Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir(ulama) sekiranya kamu tidak mengetahui”(al-Anbia’: 7)
Pada hakikatnya, ianya tidaklah bid’ah yang diada-adakan di dalam agama, bahkan pengharusannya bersandarkan kepada dalil-dalil yang sahih yang dijelaskan oleh ahli zikir (ulama) yang diiktiraf keilmuan dan keperibadiannya.
Justeru, marilah kita menilai secara adil dengan hati yang terbuka tentang permasalahan berzikir jahar secara berjamaah ini; adakah ianya diharamkan secara mutlak atau diharuskan secara mutlak atau diharuskan tetapi dengan bersyarat? Di sini kami akan kemukakan dalil-dalil yang mengharuskan mengeraskan suara ketika berzikir beserta pandangan ulama terhadap dalil-dalil yang dikemukan oleh Prof Madya Dr Ahmad Farouk Musa dalam membid’ahkan pengamalan tersebut.
Dalil-dalil yang membenarkan serta pandangan ulama terhadapnya:
Terdapat begitu banyak dalil yang dikemukakan oleh para ulama pada mengharuskan berzikir dengan suara yang keras, tetapi kami hanya mampu mengemukakan sebahagian kecil sahaja dalil-dalilnya kerana keuzuran ruang untuk dimuatkan di dalam majalah.
Imam Abi Hasanat al-Laknawi berkata: “Tidak ada larangan berzikir secara jahar, bahkan hadis-hadis telah menjadi dalil di atas keharusannya atau tuntutan ke atasnya. Bagaimana tidak, bagi zikir yang keras(jahar) itu terdapat kesan di dalam melunakkan hati yang tidak ada di dalam zikir perlahan (sirriyyatan)”. (Sibahatul Fikri fil Jahri bizZikri, Abi Hasanat al-Laknawi al-Hindi, m/s 62, Matbu’at al-Islamiyyah)
Syaikh AbdulHaq ad-Dahlawi berkata di dalam kitabnya Bitauseelil Mureedi ilal Muradi Bibayani Ahkamil Ahzabi waAuradi: “Menjaharkan zikir dan tilawah, dan berkumpul untuk berzikir di dalam majlis-majlis dan masjid-masjid adalah harus dan dibenarkan di dalam agama, kerana hadis “man zakarani fi mala’ zakartuhu fi mala’ khairim minhu”, dan berfirman Allah taala: “sebagaimana kamu menyebut nama nenek moyang kamu atau lebih daripada itu”, dan di dalam Sahih Bukhari daripada Ibn Abbas berkata: “Tidak kami ketahui saat selesainya solat (di masjid) semasa saat rasulullah kecuali dengan zikir yang kuat”. Juga di dalam as-Sahih, sesungguhnya mereka menjaharkan zikir dengan ‘la ilaha illallaha wahdahu la syarikalah …wahua ‘ala kulli syai’in qadir’, dan telah datang di dalam sebahagian riwayat yang mengkhususkan pada pagi fajar dan maghrib”. (Dinaqal dari Sibahatul Fikri fil Jahri bizZikri, m/s 64)
1. Daripada Ibn Abbas telah berkata:
أن رفع الصوت بالذكر حين ينصرف الناس من المكتوبة، كان على عهد النبي صلى الله عليه وسلم
“Berzikir dengan suara yang keras setelah orang ramai melaksanakan solat fardhu itu telah berlaku pada masa rasulullah s.a.w”. Dan Ibn Abbas berkata:
كنت أعلم، إذا انصرفوا، بذلك، إذا سمعه
“Aku mengetahui bahawa selesainya solat mereka apabila aku mendengarnya(suara berzikir dengan nyaring)”.(Riwayat Bukhari, Kitab Azan, Bab Zikir selepas Solat(155:841), Maktabah ‘Asriyyah & Muslim, Kitab Masajid dan Kedudukan Solat, Bab Zikir selepas Solat (23:122), Dar al-Kutub Ilmiah)
Walaupun hadis ini mauquf, tetapi Imam Bukhari menghukumkan ia sebagai marfu’ kerana lafaz “كان على عهد النبي” menjadi bukti bahawa pengamalan zikir tersebut telah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. (Fath al-Bari (juz 2: m/s 413), Dar al-Kutub Ilmiah )
Berkata Ibn Hajar ketika mensyarahkan kata-kata Ibn Abbas: “كان على عهد النبي” bahawa padanya terdapat dalil yang menunjukkan harusnya berzikir jahar selepas solat dan telah sepakat Muslim dan jumhur atas yang demikian itu. (Fath al-Bari (juz 2: m/s 413), Dar al-Kutub Ilmiah ). Menurut Ibn al-Qayyim:
ومنه تقريرهم على رفع الصوت بالذكر بعد السلام بحيث كان من هو خارج المسجد يعرف انقضاء الصلاة بذلك ولا ينكره عليهم
“Dan berlaku penetapan nabi s.a.w terhadap mereka(sahabat r.anhum) pada mengangkatkan suara ketika berzikir setelah mengucapkan salam(penutup solat) dengan sekira-kira orang yang berada di luar masjid mengetahui saat selesainya solat dengan demikian(berzikir jahar) dan tidak seorangpun yang mengingkari perbuatan itu”. (I’lam al-Muwaqi’in, Ibn Qayyim al-Jauziyyah (juz 2: m/s 389))
2. Daripada Ibn Abbas r.a, beliau berkata:
كنا نعرف انقضاء صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتكبير
“Aku mengetahui saat selesainya solat nabi s.a.w dengan bertakbir”(Riwayat Bukhari, Kitab Azan, Bab Zikir selepas Solat(155:842), Maktabah ‘Asriyyah). Di dalam riwayat Humaidi dari Sufyan dengan lafaz yang berbeza:
ما كنا نعرف انقضاء صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم إلا بالتكبير
“Tidak kami ketahui saat selesainya solat rasulullah s.a.w kecuali apabila baginda bertakbir”. (Fath al-Bari (juz 2: m/s 414), Dar al-Kutub Ilmiah. Muslim, Kitab Masajid & Kedudukan Solat, Bab Zikr selepas Solat (23:120), Dar al-Kutub Ilmiah)
Ketika mensyarahkan kata-kata Ibn Abbas: “بالتكبير”, Ibn Hajar berkata: “Zikir itu lebih umum dari takbir dan berkemungkinan ia memberi maksud sebegitu. Maka yang dikehendaki dengan mengeraskan suara ketika zikir itu adalah bertakbir dan seolah-olah mereka memulakan zikir dengan bertakbir selepas solat sebelum bertasbih dan bertahmid” (Fath al-Bari (juz 2: m/s 414), Dar al-Kutub Ilmiah )
3. Daripada Mu’awiyah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w melalui satu halaqah dari kalangan sahabatnya lalu berkata:
ما أجلسكم؟ قالوا: جلسنا نذكر الله ونحمده على ما هدانا للإسلام ومنّ به علينا فقال: ألله ما أجلسكم إلا هذا, قالوا: الله ما أجلسنا إلا ذلك, فقال: أما إني لم أستحلفكم تهمة لكم ولكن أتاني جبريل فأخبرني أن الله عز وجل يباهي بكم الملائكة
“Perhimpunan apakah ini? Mereka menjawab: Kami berhimpun berzikir kepada Allah dan memuji-Nya kerana petunjuk Islam yang telah Dia kurniakan kepada kami. Nabi berkata: Benarkah kamu tidak berhimpun melainkan kerana tujuan ini? Mereka menjawab: Demi Allah, tidak kami berhimpun melainkan kerana ini ! Nabi bersabda: Sepatutnya aku tidak meminta kamu untuk bersumpah kerana syak kepada kamu tetapi aku ingin memberitahu kamu bahawa Jibril telah memberitahuku bahawa Allah membanggakan kamu di hadapan malaikat” (Riwayat Muslim, Kitab Zikr & Doa, Bab Kelebihan Berhimpun untuk Tilawatil Quran dan Zikr (11:2701), Dar al-Kutub Ilmiah)
4. ‘Ubai bin Ka’ab berkata: “Adalah rasulullah s.a.w apabila memberi salam dari solat witir menyebut: Subhanal malikul quddus, sebanyak tiga kali, dan baginda mengeraskan suaranya sebanyak tiga kali”.(Riwayat Abu Daud (2:137), Kitab Solat, Bab Doa selepas Witir dan lain-lain).
Telah berhujjah Imam ad-Dahlawi di dalam al-Lam’atu Syarah Misykat dengan hadis ini di dalam mengharuskan zikir secara jahar (bersendirian atau berjamaah).
5. Daripada Anas r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:
لأن أجلس مع قوم يذكرون الله بعد صلاة الصبح إلى أن تطلع الشمس أحب إلي مما طلعت عليه الشمس و لأن أجلس مع قوم يذكرون الله بعد العصر إلى أن تغيب الشمس أحب إلي من الدنيا وما فيها
“Kerana mengingati Allah dalam kelompok selepas daripada solat fajar sehingga terbit matahari lebih aku sukai dari dunia dan seisinya dan kerana mengingati Allah dalam kelompok selepas solat asar sehingga tenggelam matahari lebih aku sukai dari dunia dan seisinya” (Riwayat al-Baihaqi disebut di dalam Fatawa al-Hadisiyyah, m/s 55, Dar al-Fikr)
Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda:
لأن أقعد مع قوم يذكرون الله تعالى من صلاة الغداة حتى تطلع الشمس أحب إلي من أن أعتق أربعة من ولد إسماعيل ولأن أقعد مع قوم يذكرون الله من صلاة العصر إلى أن تغرب الشمس أحب إلي من أن أعتق أربعة
“Kerana duduk bersama satu kelompok yang mengingati Allah dari solat subuh sehingga terbitnya matahari lebih aku sukai dari memerdekakan dari empat orang anak Ismail dan kerana duduk bersama satu kelompok yang mengingati Allah dari solat asar sampai tenggelamnya matahari lebih aku sukai dari memerdekakan empat ini dan ini dari anak Ismail” (Diriwayatkan oleh Abu Daud disebut di dalam Fatawa al-Hadisiyyah, m/s 55, Dar al-Fikr )
Al-Haithami berkata di dalam fatwanya: “Berzikir berjemaah selepas solat subuh dan solat lainnya mempunyai asal yang sahih daripada sunnah. Sesungguhnya para ulama umpama doktor, mereka tidak menyuruh pesakit sesuatupun kecuali apa yang mereka lihat padanya terdapat pengubat bagi penyakit. Dan begitu juga bagi para ulama, sebahagian mereka mendapati dan memilih zikir secara keras/jahar kerana ia boleh menolak waswas dan membangkitkan hati yang lalai dan sebahagian mereka memilih zikir secara perlahan untuk mendidik hati mereka supaya ikhlas” (Fatawa al-Hadisiyyah, Ibn Hajar al-Haithami, m/s 56, Darul Fikri)
6. Nabi s.a.w bersabda:
ما جلس قوم مسلمون مجلسا يذكرون الله إلا خفت بهم الملائكة ونزلت عليهم السكينة وغسيتهم الرحمة
“Tidak berkumpul satu golongan dari orang-orang Islam di dalam satu majlis yang menyebut di dalamnya nama Allah melainkan disinari oleh malaikat, dan diturunkan kepada mereka ketenangan, dan dilitupi dengan rahmat” (Riwayat Muslim, Kitab Zikr & Doa, Bab Kelebihan Berhimpun untuk Tilawatil Quran dan Zikr (11:2700), Dar al-Kutub Ilmiah)
Syaikh AbdulHaq ad-Dahlawi berkata di dalam kitabnya Bitauseelil Mureedi ilal Muradi Bibayani Ahkamil Ahzabi waAuradi: “Mentakwilkan lafaz الذكر dengan muzakarah ilmu adalah tidak tepat, dan tidak boleh memalingkan lafaz tersebut dengan selain dari apa yang dapat difahami oleh akal tanpa sebarang sebab. Jika dikatakan: Tidak semestinya di dalam halaqah zikir itu mereka berzikir dengan jahar, kerana boleh jadi setiap orang dari mereka berzikir secara perlahan. Maka kami katakan: Sekiranya mereka berzikir secara perlahan, maka tiadalah faedah disebut ‘berkumpul’ di dalam hadis tersebut”. (Dinaqal dari Sibahatul Fikri fil Jahri bizZikri dari kitab beliau yang sama, m/s 65)
7. Diriwayatkan oleh Thabrani dari Muaz bin Anas secara marfu’ mengatakan: “Allah telah berfirman:
لا يذكرني أحد في نفسه إلا ذكرته في ملأ من ملائكتي ولا يذكرني في ملأ إلا ذكرته في الملأ الأعلى
“Tidak ada seseorang yang mengingati-Ku di dalam dirinya melainkan Aku mengingatinya di dalam jemaah dari kalangan malaikat. Dan tidak ada seseorang yang mengingati-Ku di dalam jemaah melainkan Aku mengingatinya di dalam jemaah yang lebih besar dari jemaah itu”. Berkata al-Munziri di dalam at-Targhib bahawa sanadnya hasan. Al-Haithami juga mengatakan demikian di dalam Majma’ Zawaid (juz 10, m.s 79, 16775)
8. Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Berkata Allah s.w.t:
أنا عند ظن عبدي بي. وأنا معه حين يذكرني. إن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي. وإن ذكرني في ملإ، ذكرته في ملإ هم خير منهم
“Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku terhadap-ku. Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku di dalam dirinya, Akupun mengingatinya di dalam diri-Ku; dan jika dia mengingati-Ku ketika berada di al-mala’ (di tengah-tengah kaum), Aku mengingatinya di tengah-tengah berjamaah (al-mala’) yang lebih baik dari jemaah itu.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Kitab Tauhid (10:8405), Maktabah ‘Asriyyah. Muslim,Kitab Zikr & Doa, Bab Galakkan Zikir pada Allah (1:2675), Dar al-Kutub Ilmiah)
Berkata al-Munziri di dalam kitabnya at-Tarhib wa at-Targhib: Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sahih, dan ditambah di akhirnya: Berkata Qatadah: “Dan Allah itu lebih cepat pengampunannya”
Berkata Imam As-Sayuti: “Tidak ada maksud bagi الذكر في الملأ melainkan dengan zikir secara jahar, hadis ini menjadi dalil akan keharusan mengamalkannya”. (al-Hawi li al-Fatawa, as-Sayuti, 1:389).
Al-‘Allamah al-Jazari di dalam Miftah al-Hesnil Haseen berkata: “Di dalamnya terdapat dalil yang menunjukkan ke atas keharusan berzikir secara jahar”. ‘Ali al-Qari di dalam al-Hirzus Sameen syarah al-Hisnul Huseen pula berkata: “Yang dikehendaki dengan lafaz الملأ di dalam hadis ini adalah tiada keharusan zikir jahar yang melebihi had (melampaui batas)”.
Dari penjelasan di atas memahamkan kami bahawa keharusan mengeraskan suara ketika berzikir adalah bersyarat iaitu tidak melampaui batas. Maka selagi mana syarat tersebut dipenuhi, maka ia adalah harus.
Berkenaan dengan hukum berjabat tangan sesudah solat, penulis tidak jujur dalam menaqalkan pendapat imam yang dinaqalkan sehingga memahamkan masyarakat bahawa itulah yang disebutkan oleh imam tersebut. Sedangkan apabila diteliti daripada sumber yang asal, didapati apa yang dinaqalkan adalah salah dan terpesong. Imam an-Nawawi berkata:
وأما هذه المصافحة المعتادة بعد صلاتي الصبح والعصر فقد ذكر الشيخ الامام أبو محمد بن عبد السلام رحمه الله أنها من البدع المباحة ولا توصف بكراهة ولا استحباب وهذا الذى قاله حسن والمختار أن يقال ان صافح من كان معه قبل الصلاة فمباحة كما ذكرنا وان صافح من لم يكن معه قبل الصلاة عند اللقاء فسنة بالاجماع للاحاديث الصحيحة في ذلك
“Adapun adat bersalaman selepas solat subuh dan asar, telah berkata Syeikh Imam Abu Muhammad bin Abdussalam bahawa sesungguhnya ia dari bid’ah yang harus dan tidak dimakruhkan dan disunatkan dan inilah yang disebut oleh Hasan. Dan pendapat yang terpilih adalah, jika orang-orang itu sudah berkumpul sebelum salat dimulai, berjabat tangan selepas solat itu hukumnya bid‘ah mubah seperti yang disebutkan tadi. Adapun jika mereka belum berkumpul ketika akan solat, berjabat tangan selepas solat adalah sunnah hukumnya”
Berdasarkan apa yang kami naqalkan dari sumber yang asal, Imam an-Nawawi tidak sesekali mengatakan bahawa berjabat tangan sesudah solat sebagai bid’ah yang sesat tetapi hanyalah bid’ah yang harus. Bid’ah yang harus bukanlah bermaksud bid’ah yang sesat sebagaimana Imam an-Nawawi sendiri menerima pendapat Imam Izz Abd Salam bahawa bid’ah terbahagi kepada 5 jenis; Wajib, Sunat, Haram, Makruh, Harus.
Pandangan ulama terhadap dalil yang dikemukakan oleh Prof Madya Dr Farouk Musa:
1. Abu Musa al-Asya’ari berkata:
كنا مع النبي صلى الله عليه وسلم فكنا إذا أشرفنا على واد هللنا وكبرنا ارتفعت أصواتنا فقال النبي صلى الله عليه وسلم ( يا أيها الناس اربعوا على أنفسكم فإنكم لا تدعون أصم ولا غائبا إنه معكم
“Kami bersama nabi (dalam satu perjalanan). Apabila kami turun ke suatu lembah, kami bertahlil dan bertakbir sehingga bergema suara kami. Maka nabi bersabda: Wahai manusia, berlemah-lembutlah kamu terhadap dirimu kerana kamu bukan menyeru kepada Dia yang pekak dan Dia yang jauh. Sesungguhnya Dia sentiasa bersama kamu”
Pertama: Walaupun اربعوا merupakan lafaz perintah, tetapi ia tidak membawa maksud makruh dan haram, bahkan perintah tersebut bertujuan untuk memudahkan mereka seperti mana yang disebutkan oleh Imam ad-Dahlawi di dalam Syarah Misykatnya.
Kedua: Hadis ini berhubung dengan larangan mengeraskan suara ketika zikir di jalan atau ketika sedang berjalan-jalan. (Shahih Shifat Shalat an-Nabi oleh Syeikh Hasan bin Ali as-Saqqaf, Darul Imam an-Nawawi). Sedangkan perbincangan memfokuskan tentang zikir jahar selepas solat dan hadis-hadis sahih telah menjadi dalil akan keharusannya.
Ketiga: Bahawa mereka berlebih-lebihan di dalam berzikir sepertimana yang ditunjukkan di dalam riwayat yang lain. Di dalam Fathul Wadud syarh Sunan Abi Daud di mana disebut dalam lafaz hadis رفعوا أصواتهم menjadi dalil bahawa mereka berlebih-lebihan di dalam berzikir secara jahar, tetapi bukanlah melarang zikir jahar secara mutlak. (Sibahatul Fikri fil Jahri bizZikri, m/s 37)
2. Allah s.w.t berfirman:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ
“Sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang”(Al-A’raf: 205).
Di dalam firman Allah yang lain:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Serulah tuhanmu dengan merendahkan diri dan perlahan. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” (al-A’raf: 55)
وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا
“Dan janganlah mengeraskan suara kamu di dalam solat dan jangan merendahkannya dan carilah di antara dua jalan tersenut” (al-Isra’: 110). (Tafsir ar-Razi, Fakr ar-Razi (7: 351))
Oleh itu, ayat ini menunjukkan kepada keharusan zikir secara perlahan dan jahar.
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Dan janganlah kamu memaki sesembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”(al-An’am: 108).
Makna yang terkandung di dalam ayat tersebut telah hilang. Apabila hilang ‘illatnya(sebab), maka hilanglah larangannya kerana larangan adalah taabi’ dan ‘illat adalah matbu’. Maknanya telah ditafsirkan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. (Natijah al-Fikri bi al-Jahr bi az-Zikr dalam al-Hawi lil Fatawa, Imam as-Sayuti, maktabah)
Wallahu a’lam.
1 comments:
Assalamu'alaikum fadhilatu assheikh...
Moga ALlah mengampunkan saya dan tuan.
Saya mohon penjelasan berkenaan altikel ini.
Soalan 1:-
Benarkah di sana ada larangan membaca al-Qur'an yang mulia di sisi oleh yang sedang solat pada pandangan sunnah yang jelas.
Kalau membaca al-quran tak dibenarkan, bagaimana mungkin seorang imam yang mempunyai makmum yang masbuq menjaharkan bacaannya.
Soalan 2:-
Bagaimana status hadith yang dikemukakan tadi tarafnya, sohih, hasan sohih dll..
Soalan 3:
Adakah jaharzikir Rasullullah sepanjang masa... mungkinkan baginda men'sirr'kan bacaannya pada ketika yang lain. Adakah pendapat men'sirr'kan ditolak secara mutlak..
Wallahu'lam..
Abu Faaiziddin
Post a Comment