oleh pengaruh semangat kebangsaan. Orang Mesir merasakan bahawa mereka adalah Mesir sahaja dan tidak Hijaz. Orang Malaysia merasakan mereka hanya Malaysia sahaja dan tidak Indonesia. Semangat persaudaraan yang selama ini dipupuk oleh Rasulullah s.a.w musnah dan rosak dengan ideologi kebangsaan yang disuntik oleh Barat. Sedangkan Rasulullah s.a.w menekankan konsep ukhwah dan persaudaraan ini sebagai satu perkara yang berkaitan rapat dengan iman:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

“Tidak beriman seseorang selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri” (Hadis riwayat Bukhori)

Ketika sebuah negara Islam sedang diceroboh dan diperangi oleh musuh, berjihad bukan sahaja menjadi fardhu ‘ain kepada penduduk negara tersebut bahkan juga kepada negara-negara Islam yang berdekatan dengannya. Bagi negara Islam yang tinggal jauh daripadanya, maka mereka berkewajipan untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka yang sedang diperangi. Bahkan sekiranya segelintir umat Islam dijadikan sebagai tebusan dan dinding oleh musuh untuk menceroboh negara Islam, mereka dibenarkan untuk dibunuh bersama-sama dengan musuh-musuh Islam semata-mata untuk mempertahankan agama, negara dan majoriti umat Islam yang berada di dalamnya. Sehingga ke tahap ini Islam begitu menitik beratkan soal perpaduan dan kebersamaan. Islam menolak prinsip perkauman dan kekitaan yang di bina di atas prinsip asobiah dan qabilah. Bahkan Islam membawa prinsip tauhid yang menjadi asas pegangan penganutnya. Prinsip yang meletakkan bahawa semua manusia berkedudukan sebagai hamba dan Allah yang menjadi Tuhan yang hanya sanya perlu diagung dan diEsakan.

Selain itu, Islam menerima permikiran yang berkembang dengan permikiran, sedangkan kekaburan dibalas dengan hujjah. Islam tidak pernah memaksa orang lain untuk memeluk agama Islam, dan tidak sesekali menggunakan kekerasan sebagai pendekatan dakwah. Dakwah Islam dilakukan dengan huraian dan hujjah yang berhikmah dan nasihat yang membangun. Islam membuka ruang berdialog dengan pihak-pihak yang bertentangan pendapat dengannya. Bagaimanapun, Islam menolak perdebatan dan dakwah secara kekerasan, kerana Islam merupakan agama kasih sayang. Allah berfirman:

وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

“Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” (al-Nahl: 125)

Para da’ie harus menggunakan pendekatan yang berhikmah dalam menjalankan tugas dakwahnya. Kekerasan dan kejumudan adalah ditegah kerana ia akan menimbulkan fitnah dan kebencian kepada Islam akhirnya.

Oleh itu, umat Islam wajib merasakan sahabat-sahabat mereka sebagai sebahagian daripada tubuhnya walaupun mereka berbeza ideologi dan kefahaman. Kerana mempertahankan maruah serta darah umat Islam dari mengalir keluar dari tubuhnya secara haram adalah merupakan perkara wajib, sebaliknya perbezaan pendapat itu hanyalah merupakan perkara furu’iyah yang tidak perlu diperbesarkan. Sekiranya mereka meletakkan semangat ideologi jemaah melebihi dari semangat persaudaraan, sesungguhnya mereka telah meletakkan diri mereka dalam kesilapan yang amat besar. Selain itu, mereka akan menghadapi kesukaran dalam melaksanakan sesuatu matlamat secara bersama kerana mereka menganggap bahawa merekalah jaguh Islam yang hanya mampu menyelamatkan Islam dan tidak yang lain. Jika kefahaman jumud seperti ini masih terlekat di hati-hati setiap pejuang Islam, maka sebenarnya destinasi yang ingin mereka tujui masih sukar untuk dikecapi.

bersambung ....

2 comments:

Anonymous said...

assalammualaikum.i just browsed through d net to find sth for my reference n i found ur site.interesting articles tht u hve here.saya bukanlah pembaca naskhah2 agama tp bru2 ini bru berjinak2.if u dun mind can u tell me more about when "Rasullah n para shbt bgotong-royong n .... mereka snggup melepaskan isteri2 mrk utk dikahwinkan dgn para shbt yg lain ats dasar iman n ukhwah mereka". when i first read this d femininism hormone stroke up to my brain which might result in an argument.tp sy mengaku yg sy tidak begitu berpengetahuan dlm hal2 sejarah Islam which means tht i'm not qualify enough to say any further.can u explain more tentang "mereka snggup melepaskan isteri2 utk dikahwinkan dgn para shbt yg lain ats dsr ukhwah mereka" agar tidak wujud salah faham. terima kasih =)

IbnAsmuni said...

Waalaikum salam w.b.t ...

Maaf lambat jawab. Saya kesibukkan..

Before I try my best to answer ur question .. I would like to wish my gratitude to u for visiting my blog as well as ur initiative to search and explore the beneficial inputs pertaining to Islamic teaching. Semoga Allah SWT memandu awak ke jalan yg diredhai-Nya. Instead of asking me, u better ask other knowledgeable person rather than asking me. In fact, I'm not the right person to answer ur question because I'm still in the process of learning as well. But, I'll try my best to answer ur question based on my knowledge.

Bagi saya, kita selaku umat Islam seharusnya mencari jalan untuk mengetahui perjalanan seerah rasulullah SAW. Kerana dengan pengetahuan tersebut akan melahirkan rasa cinta, kagum dan bangga terhadap peribadi Rasulullah SAW .. bagaimana corak kehidupan Baginda SAW, bagaimana sikapnya, dakwahnya, perjuangan dan hubungannya sesama manusia yg berada di sekelilingnya. Ini semua merupakan suatu tuntutan penting untuk memastikan rasa kecintaan terhadap baginda kukuh berpasak di dalam hati. Penjajah serta golongan anti Islam di kalangan sosialis dan sekularis menggunakan kelalaian ummat Islam dalam memahami seerah perjalanan hidup Rasulullah SAW untuk memutarbelitkan fakta sebenarnya sehingga akhirnya menjadikan umat Islam yang memandang serong terhadap peribadi dan perjuangan Rasulullah SAW. Di atas kelemahan ini, ummat Islam lebih mudah terpengaruh dengan dakyah2 dan provokosi murahan pihak2 anti-Islam daripada mempercayai argumentasi yg diberikan oleh para ulama Islam serta para dakwah yg beriman. Justeru, tanggapi lah permasalahan ini dengan bertanya kepada golongan yang berpengetahuan dalam agama Islam serta hadir di dalam kelas-kelas pengajian agama samada secara formal atau tidak.

Menjawab soalan awak berkenaan dengan gotong-royong ... Sesungguhnya Islam berdiri itu di atas konsep ukhuwwah dan persaudaraan. Kekuatan persaudaraan yang dibina kukuh oleh Rasulullah SAW akhirnya memecahkan temboh kesombongan kaum dan kabilah yang selama ini menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan bangsa-bangsa arab sebelumnya. Kemunculan Rasulullah SAW adalah salah satunya di atas tujuan ini. Ia dibina bukan di atas propaganda politik atau bersifat sementara ... tetapi ia kekal sebagai satu prinsip yang wajib dipegang oleh seluruh umat Islam dulu, kini dan selamanya. Prinsip tersebut adalah prinsip uluhiyyah, rububiyyah dan asma' wa as-sifat Allah SWT. Memahami prinsip uluhiyyah Allah ialah dengan meletakkan bahawa hanya sanya tuhan yang sebenar-benar layak disembah hanyalah Allah SWT semata-mata, justeru menafikan ketuhanan dan penyembahan yang lain termasuk dari kalangan patung-patung, alam semulajadi dan manusia. Seterusnya adalah rububiyyah Allah SWT, iaitu dengan meletakkan suatu kepercayaan yang mutlak bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa untuk mencipta, justeru menjadi pemerintah dan hakim bagi alam ini, dan di dalam masa menafikan kekuasaan lain selain daripada Allah SWT. Manakala manusia adalah hamba yang diamanahkan menjadi khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini, bukan berfungsi sebagai Tuhan yang berkuasa melakukan apa saja mengikut nafsu dan kehendaknya. Mereka bertanggungjawab dan diberi amanah untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa sebarang sanggahan dan bantahan serta apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan syariat Allah SWT, maka secara langsung ia tertolak. Begitu juga dengan asma' wa as-sifat Allah (nama2 dan sifat2 Allah) bahawa Dia memiliki nama-nama yang baik, mulia dan terpuji serta sifat-sifat wajib, harus dan mustahil yang perlu diimani oleh kita sebagai hamba.

Justeru, prinsip tauhid inilah yang telah mempersatukan dan mempersaudarakan bangsa-bangsa arab jahiliyah yang dulunya berpecah kepada beberapa Qabilah yang merosakkan. Maka tumbuhlah kekuatan baru dari kalangan orang2 arab sehingga menjadikan mereka bangsa yg kuat, mulia dan dihormati di kalangan bangsa2 lain pada saat itu & membentuk semua jemaah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya Islam mewajibkan ummatnya agar sentiasa berada di dalam jemaah. Kerana kukuatan Islam itu berdiri di atas kekuatan jemaah yang berpaut kuat dengan prinsip tauhid yg satu kepada Allah SWT. Malah merupakan satu dosa sekiranya kita mencetuskan perpecahan, perbalahan dan keluar dari jemaah muslimin. Oleh itu, di antara faktor-faktor penting yang dituntut untuk memelihara kekuatan jemaah itu adalah melalui semangat bergotong royong. Terdapat beberapa dalil dari al-Quran dan sunnah yang menjadi bukti bahawa Islam menggalakkan semangat gotong royong di antara sesama umat Islam, tetapi saya tidak berhasrat untuk mendatangkannya di dalam penjelasan ini. Sesungguhnya di antara bukti semangat gotong royong yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda adalah sewaktu pembinaan Masjid Nabi di Madinah di peringkat awal penghijrahan Rasulullah SAW ke sana. Rasulullah SAW turut memikul batu bata bersama-sama para sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Baginda SAW juga melantunkan syair-syair ketika sama-sama mendirikan Masjid Nabi tersebut sementara ianya diikuti oleh para sahabat yang lain sehingga menjadikan suasana ketika itu cukup mengembirakan di samping menaikkan semangat gotong royong dan persaudaraan di antara mereka. Selain dari itu, perkara yg sama dapat dilihat ketika mereka membuat persedian menghadapi tentera quraish dalam peperangan ahzab/khandak..

Semangat persaudaraan yang berjaya dibentuk oleh Rasulullah di antara golongan Muhajirin dan Ansar tidak terhenti di situ, malah ia berterusan sehingga ada dikalangan mereka yang sanggup menawarkan isteri-isteri mereka contohnya seperti Sa'ad ibn ar-Rabi'. Beliau berkata kepada Abrul Rahman ibn 'Auf yang merupakan salah seorang dari golongan Muhajirin, "Aku membahagikan hartaku kepada dua bahagian. Aku juga mempunyai dua orang isteri, maka pilihlah siapa di kalangan mereka yang kau minati dan katakanlah kepadaku. Aku akan menceraikannya dan jika 'iddahnya telah selesai, maka engkau boleh mengahwininya".

Ini adalah antara contoh-contoh yang membuktikan wujudnya semangat tolong-menolong hasil dari ukhuwwah & persaudaraan yang dibina dari kekuatan iman yang teguh kepada Allah SWT.

Penawaran yang dilakukan ini bukanlah suatu paksaan ataupun suatu perintah daripada Islam, malah nabi Muhammad SAW sendiri tidak memerintahkan kepada sahabat2 baginda untuk melakukan demikian. Apa yang dilakukan adalah disebabkan oleh rasa cinta serta semangat persaudaraan Islam yang terlalu kuat dan teguh sehingga membuatkan mereka sanggup menawarkan insan yang paling mereka cintai dari kalangan isteri-isteri mereka. Di sinilah keajaiban iman yang dimiliki oleh para sahabat rasulullah SAW. Kecintaan mereka kepada Islam dan saudara se-Islam adalah melebihi dari kecintaan mereka kepada diri mereka sendiri. Berkemungkinan para isteri juga bersedia untuk dilepaskan oleh suami-suami mereka atas dasar persaudaraan dan kekuatan iman yang mereka miliki ...

Sekiranya awak seorang perempuan, saya harap perkara ini tidak membuatkan awak salah faham dan sangsi kepada Islam. Sesungguhnya Islamlah yang telah memartabatkan kemuliaan Islam sehingga menjadikan mereka bangsa yang punya harga diri, maruah, darjat dan kedudukan pada hari ini. Namun pada hari ini kita tengok golongan Barat telah cuba untuk memperhambakan golongan wanita dengan suatu sistem perhambaan moden yang tidak kita sedari .. untuk lebih mengetahui perkara ini, awak boleh merujuk pada ruangan artikel saya yang menulis label 'wanita'.

Insyallah, saya akan tuliskan persoalan ini menjadi artikel dalam blog saya.

Terima kasih sudi ziarah..

Yang baik itu dari Allah & yg buruk dari diri saya sendiri.

Wassalam.