Friday, 3 August 2007

Keluarga kami ada nik adli..

Artikel yang membuatkan hatiku marah(kpd UMNO) dan air mataku mengalir

Oleh: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
http://nikabduh.wordpress.com

Salam Kamunting,

Enam tahun lepas, ketika saya masih menjawat sebagai mudir/pengetua Madrasah Darul Anuar ( kini Maahad Darul Anuar ) di Pulau Melaka, pusat pengajian ugama yang diasaskan arwah datuk saya, Tokku Nik Mat Alim, Nik Adli, kekanda saya adalah guru yang turut sama mendidik anak - anak murid yang kini kebanyakannya dah pun keluar universiti atau masih menuntut.

Beliau ditangkap dan ditahan di bawah Akta ISA pada tahun itulah. Samalah Seperti seluruh keluarga mangsa ISA yang lain, kami sekeluarga merasa cukup tertekan. Tetapi, Allah menukarnya secepat yang Dia mahu. Nik Adli segera menjadi idola kebanggaan kami.

Jika anda menziarahinya di neraka binaan Umno itu ( sebelum Allah tunjukkan neraka buat mereka ), anda pasti disergap rasa kagum dengan kekentalannya, ketenangannya dan kepahlawanannya hidup mengabdi diri pada tuhannya selama lima tahun di situ. Kami melihatnya dan merasainya secar live sesudah kami membaca cerita - cerita para pejuang yang diuji dengan ujian yang sepertinya.

Ayahanda kami sudah tua. Apabila anaknya yang banyak mewarisi keperibadiannya itu ditahan, dia banyak sekali menangis membiar air matanya mengalir, lagi - lagilah di mihrab tempat bersujud mengabdi diri pada tuhannya di malam hari itu. Dia cukup tahu, anaknya adalah mangsa percaturan politik kotor musuh untuk melemahkannya dan memburukkan reputasinya sebagai seorang ketua pejuang Islam di negara ini. Tubuhnya gagal dicalar, lalu anaknya yang ini menjadi mangsa. Pasti ayahanda cukup tahu ini.

Bonda kami, oh, bayangkan bagaimana terhirisnya hati seorang ibu yang dipaksa mengutip kembali saat - saat indah masa melahirkan dan membesarkan anaknya daripada kecilnya.

( Kalaulah Tun Mahathir dan Pak Lah sempat merasai kehangatan air mata itu di dunia ini sebelum merasai bahananya di akhirat, itulah yang terbaik buat mereka. Jikalah ada Jeanne yang memberitahu.. )

Selepas penahanannya beberapa hari, saya menulis mengenainya dengan hati yang gundah. Saya membelanya sepertilah saya mahu membela para mujahidin di Afghanistan yang hidup di medan perjuangan yang cercaan dan fitnah umat sendiri mengatasi hujanan peluru musuh. Saya hanya mengedarkannya kepada ahli jamaah di masjid kami. Beberapa orang teman menangis membaca tulisan itu.

Kini saya berusaha mencarinya, tetapi gagal. Saya acap menyimpan di tempat yang akhirnya tersimpan dari capaian saya sendiri!

Tahun lepas, ketika Israel mula menyerang Lubnan, saat Nik Adli hampir genap lima tahun penahanannya, saya menulis lagi. Saya hantar kepada Harakah dan Harakah segera menerbitkannya.

Kekanda saya akhirnya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting selepas lima tahun merengkok. Beliau dan sahabat - sahabatnya juga. Kini beliau di tahan tahanan terhad di rumah. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa semua.

Sempena hampir genap enam tahun ditahan, dengan harapan semoga beliau dan sahabat - sahabatnya bebas sepenuhnya ( minta dengan Allah, bukan Pak Lah ), saya lampirkan kembali tulisan itu di blog ini. Ini yang ori, berbanding yang disiarkan Harakah yang telah digunting - gunting. Semoga bermanfaat untuk bacaan semua. Ya, salam Kamunting…

( Terima kasih untuk dhuat79 yang menghadiahkan untuk saya sebuah lagunya yang cukup bagus melalui email dua malam lepas. Semuanya luahan kebencian terhadap kezaliman ISA. ‘ Di manakah Abi?’ Nak? Mintalah dengannya.. Rasanya, free.. )


Nik Adli, keluarga dan ISA

Sudikah saudara pembaca budiman meluang sedikit masa untuk bersama Nik Adli, kekanda saya yang masih terperangkap di Kamunting sana. Maaflah, tumpuan dan diri kita hari ini memang patut dihulurkan ke Lubnan, atau lebih jelas lagi, ke bumi Palestin.

Saya pun keliru juga untuk menulis pasal dan perihal kami sekeluarga pada saat ummat Islam sedunia berada pada tahap segenting ini. Maha guru Dr Yusuf Al Qardhawi berkata, jihad di Lubnan, apatah di bumi Palestin adalah sesuci - suci jihad di muka bumi hari ini. Nilainya tinggi disisi agama, di sisi Allah. Usah berkira pasal Hizbullah itu Syiah. Mereka adalah ahli Kalimah Syahadah, seperti kita, berdepan dengan sebesar - besar jentera kalimah kufur di muka bumi.

Tsunami dulu telah mengubah peta muka bumi. Peperangan di Lubnan hari ini akan mengubah peta wajah kehidupan manusia di bumi. Khabaran awalan daripada Nabi agung, sallallahu alaihi wasallam perihal ummatnya hari ini sentiasa diikat dengan peristiwa - peristiwa pertembungan di bumi Syam di antara tentera muslimin yang memikul kebenaran dan keadilan dengan bangsa Yahudi yang memikul panji kerosakan di muka bumi. Apalah sangat cerita Kamunting saat ini.

Kalaulah tidak kerana masa rakyat Malaysia masih ada untuk dikosongkan buat mendengar penjelasan Siti pasal bakal suaminya, atau Khairi pasal bukan Mayanya, atau Pak Lah pasal menantunya, atau Tun Mahathir pasal duka nestapanya, atau macam - macam pasal lagi, sudah pasti saya tidak suka untuk bercakap juga pasal Nik Adli dan rakan - rakannya yang terkurung sejak sekian lama di Kamunting itu.

September ini genap lima tahun abang saya itu menghuni kediaman yang dibina pemerintah Melayu Malaysia buat menahan rakyatnya yang jahat - jahat yang ditakuti menular kejahatannya di dalam masyarakat. Nik Adli atau sesiapa sahaja yang berada di kediaman ini yang dihukum sebagai jahat tadi akan menikmati dua nyawa. Satu nyawa kurniaan Penciptanya untuk hidup di dunia ini. Kedua, nyawa kurniaan Menteri Dalam Negeri untuk dia meneruskan kehidupan di Kem Kamunting.

Bezanya, bila nyawa kurniaan tuhan ditambah disambung, tiada insan yang tak gembira menyambutnya. Ada yang buat majlis baca doa panjang umur, ada upacara tiup meniup lilin. Raya puja umur pun ada juga. Adapun bila nyawa kurniaan menteri tadi disambung, ia disusuli dengan titisan air mata kesedihan yang teramat sangat oleh seluruh yang menanti nyawa itu tak disambung.

Tapi, seperti halnya Raja Namrud dan Firaun di zaman dulu - dulu, menteri ini jadi seronok dapat jadi seperti Tuhan, kalau pun tak jadi Tuhan, untuk memberi dan menarik nyawa rakyatnya yang jahat - jahat ini.

Nik Adli dan rakan - rakannya ditahan di bawah ISA atas tuduhan menjadi pengganas di bumi Malaysia. Dalam ISA, tuduhan adalah bukti yang kukuh. Mahkamah tidak diperlukan. Cukup dengan siasatan SB. SB adalah malaikat yang tak pernah dibolosi kekurangan fakta. Menteri Dalam Negeri yang bertakhta di arasynya hanya menunggu para SBnya berterbangan ke puncak membentang bukti - bukti yang takkan silap, lalu disahkannya. 2 tahun kau ke neraka Kamunting!

Tuduhan juga menyebut bahawa sekolah - sekolah agama, pondok - pondok pengajian Islam yang dibina dan dibajai ilmu para tok guru di kampung telah menjadi sarang merekrut bakal pengganas dan militan agama. Penglibatan mereka di dalam jihad Afghanistan menentang kuasa Rusia yang kufur juga ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak. Kerana bahaya ini, Nik Adli dan lebih 20 rakan - rakannya ditahan bersama kumpulan pengganas ugama yang lain di bawah ISA.

Tak lama selepas itu, peperangan dilancar ke atas seluruh sekolah ugama rakyat. Tun Dr Mahathir, lagak Yahudi mengebom Lubnan, akhirnya berjaya memaksa kebanyakan sekolah - sekolah ugama tunduk kepada tuntutan pemerintah. Yang berkeras kehabisan bekalan makanan lalu rebah tersadai tanpa guru dan murid. Kalaulah beliau mampu, pasti dipikul usung sekolah - sekolah ugama ini ke Kamunting sama. Kalaulah kuasa nabi Sulaiman alaihis salam dicalit sedikit kepada mereka, itulah jadinya!

Hebatnya kuasa! Kuasa mencipta bukti dan kuasa jua menolak bukti. Kuasa adalah kebenaran. Kebenaran yang menentang kuasa adalah kezaliman. Bila semua tunduk pada kuasa, itulah keadilan!

Inilah manifestasi ISA. Pemerintah memeliharanya seperti sang bomoh memelihara dan menjamu jin iblisnya. Mimiknya, pemerintah ibarat si ‘syarifah’ itulah, bersandar pada kuasa jin iblis itu untuk memakan mangsanya.

ISA menghukum dan memangsa dalam kesamaran. Pertuduhan tanpa pembuktian. Mana dacing/mahkamah? Persaksian tanpa kelayakan. Mana jejeknya pembohongan dan akhlak yang buruk? Penghukuman tanpa keahlian. Mana hakim? Menterikah?? Undang - undang tanpa peri kemanusiaan. Mana hak membela diri? Mana segala hak pemberian Allah??

Allah menurunkan segala bukti dan keterangan, bersamanya al kitab dan al mizan ( kaedah - kaedah yang mengukur kebenaran dan kebatilan ), bahkan diturunkan jua besi yang tumpat lagi keras itu agar manusia berdiri tegak dengan keadilan. Besi bukan buat merajakan kuasa seperti perbuatan Yahudi ke atas Palestin dan Lubnan, bahkan besi adalah kuasa yang memaksa Yahudi tunduk pada keadilan. Keadilan adalah raja. Keadilan adalah Allah.

Saya adinda Nik Adli. Entah apa, saya selalu disapa sebagai kekandanya. Kalangan adik beradik beliau layak untuk tidak dikenali. Seorang yang pendiam. Tak petah untuk berkuliah di masjid walaupun beliau berilmu. Hobinya hobi kampungan, macam ayahanda. Berkebun, berternak. Hobi hebat masa kecilnya membuat bedil peluru bebola basikal atau panah besi ciptaan sendiri? Tak silap kami namakannya bedil teracak?? Hah, ini boleh jadi bukti militan ni! Saya selalu ikutnya menembak ikan di sawah.

Masa kecil dia agak susah untuk lancar membaca Al Quran. Balik dari Pakistan, bacaannya menjadi. Seronok jika beliau menjadi imam mengganti ayahanda di masjid. Entah askar Taliban mana menjadikannya lancar dan merdu membaca al Quran. Mungkin ada dalam maklumat SB, malaikat Islam Hadhari.

Masa di Pakistan, beliau terlibat dalam jihad Afghanistan bersama ratusan pelajar Malaysia yang lain. Mereka ke medan semasa cuti semester pengajian. Jihad suci membebaskan Negara Afghanistan dari kuasa komunis masa itu telah mendekatkannya kepada Tuhannya. Beliau mengimpikan mati syahid di jalan Allah. Bonda di Malaysia asyik menangis pasal anakandanya yang ini.

Beliau mengutusi saya di India memohon saya mendoakan agar beliau syahid di medan. Saya yang turut mengikuti perkembangan jihad melalui majalah - majalah jihad yang terbatas turut teruja dengan impiannya. Saya mendoakan beliau Mati!! Berkali - kali tapi tak mati - mati jua. Saya tahu apa untung saya dan kami sekeluarga di akhirat kelak kalau kekanda saya yang ini pergi dulu bersama para syuhada’ perjuangan. Syafaat di padang mahsyar.. Ingat Ibrahim Libya!

Rupanya, di sisi Allah ada skrip yang berbeza untuk beliau. Bahawa musuh Islam itu satu walau apa ugama dan ideologi mereka, Nik Adli yang mengacu senapang ke arah komunis akhirnya ditangkap atas kehendak dan telunjuk Amerika oleh kerajaan negaranya sendiri atas nama memerangi keganasan global.

Selepas 5 tahun pulang belajar dari Pakistan untuk sepenuh masa menabur bakti menjadi guru ugama di sekolah ugama di Pulau Melaka, beliau bersama rakan - rakannya ditangkap dalam operasi gila - gila kerajaan Malaysia dan diISAkan. Kini beliau cukup 5 tahun dalam tahanan. Anak - anaknya yang dipisahkan daripadanya oleh kerakusan nafsu pemerintah kini telah memasuki alam persekolahan.

Kesedihan adalah ujian Allah. Ia bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan kembali lagi. Mungkin Ayahanda bonda berpaut pada degup sabar Nabi Allah Yaacob menanti pelepasan Allah dalam mengalun rindu terhadap anaknya Yusuf alaihimassalam. Mungkin isterinya pula bersandar pada kenangan silam rindu Hawa terpisah sementara daripada hilai ketawa Adam alaihimassalam semasa diturunkan ke muka bumi.

Anak - anaknya, siapakah yang dapat meneka jiwa anak - anak kecil apabila melihat sepupu sepupu mereka bergelak ketawa dengan ayah - ayah masing - masing, sedang mereka hanya mampu melihat ayah mereka di jaringan besi yang memisahkan kasih daripada belaian, hilai tawa daripada pelukan?

Saya, juga adik beradik yang lain memilih untuk berkata, kekandaku, kau adalah pahlawan dalam keluarga. Mengingatimu adalah ibarat mengasah tajam senjata memerangi kezaliman yang pasti lebur. Mereka telah salah dan menzalimimu sedangkan kau belum pernah dibuktikan bersalah. Mereka berdosa sebelum dan selepas. Sabarlah, kesabaran itu adalah kunci yang membuka. Apabila tali semakin tegang, ia berakhir dengan putus! Kau pun bebas. Bukankah sinar fajar itu sentiasa dekat?

Memerangi ISA adalah jihad yang tiada taranya di bumi kita. Memeranginya adalah seperti memerangi kerakusan Yahudi di bumi Palestin juga. Kerana ISA Islam ditekan sehingga melukut di kaki pemerintah. Pejuangnya dan seluruh pejuang keadilan dianiayai. Rakyat menjadi takut dan bacul. Ruh jihad Islami dipadamkan. Yang tinggal hanyalah ummat yang hanya tahu merintih dan hidup berangan - angan.

Tuhanku, bebaskan Nik Adli dan rakan - rakannya sebagaimana Engkau melepaskan beburung terbang bebas diruangMu. Tuhanku, sematkan kesabaran didadanya sebagaimana Engkau permudahkannya untuk para kekasihMu. Tuhanku, hancurkan ISA dan pendukungnya sebagaimana engkau hancurkan musuh - musuhmu sehancurnya.

0 comments: