Friday, 7 September 2007

Impian semua Lelaki


Ah, andai saja mereka tahu bahawa di zaman sekarang ini orang yang kaya itu akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin. Dan isteri yang hebat di zaman ini adalah yang sanggup hidup miskin. Dan isteri yang bijak di zaman ini adalah yang sanggup hidup kaya. Semua orang boleh cakap, "saya bersedia hidup susah" tapi dia tidak akan sanggup kalau dia tidak hebat. Semua orang mahu hidup senang tetapi kesenangannya akan merosakkannya sekiranya dia tidak hebat & bijak.

Andai saja mereka tahu bahawa isteri yang hebat dan bijak itu hanya ada pada isteri yang solehah. Dialah yang qana'ah, yang sanggup hidup dalam keadaan apapun yang diberikan suaminya kepadanya. Dia akan merasa cukup atas apa yang ada. Dan akan bersyukur atas kehidupan yang menyenangkan seperti dia akan bersabar atas kehidupan yang menyusahkan.


Mungkin para ikhwan hanya melihat wanita yang baik agamanya itu adalah wanita yang hanya memakai tudung labuh dan manis kalau tersenyum. Dari tudungnya mereka menilai bahawa wanita tersebut faham agama, dan dari senyumannya pula mungkin mereka menilai baik akhlaknya. Tapi mereka tidak tahu bahawa labuhnya tudung dan manisnya senyuman hanyalah apa yang tampak di luar, sedangkan yang tidak tampak akan hanya mereka ketahui setelah menikah.

Mereka akan tahu isteri mereka sebenarnya ketika mereka sudah serumah dengannya, bukan di rumah orang tua ataupun di rumah mertua. Kerana di rumah sendiri akan nampaklah karakter seorang isteri itu sebagai dirinya sendiri, bukan sebagai anak orang tuanya dan selalu diturutkan keinginannya, ataupun sebagai menantu yang rajin dan akan selalu menampakkan kebaikan kepada mertuanya.
Sebaiknyalah orang-orang yang sudah menikah itu tinggal di rumahnya sendiri. Kerana di rumah itu akan tampaklah sifat asli isteri dalam menghadapi hidup yang diberikan suaminya kepadanya. Mereka akan tahu adakah tudung labuh isteri mereka membuktikan kefahamannya dalam agama, dan adakah manis senyumannya membuktikan kebaikan akhlaknya. Akan tetap tersematkah tudung labuh itu ketika terik matahari panas mencengkam?! Tetap adakah senyuman manis itu ketika lebat turunnya hujan?!
***
Isteri yang solehah, dialah yang qanaah.

Yang tahu hari tak selalu cerah tapi dia tidak berubah.


Isteri yang solehah itu tidak harus kaya, kalaupun kaya, Alhamdulillah.

Dia juga tidak harus cantik, kalau pun cantik itu hadiah. Alhamdulillah.


Isteri yang solehah itu adalah yang qana'ah, senangnya berada di rumah.

Keluar rumah hanya untuk belanja atau pergi bersama suaminya.

Dia tahu bahan makanan telah mengalami kenaikan harga,

dan tidak menyusahkan suaminya dengan segala tuntutannya.


Ada juga memang wanita yang bekerja di luar rumah,

tapi yang solehah, dia mau berhenti kerja kalau suaminya memerintahkannya,

dan tetap bekerja kalau suaminya meredhainya.

***
Wanita yang cantik seperti bintang di langit,

mungkin mudah ditemukan, walaupun di malam yang gelap,

tetapi sedarilah dia tak mudah dijangkau tangan.

Ketika itu pun kau mungkin melihatnya berkilauan,

tetapi sedarilah ketika siang dia menghilang.


Isteri yang solehah itu seperti mutiara di dasar laut,

tak selalu putih terkadang terbungkus lumut.

Di dalam lingkungannya dia senang berada,

menjaga diri dan maruah diri.


Kau mungkin harus menyelam untuk menemukannya.

Tapi kau akan sedar seberharga apa dia ketika kau mendapatkannya.


***
"Tiada kekayaan yg diambil seorang mukmin setelah takwa kepada Allah yang lebih baik dari isteri solehah." [Hadits Riwayat Ibn Majah]

0 comments: