Thursday 19 April 2007

Lantikan hakim sambilan jika terdapat keperluan

KUALA LUMPUR 17 April – Pelantikan hakim sambilan di kalangan peguam-peguam kanan akan dibuat jika terdapat keperluan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau berkata, bagi kawasan kritikal seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, pelantikan itu mungkin boleh dibuat bagi membantu menyelesaikan kes-kes tertangguh.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu melihat dahulu keperluan itu setelah kekosongan 16 jawatan hakim diisi.

‘‘Kemudian, barulah pelantikan hakim dibuat atas dasar sambilan atau kontrak untuk tujuan seperti menyelesaikan kes-kes tertangguh,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta di sini, hari ini.

Mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman pula, Ahmad Fairuz berkata, ia perlu mendapat kelulusan kerajaan kerana pelantikan tersebut membabitkan peruntukan kewangan.

Mengulas kemungkinan hakim-hakim yang telah bersara dilantik ke jawatan tersebut, Ahmad Fairuz berkata, ia perlu kepada pindaan Perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk berbuat demikian.

‘‘Jika di Singapura, ada peruntukan untuk membolehkan hakim yang telah bersara dilantik semula. Tetapi di sini, kita tidak ada peruntukan serupa,’’ katanya.

Menyentuh pembinaan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu, beliau berkata, ia akan beroperasi sepenuhnya mulai 3 Mei depan dan dijangka dapat membantu ke arah penyelesaian lebih banyak kes.

Malah katanya, melalui pembinaan kompleks itu, pihaknya bercadang melanjutkan tempoh persidangan Mahkamah Majistret sehingga pukul 8 malam, bagi menyelesaikan kes-kes kecil seperti saman trafik.

‘‘Bangunan Sultan Abdul Samad akan kita pulangkan balik ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tetapi Wisma Denmark akan dikekalkan kerana kita masih memerlukan ramai hakim untuk menyelesaikan kes-kes tertangguh,’’ jelasnya.

0 comments: