Tuesday, 17 April 2007

Mencari Hikmah di Sebalik Musibah

kl_04161.jpg

Kredit: Harian Metro 16 April 2007

Assalamualaikum.

Sebagaimana semua ibu bapa menumpang resah dan sedih semasa kehilangan anakanda Yin, begitu jugalah perasaan lega dan syukur dikongsi ketika anakanda Yin selamat ditemui. Alhamdulillah. Saya sendiri setiap hari mengadap media untuk mengikuti perkembangan terkini dan syukur segala-galanya berakhir dengan baik.

Namun, saya berasa gundah apabila pihak berkuasa terlalu cepat menafikan unsur jenayah daripada kejadian tersebut dan kerisauan terbit di sebalik kegembiraan dan kesyukuran apabila anakanda Yin ditemui.

Walaupun secara peribadi, kerisauan Encik Syamsul sekeluarga sudah berakhir, namun segala keraguan yang timbul mesti disiasat kerana pada keprihatinan itu, adalah jaminan keselamatan untuk anak-anak yang lain pula.

Sama seperti di hospital, jika ada kejadian yang tidak baik menimpa ahli keluarga kita yang berpunca dari kecuaian (iatrogenic cases), jangan sekali-kali kita tutup buku dengan alasan “nak buat macam mana, kalau dibayar dengan emas permata sekali pun, anakku takkan hidup kembali”. Memang benar, yang mati tidak dapat dihidupkan kembali. Tetapi tindakan kita mendakwa mereka yang bersalah, akan mencegah kes yang sama menimpa orang lain.

Inilah hikmah Islam menghukum mati ke atas pembunuh dengan berkata “Dan bagi kamu pada hukuman Qisas itu ada kehidupan” (Al-Baqarah : 179). Iaitu dengan mematikan pembunuh, ia memberi kehidupan kepada manusia yang lain.

Di negara Barat, banyak kes dan isu kesihatan, kekeluargaan dan kebajikan berjaya diangkat menjadi polisi dan akta, hasil lobi dan perjuangan ibu bapa yang anak mereka menjadi mangsa kes-kes yang pelbagai. Walaupun mereka tidak dapat apa-apa kerana anak mereka yang mati tetap mati, namun usaha mereka telah menghasilkan perlindungan kepada anak orang lain pula.
Tindakan seperti inilah yang menepati usaha mencari hikmah di sebalik musibah. Kebaikannya mungkin bukan dalam bentuk yang kita mahu, tetapi ia lahir dalam bentuk yang Ummah perlu. Demi Allah dan demi Akhirat, lakukanlah ia dan perjuangkanlah ia.

Saya amat berharap agar pasangan Myanmar itu disiasat dengan teliti. Kebaikan mereka menjaga anakanda Yin (jika boleh dianggap menjaga), akan diganjarkan Allah sesuai dengan niat dan amalan mereka. Namun sebagai manusia, setiap unsur jenayah di sebalik kehilangan anakanda Yin, mesti disiasat, kerana mungkin hikmah besar di sebalik kejadian ini, ada jenayah besar yang dapat dicegah.

Semuanya mungkin tip of the iceberg. Siapa tahu…

Peluk cium buat anakanda Yin dari seluruh ibu dan bapa Malaysia…

0 comments: