. . Hari tu aku surf youtube, tiba-tiba terjumpa satu video ni http://www.youtube.com/watch?v=SfcZlM3K23g, pasal saidina Abu Bakar. Boleh minta jasa baik saudara Fitri perjelaskan balik sejarah yang sebenarnya. . Terima kasih, . Dr. Azizul Isme . ............................ . . Soalan ini merupakan emel yang dikirimkan kepada saya beberapa hari yang lalu. Ia mungkin rentetan daripada penulisan saya sebelum ini berkenaan dengan Saidatina Aisyah di bawah tajuk ((Ummahatul Mukminin)). . Terima kasih kepada Saudara Dr. Azizul Isme di atas kiriman emel tersebut. . Saya sudah melihat youtube yang dilampirkan oleh saudara Azizul, ternyata ia merupakan satu lagi propaganda jahat golongan Syi’ah terhadap golongan Sunni. Bahkan, daripada bentuk soalan yang dikirimkan, saya sudah dapat mengagak bahawa ini pasti suatu perkara yang ada hubungkaitnya dengan Syi’ah. . Video klip ini membenarkan kenyataan saya sebelum ini bahawa golongan Syi’ah memang memusuhi sebahagian besar sahabat Rasulillah SAW. Ini bukan lagi suatu dakwaan dan rekaan semata-mata, malah telah dibuktikan oleh perbuatan yang dilakukan oleh mereka sendiri. . Sebenarnya ia bukan perkara baru. Perbuatan mereka menghina dan mengkafirkan para sahabat telah dilakukan semenjak dulu lagi oleh para ulama mereka di dalam kitab-kitab mereka. Saya sendiri pernah melihat beberapa buah kitab Syiah yang jelas-jelas melakukan perkara ini dan ia merupakan bukti yang tidak boleh disangkal lagi. . Di dalam kitab-kitab tersebut, mereka secara jelas telah mengkafirkan para sahabat agung Rasulillah SAW seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abdul Rahman ibn Auf, Zubair ibn Awwam, Talhah ibn Ubaidillah dan lain-lain lagi. Menafikan perkara ini sebenarnya sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada di tengah langit. . Ia jelas membuktikan kepada kita bahawa golongan Syi’ah memang mempunyai niat yang sangat jahat terhadap golongan Sunni sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat fatwa para ulama terutamanya di benua kecil India yang menyesatkan mereka lantaran perbuatan mereka yang hina itu. . Berkenaan dengan soalan yang dikemukakan kepada kami, kami tidak bercadang untuk memperincikan perbincangan mengenainya kerana jawapan mengenainya sudah banyak dijawab oleh para ulama kita di dalam kitab-kitab mereka. Bahkan hadis yang berkaitan dengan tanah Fadak yang telah dijadikan peluru oleh golongan Syiah dalam isu ini telah lama dijawab oleh para ulama terdahulu termasuklah Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya, ((Fathul Bari)) dan fakta ini juga telah dijelaskan secara terperinci oleh Imam Ibn Kathir di dalam ((Al-Bidayah wa An-Nihayah)). . Justeru itu, tidak perlulah saya tenggelam di dalam membahaskannya kerana ia akan mengambil ruang yang panjang untuk diperjelaskan dan sudah tentu, sedikit sebanyak ia akan mencarik konsentrasi para pembaca akibat dari perbincangan yang tinggi dan panjang itu. . Yang demikian, cukuplah saya membawakan dalil-dalil dari al-Quran dan Sunnah untuk anda semua berfikir, sekaligus bersetuju untuk menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan yang dikemukakan oleh golongan Syiah ini merupakan suatu rekaan dan penyelewengan semata-mata. PUJIAN RASULULLAH SAW & PARA SAHABAT TERHADAP ABU BAKAR: . Kalau ingin dihimpunkan, terlalu banyak riwayat yang memaparkan pujian Rasulullah SAW dan para sahabat RA kepada Abu Bakar RA. Memadailah sekiranya saya mendatangkan beberapa buah hadis sahaja untuk menggambarkan kemuliaan Abu Bakar di sisi Baginda SAW dan para sahabat beliau. . Daripada Abi Sa’id al-Khudri RA, nabi SAW telah bersabda:
. “Kalau aku diberikan peluang mengambil seseorang sebagai sahabat selain dari Tuhanku, nescaya aku akan memilih Abu Bakar”((Riwayat Bukhari: 7/12/3659 & Muslim: 4/1855)) . Daripada Jubair ibn Mat’am RA katanya: Telah dating seorang perempuan menemui nabi dan beliau mengatakan sesuatu kepada baginda. Maka nabipun memerintahkan sesuatu kepadanya. Lalu perempuan itu berkata:
. “Apa pandanganmu wahai Rasulallah sekiranya aku tidak menemuimu? Nabi menjawab: Jika kau tidak menemui aku, maka datanglah kepada Abu Bakar”((Riwayat Bukhari: 7/17/3659 & Muslim: 4/1856)) . Amru ibn ‘Ash RA bertemu dengan nabi SAW lalu bertanya:
“Siapakah orang yang paling kau kasihi? Baginda menjawab: Aisyah. Aku bertanya lagi: Daripada lelaki pula? Nabi menjawab: Bapanya (Abu Bakar). Aku terus bertanya: Kemudian? Nabi menjawab: Umar dan beberapa lagi sahabat-sahabat yang lain. Kemudian aku terus berhenti bertanya kerana aku takut aku berada di kedudukan yang terakhir di kalangan mereka”((Riwayat Bukhari: 7/17/3659 & Muslim: 8/1856)) . Saidina Umar RA berkata:
“Abu Bakar adalah pemimpin kami, dan sebaik-baik (sahabat) dari kalangan kami, dan orang yang paling dikasihi oleh Rasulillah SAW”((Riwayat At-Tirmizi, 834/3665. Beliau mengatakan hadis ini Hasan Gharib)) . Daripada Huzaifah RA bahawa nabi SAW bersabda:
. “Ikutilah orang-orang selepas aku (iaitu) Abi Bakar dan Umar”((Riwayat Tirmizi: 835/3671. Beliau mengatakan hadis ini Hasan)) . Nabi SAW berkata kepada Abu Bakar RA:
“Engkau sahabatku di telaga[1] dan sahabatku di dalam gua”((Riwayat Tirmizi: 837/3679)) . Hadis-hadis ini telah menjadi saksi betapa Abu Bakar RA merupakan sahabat agung Rasulillah SAW di dunia dan akhirat. Di samping menghormati diri beliau sebagai bapa mertuanya, beliau juga dihormati sebagai seorang sahabat yang terlalu banyak berjasa dan berkorban di dalam perjuangan Rasulullah SAW sehingga apabila ditanya oleh Rasulullah SAW tentang harta-harta yang telah beliau infaqkan di jalan Allah SWT, Abu Bakar RA menjawab: “Aku tiada apa-apa melainkan Allah dan dirimu wahai Rasululllah”. . Lihat bagaimana keperibadian beliau di hadapan Rasulullah SAW dan bagaimana pula kedudukan beliau di sisi baginda SAW? . Di kala ramai orang ragu-ragu dengan kenyataan Rasulullah SAW mengenai perjalanan Isra’ dan Mi’rajnya ke Sidratul Muntaha, Abu Bakar hadir dengan gerbang iman yang mengimani dan membenarkan sepenuhnya khabar yang disampaikan oleh nabi Allah itu tanpa sedikitpun ragu-ragu terhadap baginda SAW. Kerana itu, beliau digelar As-Siddiq oleh nabi SAW dan ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan yang tersangat agung yang diberikan oleh utusan Allah SWT kepada beliau. . Oleh itu, tanyakan kepada diri sendiri, wajarkah tohmahan sebegini dilemparkan kepada beliau?
KETERANGAN DARIPADA AL-QURAN: . Baik, kalau anda tidak percaya kepada hadis-hadis yang dikemukakan kerana tiada jaminan yang menetapkan bahawa ia tidak akan terdedah dari pelbagai pemalsuan dan penyelewengan, maka dengan itu, mari kita merujuk kepada sumber pertama kita, iaitu al-Quran al-Kareem yang dijamin oleh Allah SWT sendiri daripada diselewengkan. Allah SWT dengan kebenaran kalam-Nya telah berfirman:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang terawal (memeluk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka Itulah orang-orang yang benar-benar beriman. mereka memperoleh ampunan dan rezki (nikmat) yang mulia” (Al-Anfal: 74)
“..bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka Itulah orang-orang yang benar” (Al-Hasyr: 8)
“Dan orang-orang yang telah menduduki kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin) dan mereka (Anshar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari ketamakkan dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung” (Al-Hasyr: 9)
.
Lihatlah bagaimana Allah SWT sendiri memuliakan mereka dari kalangan As-Sabiqunal Awwalun, golongan Muhajirin dan Anshar dengan memberikan kepada mereka dengan pelbagai gelaran:
.
أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا
.
أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
.
فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
.
Siapakah mereka ini kalau bukan para sahabat Rasulillah SAW yang agung !! ... mereka adalah orang-orang mukmin yang sebenar, yang benar dan yang berjaya !! .. kerana mereka sanggup menjual diri-diri mereka kepada Allah SWT dengan meninggalkan harta benda, kekayaan, keluarga dan tanah air mereka demi untuk menyahut seruan Muhammad SAW dan bersama baginda di atas jalan yang benar ... lalu Allah membeli diri-diri mereka dengan harga yang mahal dan memuliakan mereka kerana iman.
.
Jalan yang mereka lalui adalah jalan yang penuh berduri. Air mata tidak mampu menjadi penawar luka yang mereka alami, tetapi iman dan kesabaran yang teguh. Mereka menggenggam iman seperti menggenggam bara-bara api, sakit dan terluka di sepanjang perjalanan, sehingga ada yang terbunuh syahid, disula hidup-hidup, dipotong tangan dan kaki dan sebagainya. Namun mereka tetap teguh bersama Rasulullah SAW ... Mereka adalah generasi yang sangat yakin dengan janji-janji Allah dan Rasul-Nya, mereka adalah sebaik-baik sahabat para nabi dan sebaik-baik generasi ummat Muhammad SAW.
.
Dan kerana merekalah, kita mampu mengecapi nikmat Iman dan Islam pada saat ini. Mereka telah berjaya menjadi jundi-jundi Rasulullah SAW dan menjalankan amanah dakwah ke seluruh alam.
.
PERISTIWA YANG DIABADIKAN:
.
Di antara banyak-banyak peristiwa penting di sepanjang perjalanan dakwah Rasulullah SAW, Allah SWT telah mengabadikan di dalam al-Quran peristiwa penting di antara nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar di dalam gua Thur.
.
Ia merupakan waktu-waktu getir yang menjadi penentu di antara hidup dan matinya batang tubuh kekasih Allah SWT itu serta sahabatnya, Abu Bakar. Malah saat itu juga merupakan penentu kepada perjuangan Islam yang diseru oleh baginda SAW ... samada ia akan terus bersemarak atau terkubur di situ sahaja.
.
"Kenapakah engkau menangis Abu Bakar?", soal nabi SAW yang terjaga dari tidurnya setelah terkena air mata Abu Bakar RA yang terjatuh di wajah baginda.
.
"Aku disengat binatang (wahai Rasulullah)", jawab Abu Bakar yang sedang menahan sakit.
.
Begitulah cinta Abu Bakar RA kepada Saidina Muhammad SAW. Kasihnya beliau kepada Rasulullah SAW membuatkan beliau sanggup membiarkan dirinya disengat binatang buas, malah tetap berada di posisinya tanpa bergerak kerana takut ia akan membangunkan Rasulullah SAW yang sedang tidur di pangkuannya. Kemudian dengan mukjizat kenabiannya, Rasulullah SAW meludahi bahagian kakinya yang disengat hingga hilang kesakitannya.
.
Inilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Abu Bakar RA terhadap Rasulullah SAW. Beliau lebih rela mati andaikata beliau ditaqdirkan mati di situ, asalkan baginda SAW selamat dan dakwah Islam terus disebarkan.
.
“Engkau sahabatku di telaga(telaga al-Kausar) dan sahabatku di dalam gua(gua Thur)”, berkata nabi SAW kepada Abu Bakar.
.
Inilah pengiktirafan yang tersangat agung oleh nabi Muhammad SAW kepada beliau.
.
Apa lagi yang kita mahukan sekiranya kita telah mendapat pengiktirafan dari kekasih Allah SWT, sebaik-baik dan semulia-mulia insan di sisi Allah SWT, penghulu segala nabi dan pemberi syafaat di akhirat kelak?
.
Tiada lagi sebaik-baik pengiktirafan melainkan pengiktirafan yang diberikan oleh baginda SAW. Kita bukan sahaja mendapat kebahagiaan hidup di dunia, malah bahagia dan berjaya di akhirat nanti. Begitulah hakikat kebahagiaan yang dirasai oleh Abu Bakar RA .. baginda meredhai beliau, Allah SWT juga pasti meredhainya.
.
"Sesiapa yang berjaya menemui Muhammad dan Abu Bakar dalam keadaan hidup ataupun mati akan diberikan ganjaran senilai 100 ekor unta !!", isytihar salah seorang pemuka kafir Quraisyh di khalayak ramai.
.
Maka berebut-rebutlah manusia bertaburan mencari batang tubuh mereka berdua. Siapa yang tidak mahu dengan ganjaran sebesar itu ??
.
Bersungguh-sungguh mereka membuat pencarian, sehingga ada yang berjaya sampai ke tempat persembunyian nabi SAW dan Abu Bakar. Dalam upaya pencarian itu, puak-puak Quraisyh sebenarnya telah sampai di mulut gua Thur. Andaikata salah seorang daripada mereka menundukkan kepalanya dan melirik ke arah kakinya, nescaya mereka bisa melihat Rasulullah SAW dan Abu Bakar.
.
Pada saat yang begitu tegang itu, Abu Bakar menjadi sangat khawatir dengan keselamatan diri Rasulullah SAW. Melihat keadaan Abu Bakar dalam keadaan sebegitu, Rasulullah SAW lalu menenangkan.
.
"Apa yang engkau khawatirkan wahai Abu Bakar jika kita adalah dua orang dan Allah yang ketiganya? Maka tidak perlulah kamu bersedih. Sesungguhnya Allah bersama kita", Rasulullah SAW menenangkan Abu Bakar.
.
Allah SWT mendengar ucapan nabi SAW itu, lalu mereka diselamatkan daripada peristiwa yang getir itu. Allah SWT masih sayangkan hamba-Nya dan masih mahukan agama Islam terus disebarkan.
"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu Dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."" (At-Taubah: 40)
.
Begitulah peristiwa ini diabadikan .....
.
KESIMPULAN:
.
Cukuplah keterangan-keterangan ini menjadi bukti dan saksi akan kemuliaan generasi para sahabat RA. Allah SWT telah membenarkannya dan kemuliaan mereka terus kekal sampai bila-bila walau badai datang menyerang.
.
Sekiranya anda pernah membaca atau mendengar sebarang kenyataan-kenyataan yang meragukan tentang para Sahabat Rasulullah SAW, campaklah keraguanmu itu ke dinding dan percayalah bahawa semua itu merupakan suatu kepalsuan.
.
Sesungguhnya kita mempunyai Allah dan Rasul sebagai sandaran, maka cukuplah mereka menjadi rujukan yang membenarkan kemuliaan dan keagungan mereka.
.
Wallahu a'lam
.
خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ بُعِثْتُ فِيهِمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ . "Sebaik-baik umatku ialah mereka yang aku diutuskan padanya (sahabat RA), kemudian generasi selepas mereka ..."((Hadis riwayat Muslim))
.
.
.
.
.
...................................... . [1] Pengarang ((Tuhfatul Ahwazi)) mengatakan, yang dimaksudkan dengan telaga itu merujuk kepada telaga Al-Kausar. WA
1 comments:
Thank you for using my vexel. However, I would much appreciate it if you had linked back to me or at least give me credit. Thanks
- PORSCHER.deviantart.com
Post a Comment