Friday, 29 June 2007

ISLAM & PEMIKULNYA: Di Mana Kesilapan Kita?

4) Kekeliruan dalam menilai sesuatu kepentingan:

Islam telah menggariskan di mana perkara yang perlu diberikan keutamaan melebihi perkara-perkara lain. Sesungguhnya ilmu pengetahuanlah yang dapat membantu seseorang untuk membezakan antara perbuatan yang seharusnya diletakkan pada bilangan yang berikutnya; antara perbuatan yang boleh diterima oleh agama dan perbuatan yang dipandang salah oleh syariat Islam; antara perkara pokok dan perkara furu’; antara sunnah tasyri’iah dan sunnah ghoiri tasyri’iah dan antara kekuatan fizikal dan kekuatan jasmani. Perkara-perkara tersebut hanya dapat dilakukan apabila seseorang memiliki pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam. Dengan demikian seluruh tindak tanduknya mempunyai nilai di mata syariat Islam.

Kekeliruan dalam meneliti keutamaan dalam berdakwah dan bekerja akan menyebabkan apa yang dicita-citakan akan tergendala dan menemui kepincangan. Perkara seumpama ini berlaku di saat umat Islam di dalam kebejatan di mana para pendokong Islam dan para du’a sendiri kadang kala kabur dalam membuat penilaian keutamaan. Dengan semangat keikhlasan yang tidak dapat diragui, kadang-kala mereka melebihkan amalan-amalan yang kurang penting daripada perkara-perkara yang mesti didahulukan dan diutamakan; mereka memberikan perhatian yang sepenuhnya untuk kerja-kerja yang kurang penting dan melupakan perkara-perkara yang tersangat penting. Sehingga kadang-kadang boleh merebak kepada berlakunya tindakan yang extreme dan melampau. Kita menolak tindakan-tindakan melampau yang boleh mencetuskan huru-hara dan fitnah terhadap Islam. Islam sesekali tidak pernah meredhoi tindakan pengeboman bangunan WTC, Kedutaan Australia di Indonesia, Pulau Bali dan apa yang pernah berlaku di London; sekiranya ia dilaksanakan oleh umat Islam, ia bukan sahaja melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh syarak bahkan merupakan penganiyaan ke atas manusia yang tidak berdosa. Dalam masa yang sama, Islam juga bukanlah agama yang memberikan kebebasan mutlak kepada manusia untuk melaksanakan sesuatu tanpa panduan dan tunjuk ajar. Islam mewajibkan manusia mencari ilmu, tetapi Islam melarang ilmu yang dicari itu untuk merosakkan alam kehidupan. Allah membenarkan manusia berfikir mengenai sifatNya yang Agung tetapi melarang manusia berfikir mengenainya zatNya. Bahkan Islam menyeru umatnya agar menjadi manusia yang sederhana dan adil dalam semua perkara, tidak melampau dan tidak juga bebas tanpa batasan. Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
“Dan demikianlah pula Kami telah menjadikan kamu umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia”
(al-Baqarah: 143)

Menyentuh persoalan ini, golongan syabab (pemuda) seperti kita khususnya harus memiliki kefahaman fiqh aulawiyyat yang baik, kerana sifat semula jadi pemuda itu suka kepada kerja-kerja mencabar yang menguji kejantanan mereka. Di mana kadang-kala tindakan yang dilakukan itu tidak lebih sekadar semangat tanpa pertimbangan akal yang matang. Perkara seumpama ini tidak terlepas berlakunya di kalangan belia-belia Islam yang ikhlas dengan agamanya, di mana mereka menganggap tindakan yang mereka lakukan itu adalah yang terbaik untuk Islam. Padahal hakikatnya ia bukan sahaja merugikan Islam malah merugikan diri mereka sendiri. Syeikh Dr. Yususf al-Qardhawi berkata:

“Saya juga pernah berjumpa dengan beberapa orang belia yang dahulunya pernah mengambil kursus di bidang kedoktoran, kejuruteraan, pertanian, sastera ataupun bidang-bidang falsafah dan sains di beberapa universiti, dan mereka selama mengikuti pelajaran tersebut tergolong di dalam kelompok pelajar yang baik dan pandai. Namun, tiba-tiba sahaja mereka meninggalkan bangku kuliah tersebut tanpa rasa bersalah dengan alasan mereka ingin terjun secara aktif di dalam bidang dakwah dan tabligh” (Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, Fiqh Aulawiyyat)

Contoh seperti ini pernah berlaku kepada sahabat saya yang mengambil kursus kejuruteraan di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia. Namun tiba-tiba beliau menukar bidangnya kepada kuliah Ekonomi atas alasan untuk mendalami pendidikan Islam sebagai salah satu subjek yang ditawarkan di dalam kuliah tersebut. Begitu juga yang pernah di alami oleh guru saya yang pernah menjadi ahli al-Arqam ketika beliau sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia dahulu. Melihat kepada pengaruh Arqam yang semakin bercambah di kalangan pelajar dengan berpakaian jubah dan serban, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pentadbir universiti. Kesannya, pengikut al-Arqam dilarang sama sekali untuk memakai serban dan jubah ketika berada di dalam sesi pembelajaran. Guru saya adalah salah seorang pelajar yang menentang arahan tersebut dan natijahnya beliau terpaksa dibuang daripada universiti tersebut. Ada juga di kalangan pelajar Islam yang sanggup meninggalkan kelas dengan alasan untuk berdakwah dan mengikuti kursus kepimpinan Islam atas alasan wala’ kepada jemaah. Akhirnya, pelajaran mereka menjadi hambar dan mendapat kritikan daripada para pengajar. Adakah ini yang dinamakan berdakwah dan membantu Islam? Ia bukan sahaja mendidik dirinya dengan tabiat dan akhlak yang salah bahkan merobekkan lagi imej Islam yang sudah tercalar di mata masyarakat. Seharusnya tugas dakwah dan kewajipan menuntut ilmu itu harus diseimbangkan kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan yang tersendiri. Jangan sampai memberatkan di satu sisi sehingga melalaikan satu sisi yang lain. Sebagai contoh, Allah memerintahkan hambaNya agar menyembahNya tetapi dalam masa yang sama kita diwajibkan membangunkan kehidupan dunia.

Kita tidak menafikan bahawa tindakan yang mereka lakukan itu ikhlas kerana Allah tetapi kerana kegopohan dalam membuat penilaian, ditambah pula dengan darah muda yang sedang membakar, telah mencampakkan mereka ke lembah penganiyaan. Padahal Islam tidak pernah menuntut mereka untuk melakukan tindakan sedemikian. Walhal, bidang-bidang kritikal tersebut merupakan bidang-bidang yang sangat penting dan dikategorikan sebagai jihad dan ibadah sekiranya mereka mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membantu agama Allah. Bukankah dengan lahirnya ramai cendekiawan Islam, secara tidak langsung akan memperkukuhkan lagi kekuatan Islam itu sendiri apatah lagi sekiranya mereka menggunakan ilmu tersebut untuk membawa masyarakat mengenali Robbu al-Jalil dengan lebih dekat? Bukankah dengan wujudnya cendekiawan Islam di dalam bidang-bidang tertentu boleh membantu para ulama dan fuqaha untuk mengeluarkan fatwa dan ijtihad dalam perkara-perkara baru? Bukankah ini juga merupakan salah satu tugas dakwah dan jihad? Apabila setiap individu muslim meninggalkan tugas dan kewajipan yang mesti dilakukannya, justeru kepada siapa lagi maslahat dan kepentingan kaum muslimin hendak diserahkan?

Di sisi lain, di saat dunia Islam memerlukan sokongan dari seluruh umat Islam, di waktu inilah kita sibuk bertelagah dalam soal-soal khilafiah dan juziyyah. Mereka lupa dengan pertarungan antara Islam dengan musuh-musuhnya yang sedang berkobar di setiap penjuru yang sedang berusaha untuk menghancurkan Islam dan umatnya dan menghapuskan mereka dari peta dunia ini. Kesilapan inilah yang digunakan sebaik-baiknya oleh musuh-musuh Islam untuk memerangi Islam. Akhirnya, permikiran umat Islam terus dibelenggu dengan kemusnahan dan kebobrokan syaitan manusia.

Oleh yang demikian, ukuran keutamaan itu perlu dinilai sebaik mungkin kerana kesilapan dalam memilih, kecelakaan akan terus menimpa ke atas umat Islam. Umat Islam yang lalai dan jahil akan terus diperkosa mindanya dan muda mudi sedikit demi sedikit akan dimurtadkan. Siapa yang bakal menanggung kemudaratannya? Kita akan berada di dalam kegagalan sekiranya kita gagal untuk menilai di antara perkara-perkara yang paling utama daripada perkara-perkara yang kurang keutamaannya.

bersambung ....

0 comments: