الشريعة والحياة - أخلاقيات التخاطب
Apa hukum mengfitnah, menghina & mencaci seseorang tanpa sebarang bukti. Lebih keji lagi apabila cacian tersebut tidak benar. Saya kecewa dengan tindakan Dr. Asri Zainul Abidin yg memfitnah & menghina guru saya, As-Syeikh Nuruddin al-Marbu al-Banjari. Ini satu tuduhan yg tidak berasas kononnya beliau menjual agama untuk kepentingan dunianya. Saya & berjuta lagi anak muridnya sangat kenal dengan as-Syeikh Nuruddin. Beliau bukanlah seperti yg digambarkan oleh Dr. Asri Zainul Abidin. Kenalilah dan dekatilah Sheikh Nuruddin melalui buku2nya...melalui kuliahnya...melalui peringatan2nya...nasihatnya... Peribadi beliau cukup untuk melayakkan dirinya menanggung ilmu dan menyampaikan Sunnah Rasulullah SAW. Saya mula mengenali pengajian bersanad, disiplin ilmu, adab terhadap ilmu & buku, semuanya adalah melalui Halaqah Pengajian bersama Sheikh Nuruddin. Kalau dulu saya bermudah2 meletakkan buku di atas lantai, letak merata-rata ... tp Syeikh Nuruddin mengajar kami supaya menghormati dgn buku, kitab & ulama. Saya mula menjaga buku2 saya, saya letak buku di tempatnya, letak di tempat yg tinggi, menanggungnya tinggi di dada apabila berjalan. Terlalu byk faedah & manfaat yg kami perolehi daripada beliau. Semoga Allah memberi kebaikan yang berterusan kepada Sheikh Nuruddin yang begitu bening wajah... penuh tawadhuk dirinya.
Sebagai seorang yg mencintai sunnah Rasulillah, serta mentakhassuskan pengajiannya pula di dalam bidang hadis dari UIA, Dr.Asri sepatutnya lebih faham apa yg perlu dilakukan apabila datang kepadanya berita. Tidak pernahkah dia membaca surah al-Hujurat? Apa kesannya mencaci sesama manusia? Tidakkah dia juga pernah membaca hadis2 yg melarang kita bermudah2 mencaci sesama manusia, apatah lagi terhadap sesama Islam? ... banyak hadis yg menyentuh persoalan itu & tak perlulah sy mendatangkannya di sini. Di mana sikap berhati2 beliau. Di mana sikap jarah wa ta'deel yg dia a'taqidkan di dalam manhaj rijaalul hadis & takhreejul hadis? Di mana sikap tasaamuh beliau? Jgn sekadar as-Soohibus Samaahah saja tp langsung tidak bersikap tasaamuh. Saya tidak mahu memperpanjangkan hal begini kerana ia merupakan perkara yg sgt rugi untuk diperpanjangkan. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dari seorang insan yg digelar ulama. Cukuplah ceramah Syeikhuna, as-Syeikh al-'Allamah Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkaitan dengan caci mencaci menjadi nasihat buat kita ... jgn bermudah2 melontarkan cacian & kejian pd seseorang ... selamat mendengar.
Saya pohon maaf kerana saya perlu 'quote'kan tulisan Sahib al-Samahah Mufti Perlis. Kandungan dalam tulisan ini sudah lama beliau timbulkan. Tetapi baru 26 Ogos 2007 dipaparkan dalam Mingguan Malaysia.
Jangan lelong agama untuk keuntungan perniagaan
Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
OLEH kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat manusia, maka pelbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai-bagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih perih, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam erti kata lain, menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasul-Nya adalah satu jenayah besar.
Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 33 (maksudnya) Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.
Baginda s.a.w.: Juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antaranya daripada Aisyah, katanya: sabda Nabi: Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak (Riwayat Muslim).
Maka setiap insan Muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.
Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang’ yang menggelarkan diri al- Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah lantas sesiapa berjabat tangan dengannya juga akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi bersabda: Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi.
Maka apabila warga seberang tersebut datang ke negara kita, dia bagai mengiklankan dirinya sebagai jalan untuk sampai ke syurga. Maka orang ramai pun di beberapa masjid di sebelah utara tanah air bangun bersalaman untuk mendapatkan syurga. Meriahlah majlis lelongan syurga tersebut. Maka megahlah warga seberang berkenaan, kerana tangannya seakan pintu kepada syurga dan orang ramai pun dibeli dengan modal hadis palsu tersebut. Apa yang peliknya, kedatangan beliau itu ditaja oleh beberapa pihak yang mempunyai kuasa agama di beberapa buah negeri. Padahal beberapa negeri tersebut begitu sensitif dengan pandangan yang lebih progresif mengenai Islam. Digam penceramah-penceramah muda yang membawa ke arah keluasan minda dan fahaman Islam yang lebih terbuka berdasarkan dalil dan hujah. Malangnya, mereka menaja pula pemikiran yang karut seperti itu. Maka tidak peliklah jika ajaran sesat selalu sahaja muncul dalam masyarakat kita.
Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani: “Hadis musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya.” (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah).
Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: “Riwayat berjabat tangan Mu‘ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-‘Ilm li al-Matbu‘at,). Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (wafat 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata: “Mu‘ammar adalah pendusta lagi dajal, hadisnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya.” (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).
Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi entah berapa ramai sahabat yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain. Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurang-kurangnyanya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.
Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai-bagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi: Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang menghubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitulah manusia, dia sanggup melelong agamanya demi bisnesnya.
Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik- pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai- bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi pernah menjampi penyakit seperti baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan dengan air atau kismis atau apa jua bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi. Baginda tidak menjampi kaum Quraisy agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi akan menjampi telaga zamzam kerana itu sumber air Quraisy ketika itu. Pasti Quraisy akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah. Firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 256-257 (maksudnya) Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang ingkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas yang baginda doakan untuknya: Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran) (Riwayat al- Bukhari). Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, pentafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas 13 tahun. Beliau terus mengambil hadis daripada para sahabat seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu‘az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala‘, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya doa Nabi dimakbulkan Allah, namun melalui proses keilmuan yang sepatutnya. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat Muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat Muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral? Janganlah kita lelong agama kerana bisnes kita.
Menjelang bulan Ramadan, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan Ramadan. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi pernah memberi ingatan: Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang Melayu suka ‘ali babakan’ segala peluang yang diberikan kepadanya.
4 comments:
Saudara
Ape salahnya Dr Asri. Dia hanya hendak menghalang benda2 syirik dari menguasai pemikiran orang Islam di M'sia.
Salam
AQIDAH
Membahagikan Tauhid kepada 3 Kategori
Tauhid Rububiyyah
Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Asma’ dan Sifat: Boleh menjerumus kepada tashbih dan tajsim
i. Menterjemahkan istawa sebagai bersemayam
ii. Merterjemahkan yadd sebagai tangan
iii. Menterjemahkan wajh sebagai muka
Tafwidh yang digembar-gemburkan oleh mereka adalah bersalahan dengan tafwidh yang dipegang oleh ulama’ Asha’irah
Memahami ayat-ayat mutashabihat secara zahir tanpa huraian terperinci dari ulama’ mu’tabar
Menolak Asha’irah dan Maturidiyyah yang merupakan majoriti ulama’ Islam dalam perkara Aqidah
Sering mengkrititik Asha’irah bahkan sehingga mengkafirkan Asha’irah
Menyamakan Ashai’rah dengan Mu’tazilah dan Jahmiyyah atau Mua’ththilah dalam perkara mutashabihat
Menolak dan menganggap sifat 20 sebagai satu konsep yang bersumberkan falsafah Yunani dan Greek
Berselindung di sebalik mazhab Salaf
Sering menjaja kononnya Abu Hasan Al-Ash’ari telah kembali ke mazhab Salaf setelah bertaubat dari mazhab Asha’irah
Mendakwa kononnya ulama’ Asha’irah tidak betul-betul memahami fahaman Abu Hasan al-Asha’ri
Menolak ta’wil dalam bab Mutashabihat
Sering mendakwa bahawa ramai umat Islam telah jatuh ke kancah syirik
Mendakwa bahawa amalan memuliakan Rasulullah saw boleh membawa kepada syirik
Tidak mengambil berat kesan-kesan peninggalan para anbiya’, ulama’ dan solihin dengan dakwaan menghindari syirik
Kefahaman yang salah berkenaan syirik sehingga mudah menghukum orang sebagai membuat amalan syirik
Menolak tawassul, tabarruk dan istighathah dengan para anbiya’ serta solihin
Mengganggap tawassul, tabarruk dan istighathah sebagai sebagai cabang-cabang syirik
Memandang remeh karamah para auliya’
SIKAP
Sering membid’ahkan amalan umat Islam bahkan sampai ke tahap mengkafirkan
Mengganggap diri sebagai mujtahid (walaupun tidak layak)
Sering mengambil hukum secara langsung dari al-Quran dan hadis (walaupun tidak layak)
Sering memperlekehkan ulama’ pondok dan golongan agama yang lain.
Ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang ditujukan kepada orang kafir sering ditafsir ke atas orang Islam.
Memaksa orang lain berpegang dengan pendapat mereka walaupun pendapat itu shazz (janggal)
ULUM HADIS
Menolak beramal dengan hadis dhaif
Penilaian hadis yang tidak sama dengan ulama’ hadis yang lain
Mengagungkan Nasiruddin al-Albani di dalam bidang ini
Sering menganggap hadis dhaif sebagai hadis mawdhu’
Perbahasan hanya kepada sanad dan matan hadis, dan bukan pada makna hadis. Oleh kerana itu, perbincangan syawahid tidak diambil berat
Perbincangan hanya terhad kepada riwayah dan bukan dirayah.
ULUM QURAN
Menganggap tajwid sebagai menyusahkan dan tidak perlu (Sebahagian Wahhabi Malaysia yang jahil)
FIQH
Menolak fahaman bermazhab kepada imam-imam yang empat; pada hakikatnya mereka bermazhab “TANPA MAZHAB”
Mengadunkan amalan empat mazhab dan pendapat-pendapat lain sehingga membawa kepada talfiq yang haram
Memandang amalan bertaqlid sebagai bid’ah; kononnya mereka berittiba’
Sering mengungkit soal-soal khilafiyyah
Sering menggunakan dakwaan ijma’ ulama dalam masalah khilafiyyah
Sering bercanggah dengan ijma’ ulama’
Menganggap apa yang mereka amalkan adalah sunnah dan pendapat pihak lain adalah bid’ah
Sering mendakwa orang yang bermazhab sebagai ta’sub mazhab
Salah faham makna bid’ah yang menyebabkan mereka mudah membid’ahkan orang lain
Sering berhujah dengan al-tark, sedangkan al-tark bukanlah satu sumber hukum
Najis
Sebahagian daripada mereka sering mempertikaikan dalil bagi kedudukan babi sebagai najis mughallazah
Wudhu’
Tidak menerima konsep air musta’mal
Bersentuhan lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu’
Azan
Azan juma’at sekali; azan kedua ditolak
Solat
Menganggap lafaz usolli sebagai bid’ah
Berdiri secara terkangkang
Tidak membaca ‘Basmalah’ secara jahar
Menggangkat tangan sewaktu takbir pada paras bahu
Meletakkan tangan di atas dada sewaktu qiyam
Menganggap perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam solat sebagai perkara bid’ah (sebahagian Wahhabiyyah Malaysia yang jahil)
Menganggap qunut Subuh sebagai bid’ah
Menganggap menyapu muka selepas solat sebagai bid’ah
Solat tarawih hanya 8 rakaat; yang lebih teruk lagi, mengatakan solat tarawih itu sebenarnya adalah solat malam (solatul-lail) seperti yang dibuat pada malam-malam biasa.
Zikir jahar di antara rakaat-rakaat solat tarawih dianggap bid’ah
Tidak ada qadha’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan
Menganggap amalan bersalaman selepas solat adalah bid’ah
Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah
Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir
Boleh jama’ dan qasar walaupun kurang dari dua marhalah
Memakai jubah dengan singkat yang melampau
Menolak sembahyang sunat qabliyyah sebelum Jumaat
Doa, Zikir dan Bacaan al-Quran
Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah
Menganggap zikir dan wirid beramai-ramai selepas sembahyang atau pada bila-bila masa sebagai bid’ah
Mengatakan bahawa membaca “Sodaqallahul-‘azim” selepas bacaan al-Quran adalah bid’ah
Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah
Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram
Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai
Mengganggap penggunaan tasbih adalah bid’ah
Mengganggap zikir dengan bilangan tertentu seperti 1000, 10,000 dll sebagai bid’ah
Menolak amalan ruqiyyah shar’iyyah dalam perubatan Islam seperti wafa’, azimat dll
Menolak zikir isim mufrad: Allah Allah
Melihat bacaan Yasin pada malam nisfu Sya’ban sebagai bid’ah yang haram
Sering mengkritik kelebihan malam Nisfu Sya’ban
Mengangkat tangan sewaktu berdoa’ adalah bid’ah
Mempertikaikan kedudukan solat sunat tasbih
Pengurusan Jenazah dan Qubur
Menganggap amalan menziarahi maqam Rasulullah saw, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid’ah
Mengharamkan wanita menziarahi kubur
Menganggap talqin sebagai bid’ah
Mengganggap amalan tahlil, yasin bagi kenduri arwah sebagai bid’ah yang haram
Tidak membaca doa’ selepas solat jenazah
Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah saw dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik
Menganggap kubur yang bersebelahan dengan masjid adalah bid’ah yang haram
Doa dan bacaan al-Quran di perkuburan dianggap sebagai bid’ah
Munakahat
Talak tiga (3) dalam satu majlis adalah talak satu (1)
Majlis Sambutan Beramai-ramai
Menolak sambutan maulid nabi; bahkan menolak cuti sempena hari Maulid Nabi; bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan maulud nabi dengan perayaan Kristian bagi nabi Isa a.s.
Menolak amalan marhaban
Menolak amalan barzanji.
Berdiri ketika bacaan maulid adalah bid’ah
Menolak sambutan Ma’al Hijrah
PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN
Ramai para professional menjadi ‘ustaz-ustaz’ mereka (di Malaysia)
Ulama’ yang sering menjadi rujukan mereka adalah:
Ibnu Taymiyyah
Ibnu al-Qayyim
Muhammad Abdul Wahhab
Sheik Abdul Aziz Ibn Bazz
Nasiruddin al-Albani
Sheikh Soleh Ibn Uthaimin
Sering mewar-warkan untuk kembali kepada al-Quran dan Hadis (tanpa menyebut para ulama’)
Sering mengkritik Imam al-Ghazali dan kitab “Ihya’ Ulumiddin”
PENGKHIANATAN MEREKA KEPADA UMAT ISLAM
Bersepakat dengan Inggeris dalam menjatuhkan kerajaan Islam Turki Usmaniyyah
Melakukan perubahan kepada kitab-kitab turath yang tidak sehaluan dengan mereka
Ramai ulama’ dan umat Islam dibunuh sewaktu kebangkitan mereka
Memusnahkan sebahagian besar kesan-kesan sejarah Islam seperti tempat lahir Rasulullah saw, telaga baginda, tempat lahir Sayyiduna Abu Bakr dll, dengan hujah perkara tersebut boleh membawa kepada syirik
TASAWWUF DAN TAREQAT
Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab sufi yang mu’tabar
Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani
Tidak dapat membezakan antara amalan sufi yang benar dan amalan bathiniyyah yang sesat
Perhatian:
Sebahagian daripada ciri-ciri di atas adalah perkara khilafiyyah. Namun sebahagiannya adalah bercanggah dengan ijma’ dan pendapat mu’tamad empat mazhab. Sebahagian yang lain adalah perkara yang sangat kritikal dalam masalah usul (pokok) dan patut dipandang serius oleh ummat Islam.Ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri umum golongan Wahhabiyyah yang secara sedar atau tidak diamalkan dalam masyarakat kita. Sebahagian daripada ciri-ciri ini adalah disepakati di antara mereka dan sebahagiannya tidak disepakati oleh mereka. Ini adalah kerana di dalam golongan Wahhabiyyah ada berbagai-bagai pendapat dan mazhab dalam berbagai peringkat. Apatah lagi apabila setiap tokoh Wahhabiyyah cuba berijtihad dan mengenengahkan pendapat masing-masing sehingga sebahagiannya terpesong terlalu jauh dari aliran Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Kami terpaksa mengugurkan banyak lagi ciri-ciri lain yang berkaitan bagi meringkaskan risalah ini. Wallahu A’lam.
Assalamu'alaikum.
TIDAK ADA MANFAAT MENGHADIRI MAJLIS MENSYIRIKKAN DAN MENGKAFIRKAN SERTA MEMBID'AHKAN ORANG ISLAM.
golongan Wahhabi sering membuat program 'ilmiah ala pembid'ah' demi merialisasikan tuntutan YAHUDI iaitu permusuhan pentakfiran dan pembunuhan umat islam.
cara golongan Wahhabi ini tidak tumpah seperti rujukan pertama mereka iaitu Ibnu Taimiah menyandarkan sifat bid'ah kepada seorang sahabat terkenal iaitu Abdullah bin Umar. Walaupun ilmu golongan Wahhabi tidak bersanad hingga ke Ibnu Taimiah dan Ibnu Taimiah bukanlah seorang pengasas pertama ajaran Wahhabi...
tetapi Wahhabi tetap menyanjung Ibnu Taimiah kerana byk pandangan Ibnu Taimiah bersesuaian dengan hawa nafsu mereka antaranya : Allah Duduk dan Menghina sahabat Nabi.
Wahai Wahhabi...adakah Ibnu Taimiah yg menghina sahabat Nabi iaitu Ibnu Umar.. kamu menjadikan dia ( ibnu taimiah ) sebagai rujukan utama?!
Adakah dakwaan saya ini benar..........?
Nah ..rujukan utama kamu wahai Wahhabi menghina nabi...:
BERKATA IBNU TAIMIAH DIDALAM KITAB KARANGANNYA ' IKTIDO AS-SIROT MUSTAQIM ' :
"Perkara ini bukan sunnah khulafa rosyidin tetapi perkara ini ( bermaksud solat disuatu tempat ) adalah
MERUPAKAN BID'AH yang dilakukan oleh Ibu Umar ( Abdullah Ibnu Umar )...................
demikian adalah syirik kepada Allah".
---sy mengatakan...Ini adalah satu penghinaan yg amat jelas terhadap sahabat mulia terkanal Abdullah Bin Umar.
dah lah tuduh sahabt Ibnu Umar nie buat bid'ah...pastu apa yg dilakukan oleh Ibnu umar dianggap sebagai SYIRIK KEPADA ALLAH..
apa ini wahai WAHHABI!!!!!!!!!!!!!?
Mengatakan "ini bidah" dan "ini syirik" dan "ini haram" dengan hujjah-hujjah yang terang bukannya mencaci maki namanya. Hanya orang yang sangat fanatik kepada mazhab dan tok gurunya sahaja yang menganggap apa yang Dr asri tulis itu sebagai mencaci; mereka tidah mahu dilihat apa hujjah Dr Asri itu.
Aku sokong apa yang Dr Asrio tulis itu. Menuduh apa yan ustaz-ustaz sunnah buat sebagai agenda Yahudi adalah satu tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan sebagai satu usaha untuk melepaskan diri dari sebarang kritikan terhadap apa sahaja bid'ah yang mereka lakukan.
Post a Comment