Saturday, 30 May 2009

Habiskan masa umurmu untuk ISLAM




Salam perjuangan ..

Penat !

Inilah ungkapan yang mampu saya berikan sehingga ke saat ini. 

Setelah sebulan lebih menamatkan pengajian di UIA, jadual harian saya terlalu padat dengan pelbagai aktiviti samada berupa aktiviti peribadi atau jemaah. Kesibukan yang bukan dibuat-buat ini menyebabkan mak menyedarinya. 

"Hai, sibuk sampai ke malam ke?", kata emak

Benar, memang kadang-kadang sampai ke malam dan kemuncaknya adalah pada minggu lepas di mana setiap malam saya berada di luar bagi memenuhi aktiviti yang telah dirancang. Namun, kesan daripada kesibukan sebegini membuatkan saya sering gelisah kerana ada beberapa perkara yang telah lama saya rancang sebelumnya sukar untuk saya tunaikan sekarang.

Saya memohon maaf kepada para pembaca sekalian sekiranya blog ini tidak diupdate dengan baik dan untuk muslimat yang bertanyakan soalan kepada saya tempoh hari, jika berkelapangan, saya akan cuba memberikan penjelasannya semampu saya dalam beberapa hari lagi, insyallah. 

Walau bagaimanapun, saya khuatir sekiranya segala kerja dan aktiviti yang saya lakukan selama ini tidak membawa kebaikkan kepada Islam, bahkan sekadar untuk memenuhi kepuasan nafsu sahaja. Oleh itu, saya amat mengharapkan segala urusan seharian yang saya lakukan selama ini tidak menjadi sia-sia di sisi Allah SWT dan semoga semua itu mendapat ganjaran yang setimpal sesuai dengan usaha kecil saya selama ini. 

Beruntunglah peluh keringat yang jatuh ke bumi hasil dari kerja-kerja Islam yang mereka lakukan.

ISLAM SEDANG MEMANGGIL



"Dakwah kita memerlukan masa yang lebih dari umur-umur kita"
~ Imam Hassan al-Banna 


Benar apa yang dikatakan oleh Imam Hassan al-Banna itu. 

Membina generasi rabbani tidak mengambil masa yang sedikit. Setelah kejatuhan khilafah Islam yang terakhir dan umat Islam pula telah dirosakkan dengan pelbagai bentuk ideolagi yang menyeleweng seperti kapitalis, komunis, sekular dan sebagainya, ia memerlukan generasi demi generasi untuk kembali melahirkan sebuah umat terbaik yang diimpi-impikan. 

Di kalangan umat Islam yang ada, lebih ramai yang jahil terhadap agamanya sendiri daripada bilangan mereka yang faham. Mereka memandang yang baik itu pada kaca mata Barat yang menjadi kiblat dan tempat mereka bersujud, bukan lagi Islam. Yang baik pada Islam dikesampingkan, tetapi mereka tidak sedar betapa nilai-nilai moral yang dianjurkan Barat itu sebenarnya berasal daripada Islam. 

Hidup bersama Islam itu bererti hidup untuk Allah. Namun mengenal Allah itu bukanlah dengan jalan melihat kerana kita tidak bisa melihat Allah .. bukan juga dengan jalan mendengar kerana kita tidak bisa mendengar kata-kata Allah. Tetapi untuk mengenal Allah, kita memerlukan ilmu dan ma'rifah. Mengenal Allah dengan ilmu saja tidak mencukupi, tetapi kita perlu mengenal Allah dengan faham ... faham mengapa hanya Allah saja yang layak disembah, faham mengapa hanya agama Allah saja yang layak dituruti dan faham mengapa hanya keadilan Allah saja yang layak diteladani. 

Maka di sinilah peranan dakwah. 

Akan tetapi, dakwah memerlukan pengorbanan besar dari seluruh umat Islam. Ia bukan hanya kerja para ulama, tetapi semua umat Islam yang memahami perkara ini perlu memainkan peranannya untuk Islam. 

Apakah kalian seorang doktor. Apakah kalian seorang jurutera. Apakah kalian seorang peguam. Kalian semua adalah Rijal ad-din yang memikul tanggungjawab besar ini. Kalian perlu merasa sakit dengan wabak yang datang menyerang Islam. Sedih demi Islam.

Saya menyeru kalian semua bukan di atas pakaian saya sebagai seorang da'ie, bahkan saya tidak layak untuk memakai gelaran itu. Saya hanyalah seekor semut kecil dari jutaan semut-semut besar yang sedang mencari manisan keredhaan Allah. 

Namun begitu, janganlah mengharapkan suatu keajaiban di esok hari untuk Islam. Tetapi yakinlah ! cahaya kegemilangan itu pasti akan muncul kembali di suatu hari. Kata nabi SAW :

"Islam ini pasti akan sampai ke tempat yang sampainya siang dan malam. Allah tidak akan meninggalkan rumah yang di bandar atau di desa melainkan Allah pasti akan memasukkan agama ini. Yang mulia dengan kemuliaannya atau yang hina dengan kehinaannya. Mereka yang mulia akan Allah muliakan dengan Islam dan yang hina akan Allah hinakan dengan kekufurannya" ((Hadis sahih riwayat Ahmad dalam Musnadnya (4/103) dan Al-Haithami dalam al-Mujamma'))

Akan tetapi, untuk mencapai matlamat ini, Islam memerlukan umat yang sanggup :~

Berfikir untuk Islam, 

Bekerja untuk Islam dan, 

MENGHABISKAN MASA UMURNYA UNTUK ISLAM ...

.................................................

~ Semoga Allah mencerahkan jalan itu untuk saya. Ameen

0 comments: