Monday, 17 March 2008

ADAT & Permintaan yang sering mengecewakan (Edit)

SATU ANALISA TERHADAP PERSOALAN REMAJA HARI INI
.
CERITA PASAL ADAT
.
“Acara batal air sembahyang pun termasuk dalam adat perkahwinan juga ke?”, tanya saya ‘pelik’ pada sahabat saya.
.
“Ye la, ia termasuk dalam adat perkahwinan juga tu”, jelas sahabat saya.
.
“Yeke macam tu. Tak tahu pula .. ingatkan majlis biasa-biasa saja”, ujar saya yang agak naïf dengan beberapa adat kemelayuan Melayu yang masih diamalkan oleh sebilangan rakyat Melayu sekarang.
.
“Keluarga ana Alhamdulillah, rasanya tak ada la berat sangat dengan adat-adat ni. Keluarga anta pentingkan adat kan?”, tanya saya kepada beliau.
.
“Tak juga … biasa-biasa je”, jelas beliau.
.
“Tapi semasa kelas Qawa’id hari tu, waktu menyentuh mengenai kaedah ‘al-‘Adah al-Muhakkamah’, ust Razali ada menyentuh mengenai pepatah Melayu ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Dia kata sebenarnya pepatah tu tak salah dan tidak bercanggah pun dengan Islam sebab pada waktu dulu istilah adat dan hukum Islam ini seperti suatu istilah yang sinonim”, sambung beliau.
.
“Ust Razali kata kalau merujuk balik kepada sejarah mengapa pepatah itu diungkapkan .. ia ada kaitan dengan kes seorang lelaki yang melakukan zina. Sebelum kedatangan penjajah, Tanah Melayu memang berpegang kuat dengan mazhab Syafi’ie. Jadi hukum hakam yang digunakan adalah hukum hakam Islam. Lelaki yang berzina tadi terpaksa dihukum bunuh sebagai hukuman daripada jenayah zina yang dia lakukan. Jadi ada segelintir masyarakat yang tidak bersetuju dengan hukuman tersebut. Tetapi disebabkan oleh pegangan yang kuat terhadap agama, lahirlah ungkapan ‘biar mati anak, jangan mati adat’ … maknanya, biar anak sendiri mati, jangan hukum Islam dinafikan”, jelas beliau mengenai penjelasan yang dibuat oleh Prof Dr. Ust Haji Razali Nawawi.
.
“Ooo .. maknanya adat dalam pepatah ini bermaksud hukum Islam la ye”, saya cuba membuat kesimpulan dari keterangan beliau tadi.
.
“Ya … macam tu la yang Ust Razali terangkan”, rumus beliau.
.
Saya menambah, “Tetapi malangnya sekarang ini banyak orang dah silap faham dengan maksud adat dalam pepatah ini sehingga sanggup meninggikan adat melebihi hukum Islam”.
.
BERTEGANG LIDAH KERANA ADAT
.
Kadang-kadang anak dan ibu boleh bertegang lidah kerana adat. Inilah selalunya yang berlaku terutamanya bila menyentuh soal perkahwinan.
.
Si anak cuba mencadangkan yang lebih baik ke arah pemahaman Islam yang lebih murni dan bersih, tetapi si ibu masih bertegas dengan ke-tradisian adatnya.
.
Biar ia bertentangan dengan agama, biar berpeluh sesetengah ustaz-ustaz masjid dan surau mengatakannya haram … tetapi mereka tetap menjadikan amalan nenek moyang sebagai sandaran untuk berhukum.
.
… mungkin inilah juga faktor mengapa ramai golongan Melayu zaman Jepun dan Inggeris masih setia dengan Pemegang Keris Tidak Melayu Hilang di Dunia, walaupun sudah nyata lagi bersuluh merekalah pemusnah bangsa dan tanah air … biru tetap biru.
.
“Aku lebih banyak makan garam daripada kamu … aku tau lah. Kamu masa tu mana tau apa-apa. Kami dulu hidup susah. Makan pagi kais pagi, makan petang kais petang. Kadang-kadang ubi dan garam saja lauk pauk kami. Tapi UMNO lah yang telah membawa perubahan. Merekalah yang memberikan kemerdekaan kepada negara kita daripada saki baki penjajah ..!!”, tegas sesetengah bapa yang berkerut dahinya mempertahankan keUMNOannya yang menjadi-jadi babi telah membutakannya.
.
Seperti kata orang-orang muda - macam mana berapi sekalipun manifesto BA dan biarpun kering air liur calon-calon meyakinkan mereka - jari-jari mereka telah diadatkan untuk sentiasa memangkah dacing dan tidak boleh beralih kepada bulan.
.
Kesimpulannya, “Kalau darah tu dah pekat membiru, alamatnya memang biru sampai ke mati la jawabnya. Kita kene tunggu habis satu generasi ini dulu baru boleh menuju Malaysia baru”, mengeluh sesetengah petugas pilihanraya BA ketika berkempen kepada sesetengah atuk-atuk dan nenek-nenek kita.
.
ADAT LAMBANG KEBUDAYAAN
.
Tidak salah mempertahankan adat kerana adat melambangkan sesuatu bangsa dan kebudayaannya. Bangsa yang miskin adat adalah bangsa yang miskin dengan budaya.
.
Sebagai bangsa Melayu, kita harus berbangga dengan kepelbagaian adat budaya kita. Adat yang kita warisi secara turun temurun sebenarnya banyak melambangkan kesopanan budaya kita, kerana kebanyakkannya berkait rapat dengan akhlak dan keperibadian seperti menundukkan diri apabila melintas di hadapan orang tua, mencium tangan orang yang lebih tua dan dihormati, menanggalkan selipar apabila masuk ke dalam rumah, makan nasi dengan menggunakan tangan, acara membatalkan air sembahyang di dalam majlis akad nikah, acara berkompang dan sebagainya.
.
Ini merupakan adat dan budaya yang terpuji, malah diterima oleh agama.
.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakkan adat yang terpuji ini kita warisi dari tarbiah Islam yang dibawa bersama oleh para pedagang arab dari Hadramaut, Yaman beberapa abad yang lalu. Walaupun terdapat pelbagai teori siapakah sebenarnya yang membawa Islam ke Tanah Melayu, namun satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah; masyarakat Melayu seolah-olah ibarat suatu entiti yang terlalu hampir dan sinonim dengan Islam. Bahkan tidak terdapat satupun Perlembagaan Negara melainkan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai salah satu ciri penting dalam pendefinasian bangsanya.
.
Bagaimana pula dengan status Melayu yang telah murtad?
.
SEDAPNYA SAMBAL KERANA BELACAN
.
Teringat kata-kata tok guru Nik Aziz, “Sambal ni penaik selera makan. Dia bagi kita bertambah selera lagi kalau kita tengah makan. Lauk yang tak sedap pun boleh jadi sedap sebab belacan”.
.
Dalam sedap-sedap sambal ini, sebenarnya ia dibuat dari belacan yang busuk. Bukan semua orang tahan dengan baunya. Bahkan sebahagiannya jadi alergi atau alah bila mencubanya sehingga badan menjadi gatal dan sebagainya …
.
“Habis, kalau tak ada belacan tak sedap la ..”, usik saya kepada sahabat saya yang alergi dengan belacan.
.
“Ganti jelah dengan cili api ..”, jawab beliau ‘confident’.
.
Bagi penggemar sambal belacan, mereka dapat membezakan di antara sambal belacan yang ‘menjadi’ dan yang ‘tidak menjadi’. Bukan semua orang boleh buat sambal belacan. Kalau salah cara dan tak ada ‘skill’, ia boleh membuatkan hilangnya selera makan …
.
“Uihh .. sedapnya sambal belacan ni. Ini mesti Awie yang buatkan ..?”, tanya ayah kepada Awie yang sesekali membuat sambal belacan apabila bertandang ke rumah kami.
.
Awie memang pandai membuat sambal belacan. Campuran belacan, cili burung dan cili api yang sebati membuatkan sambal belacan Awie memang mengancam..!!
.
Begitulah juga halnya dengan adat.
.
Adat yang selari dengan kehendak Islam pasti membuahkan suatu bentuk kebudayaan yang terpuji. Tetapi sekiranya ia tidak difahami berlandaskan lunas-lunas Islam, malah diamalkan membabi buta mengikut warisan nenek moyang mengikut adat agama Hindu .. adat seumpama ini perlu ditolak sama sekali.
.
.
Bersanding merupakan adat yang masih kuat diamalkan oleh kebanyakkan orang-orang Melayu. Acara seumpama ini merupakan salah satu contoh adat yang diambil dari agama Hindu dan diadaptasikan di dalam masyarakat Melayu ketika berlangsungnya majlis perkahwinan.
.
Yang salahnya bukanlah bersanding itu, tetapi ‘maksud’ di sebalik persandingan tersebut; iaitu untuk menampilkan wajah kecantikkan pasangan suami isteri khususnya si isteri kepada khalayak ramai. Ditambah pula dengan dandanan yang melampau-lampau sehingga menjejaskan rupa wajah asli seorang wanita beserta dengan pakaian pengantin yang ketat membuatkan sesiapa sahaja ingin tumpang sekaki melihatnya.
.
Pentas bersanding juga dihiasi dengan pelbagai bentuk lampu hiasan dan sebagainya dengan tujuan untuk menarik perhatian orang ramai. Si suami awal-awal lagi telah membiarkan isterinya dipertontonkan oleh orang ramai dengan penampilan yang berlebih-lebihan.
.
MALU-MALU MENGIKTIRAF CINTA
.
“Aku tekad tak akan berkahwin semasa belajar …!!”, tekad sesetengah pelajar pusat pengajian tinggi.
.
Beberapa tahun kemudian, “Nampak gayanya tekad yang lama perlu dipendamkan … aku sendiri pun tak menyangka boleh jadi begini”, luah pelajar tadi yang terpaksa akur dengan kehendak hati.
.
Hati manusia bukan seperti robot yang boleh dikawal dengan ‘remote control’. Tekan ‘off’ dia mati, tekan ‘on’ dia hidup.
.
Bukan seorang dua menghadapi keadaan seperti pelajar di atas, tetapi terlalu ramai. Menetapkan sesuatu yang tabi’i secara Muktamad saya kira sesuatu keputusan yang agak keterlaluan. Bukan tidak boleh, tetapi janganlah dipaksa-paksa sekiranya ‘seruan’ sudah datang menjelma. Ia suatu kezaliman ..!!
..
Menghalang kumbang hinggap di bunga adalah suatu kezaliman kerana itu tabi’atnya.
.
Menghalang hati dari merasai sebuah perasaan cinta juga merupakan suatu kezaliman kerana ia merupakan salah satu fitrah yang telah Allah SWT campakkan ke dalam hati manusia … Jangan salahkan diri sendiri dan jangan pula rasa berdosa … Ia bukan keji dan kotor, tetapi merupakan suatu nikmat Allah yang perlu dihargai dalam menuju redha-Nya. Ini yang disebut oleh Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya ((Tarbiyatul Awlad)).
.
Sekiranya telah datang ‘seru’, pertimbangkan ia dengan sebaiknya dengan petunjuk jalan istikharah dan doa. Laluinya dengan sebaiknya …
.
WARNING ...
.
“Kamu jangan nak gatal-gatal cakap soal kahwin waktu belajar ni”, warning sesetengah ibu bapa awal-awal kepada anak-anak mereka.
.
Saya yakin ‘warning’ tersebut disebabkan oleh kerisauan ibu bapa kepada anak-anak mereka. Mereka tidak mahu pembelajaran anak-anak mereka terganggu disebabkan oleh faktor-faktor luaran seumpama ini. Ini suatu bukti kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka.
.
Saya bersetuju dengan ‘warning’ tersebut. Bagi saya, kita tidak sepatutnya mencampur-adukkan waktu belajar dengan percintaan. Saya tidak menterjemahkan ‘percintaan’ di sini sebagai percintaan monyet, tetapi percintaan yang ikhlas dan suci yang ingin menuju kepada pembentukkan sebuah baitul Muslim.
.
Itu jalan yang sebaiknya …
.
Mungkin ‘warning’ itu dibuat kerana ibu bapa mereka dulu berjaya membuktikan bahawa mereka berjaya menamatkan pelajaran tanpa sebarang gangguan perasaan yang disebutkan.
.
Tetapi zaman berubah, masa berubah … banyak yang berubah.
.
“Dulu boleh la. Sekarang ni mana boleh. Sekarang ni dengan handphonenya, masalah sosialnya, ininya, itunya … semua ni jadi faktor kita tidak boleh buat macam zaman dulu”, jelas sahabat saya yang tidak bersetuju dengan ‘warning’ tersebut.
.
“Lagipun dulu bukan ramai orang Melayu masuk universiti. Boleh dibilang dengan jari. Perempuan pun banyak yang duduk di rumah. Sekarang ni susah, masuk universiti macam dah jadi satu hak .. ramai sangat orang Melayu masuk U sekarang ni termasuk perempuan. Tengok depan melayu, kiri melayu, kanan pun melayu … macam mana nak kawal syeikh”, sambung beliau.
.
Saya boleh bersetuju dengan alasan beliau.
.
“Pakcik pertama kali tengok makcik masa akad nikah. Sebelum tu pakcik memang tak pernah kenal dan tengok makcik. Tapi budak-budak sekarang ni, sebelum kahwin dah seronok berdating sini sana”, cerita almarhum pak guard Matrik UIA suatu ketika dulu yang pening kepala dengan masalah ‘couple’ remaja-remaja sekarang.
.
Saya sangat bersetuju dengan keluhan beliau dan saya juga boleh bersetuju bahawa salah satu faktor berlakunya permasalahan seperti ini adalah disebabkan oleh kenyataan sahabat saya tadi.
.

PERMINTAAN YANG SERING MENGECEWAKAN

“Ana rasa kita kena kahwin la sekarang ni. Ana nampak ni je cara terbaik buat kita. Kita dah cuba sebaiknya mengurangkan perhubungan, tetapi susah”, luah sesetengah pelajar yang sedang tenggelam dalam cinta ana dan anti.

“Susah la kalau nak minta kahwin sekarang ni sebab adat keluarga kami memang tidak membenarkan berkahwin semasa belajar”

Inilah masalah yang seringkali dihadapi oleh anak-anak muda seperti saya. Mereka sudah mempunyai pasangan dan berniat untuk mendirikan rumah tangga secepatnya tetapi dilarang oleh ibu bapa mereka.
.
Tidak ada ibu bapa yang sanggup melepaskan anak-anak mereka hidup dalam kesusahan. Apabila anak-anak meminta restu mereka untuk mendirikan rumah tangga, pasti timbul pelbagai persoalan di fikiran mereka.. Sudah bersediakah dia? Macam mana hidup mereka kalau kahwin nanti? Boleh ke nak urus keluarga waktu belajar ni? Anak aku nak makan ape nanti? …
.
Ada juga ibu bapa yang menolak permintaan tersebut kerana mereka sendiri telah merasai hidup susah sebagai ‘married student’ dahulu.
.
“Ibu dah rasa macam mana jadi ‘married student’ dulu. Ibu tak nak kak long rasa macam mana yang ibu rasa”, jelas ibu ringkas kepada anak perempuannya.
.
Dan kadang-kadang terdapat ibu bapa yang agak longgar untuk membenarkan anak-anak mereka mendirikan perkahwinan tetapi disebabkan oleh faktor adat di dalam keluarga besar mereka, usaha tersebut terpaksa diperpanjangkan. Perkara ini sering berlaku sekiranya datuk dan opah turut ikut campur dalam menentukan masa depan cucu-cucu mereka. Bererti, yang menentukan keputusan bukanlah ibu dan bapa sahaja, tetapi datuk dan opah.
.
Ada juga ibu bapa yang mentah-mentah menolak permintaan anak-anak mereka dengan alasan adat.
.
“Susah-susahhh … jangan harap la nak dapat kahwin sekarang selagi kakak ana tak kahwin”
.
“Keluarga ana ni berpegang kuat sikit pada adat. Kalau kita nak kahwin juga, pasti timbul banyak masalah nanti. Ana yakin keluarga ana mesti tak bagi punya”
.
Ini masalah yang susah untuk diselesaikan kerana adat dijadikan sumber hukum dalam menentukan keputusan, bukan lagi agama.
.
PEMAHAMAN YANG BENAR TENTANG ADAT
.
Adat biasanya diamalkan berdasarkan kepada beberapa asbab dan pengalaman lalu yang menghasilkan sebuah natijah yang akhirnya menjadi adat. Berbagai-bagai faktor pendorong yang mendorong kepada pembentukan adat tersebut seperti faktor agama, bangsa, keadaan dan tempat.
.
Adat menanggalkan selipar sebelum masuk ke dalam rumah mungkin terjadi disebabkan oleh keadaan tanah melayu yang bertanah yang lembap dan basah disebabkan oleh faktor geografi tanah melayu yang sering hujan. Ia mungkin juga dipengaruhi oleh faktor agama yang mahukan keadaan rumah yang bersih dari najis dan kotoran supaya ia dapat dijadikan tempat solat bagi ahli rumah tersebut.
.
Begitu juga dengan adat berpencak silat di dalam majlis perkahwinan. Acara ini mungkin terjadi disebabkan oleh pengaruh persilatan yang begitu luas di alam Melayu suatu ketika dulu sehingga terbawa-bawa ke dalam majlis perkahwinan.
.
Ini merupakan beberapa contoh di sebalik pembentukan adat-adat Melayu yang kita warisi sehingga kini.
.
Oleh itu, sekiranya kita berpegang kepada adat semata-mata tanpa disuluh oleh penilaian agama, ia akan menyusahkan kerana ia kaku dan jumud oleh faktor-faktor semasa.
.
Yang benar adalah; pengamalan adat yang sebenar adalah adat yang berlandaskan kepada maqasid syariah, bukan diamali dengan membabi buta dengan alasan 'ini warisan peninggalan nenek moyang kita'. Ini suatu pemahaman yang sonsang terhadap pengaplikasian adat yang sebenar di sisi Islam.
.
Islam tidak menetapkan secara terperinci setiap amalan, aktiviti dan perbuatan yang perlu dilakukan oleh umat Islam di dalam menjalani kehidupan mereka. Sebagai sebuah agama yang universal dan flexsible, Islam hanya menetapkan beberapa 'basic manual' yang perlu diikuti oleh semua. Manual asas itulah yang menjadi dasar kepada setiap bentuk amalan yang dilakukan samada ia melibatkan individu, masyarakat, keluarga dan negara.
.
Manual tersebut didasari oleh beberapa maqasid syariah yang lima iaitu untuk menjaga agama, nyawa, akal, nasab dan harta.
.
Sekiranya amalan yang dilakukan bertentangan dengan salah satu dari lima keadaan di atas, pengamalan tersebut adalah pengamalan yang tertolak. Imam Hassan al-Banna pernah melarang jemaah Ikhwan al-Muslimin dari meneruskan adat mencium tangan yang diamalkan oleh mereka sebelumnya dengan alasan untuk memelihara agama dan kesatuan di kalangan umat Islam.
.
Adat bersalaman dan mencium tangan merupakan amalan yang didasari oleh sunnah nabi SAW. Walaupun adat tersebut merupakan adat yang baik dan melambangkan kesopanan serta penghormatan di antara satu sama lain, tetapi Imam Hassan al-Banna melihat bahawa di sana terdapat perkara yang lebih penting untuk diutamakan daripada terus membiarkan amalan tersebut terus diamalkan.
.
Apatah lagi dengan adat yang tidak diketahui asal usulnya ... apakah ia perlu dipertahankan sekeras-kerasnya?
.
Anak yang memohon restu ibu bapa untuk mendirikan rumah tangga ... apakah permintaan mereka perlu ditolak mentah-mentah dengan alasan "adat kita bukan macam tu" walaupun telah nyata dari penjelasan mereka, mereka layak untuk mendirikan rumah tangga ...?? Kalau hal tersebut diserahkan kepada Islam untuk menyelesaikannya ... lampu hijau adalah jawapannya. Alasannya kerana, Islam menentukan sesuatu permasalahan berdasarkan kepada maqasid dan maslahah, bukan terikat dengan satu-satu keadaan dan suasana.
.
BIAR MATI ADAT, JANGAN MATI ANAK
.
Dalam hal ini, sekiranya pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk memelihara perhubungan mereka tetapi masih tidak mempunyai jalan penyelesaian… saya rasa ibu bapa perlu memainkan peranan penting membantu anak-anak mereka.
.
Mereka tidak boleh secara muktamad mengatakan ‘tidak’ kepada anak-anak mereka tanpa melalui proses perbincangan yang sewajarnya. Hargai kewujudan mereka sebagai insan yang memerlukan sokongan dan bantuan.
.
Berilah peluang dan ruang perbincangan yang sebaiknya kepada anak-anak mereka untuk menjelaskan alasan di sebalik permintaan tersebut. Setelah itu, buatlah pertimbangan sebaiknya di antara andaian dahulu dan realiti yang sedang anak-anak mereka hadapi sekarang sebelum mengatakan ‘ya’ ataupun ‘tidak’.
.
Ambillah yang JERNIH, buanglah yang KERUH
.
.
.

3 comments:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Celular, I hope you enjoy. The address is http://telefone-celular-brasil.blogspot.com. A hug.

Anonymous said...

Salaam,

Entry ni mengenangkan ana tentang discussion ana dengan ibu ana. Keluarga ana adalah keluarga yg begitu berpegang pada adat, and seboleh2nya, semuat adat perkahwinan org melayu dijalankan. Kalau tidak, keluarga akan dilabel tidak beradat.

Ana kata pada ibu, ana tak nak ada adat malam berbedak, atau perempuan je yg boleh membedakkan. Semasa malam berbedak, aurat wanita tidak ditutup jika memakai headdress yg betul, dan akan disentuh oleh lelaki bukan mahram semasa membedakkan pengantin (pengantin lelaki pula disentuh oleh perempuan bukan mahram).

Ibu kata no comment, sebab, walaupun dia agree apa yg ana katakan, dia kata, terpaksa tanya nenek. Nenek memang tak setuju, sebab, la, keluarga kuat dengan adat.

IbnAsmuni said...

Waalaikumsalam ...

Hmm ... inilah realiti yg berlaku. Kadang-kadang kita & keluarga kita tidak mahu kepada adat yg tidak syar'ie ini, tetapi keluarga besar pula yg menjadi halangan.

Hakikat yg perlu kita sama2 akui adalah, bukan semua perkara dpt kita ubah dan hapuskan esok atau lusa .. kdg2 memerlukan masa yg teramat pnjng. Mungkin ia berhasil setelah kita mati menerusi generasi anak2 kita kelak. Namun begitu, proses pendidikan & pentarbiahan perlu dimulakan secara perlahan2 kpd org terdekat kita terutama kpd anak2 dan isteri/suami.

Kebencian itu saya kira tidak selayaknya kita biarkan tersemat di dalam hati sahaja tanpa kita suarakan kerana PERUBAHAN itu memerlukan kpd PERMULAAN.

Syukran ..