Salam perjuangan ...
Lama saya fikirkan bagaimana harus saya kemukakan pendirian saya terhadap isu kepimpinan PAS menjelang muktamar PAS yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti di Selangor.
Namun sebelum itu, perlu dijelaskan bahawa pendirian ini bukanlah bererti saya memusuhi sesiapa yang menyalahinya. PAS yang saya kenal mengajar ahli-ahlinya berani untuk memberikan pandangan dan kritikan, dan di dalam masa yang sama mendidik mereka agar sentiasa bersifat terbuka dalam apa jua perbincangan di samping menyemat semangat ukhuwwah dan mahabbah sesama ahli. Atas dasar inilah, saya juga tidak mahu ketinggalan di dalam memberikan pandangan terhadap isu ini.
BAHASA AL-QURAN
"Mengapa terlalu sempit mendefinasikan pengertian ulama itu kepada yang belajar agama saja sedangkan perkataan ulama di dalam al-Quran itu memberi maksud yang lebih luas", ada sesetengah orang berpendapat.
Soalnya bukan salah pada menyempitkan pengertian ulama itu, tetapi yang cuba menjustifikasikan maksud ulama menerusi ayat al-Quran itu sahaja yang sebenarnya tidak memahami Bahasa al-Quran.
Benar pada penjelasannya, tetapi tidak tepat pada pengaplikasiannya.
Apakah anda tidak perhatikan bahawa uslub bahasa al-Quran itu pelbagai?
Apakah selamanya al-Quran itu hanya menggunakan sighah Hakikat tanpa Majaz? Ataupun Soreh tanpa Kinayah? Ataupun Mutlaq tanpa Muqayyad? Ataupun dilalah lafaznya yang Zohir tanpa Khofiy (tersembunyi)?
Sebagai contoh kalimah faqeeh yang banyak disebut di dalam al-Quran seperti di dalam ayat 98 surah al-An'am dan ayat 3 dan 7 di dalam surah al-Munafiqoon, apakah ia membawa erti faqeeh yang kita maksudkan sebagai seseorang yang mendalami ilmu feqah, usul fiqh dan qawa'idnya?
Sudah tentu tidak !
Masakan al-Quran menceritakan semua itu kepada kita. Cukuplah al-Quran berperanan sebagai perlembagaan yang memuatkan prinsip-prinsip asas agama Islam, lalu kemudiannya diperluaskan maksudnya melalui hadis Rasulillah SAW, seterusnya disusuri pula oleh kader-kader keluaran madrasah Muhammad SAW seperti Ibn Abbas, Ibn Mas'ud dan sebagainya.
Soalnya sekarang, mengapa tiba-tiba mahu mengalihkan pengertian "ulama" yang secara urufnya difahami sebagai golongan agamawan kepada pengertian yang ditunjukkan di dalam ayat 28 surah al-Fathir itu seperti mana ingin mengalihkan pegertian al-Faqeeh sebagai golongan ulama yang mendalami selok belok fiqh kepada maksud kefahaman dan penghayatan terhadap agama seperti yang tercatat di dalam al-Quran tanpa sebarang qarinah atau circumstantial evidence untuk dialihkan pengertiannya?
Sedangkan pada penggunaan istilah "Dewan Ulama dan Intelektual Islam" itu sendiri sudah jelas bahawa yang ingin diertikan oleh Ulama itu adalah mereka yang berkeahlian di dalam selok belok agama. Kalau tidak, masakan ia disebut beriringan dengan Intelektual Islam? Di dalam masa yang sama, kalau diselidiki kembali ucapan dasar Muktamar PAS 1983 itu, ternyata di sana masih terdapat perbezaan di antara Ulama dan intelektual Islam. Cumanya, matlamat daripada Muktamar 1983 itu adalah untuk memadukan di antara kepakaran ulama dan Intelektual Islam agar persepsi pengasingan ilmu itu dapat dihapuskan. Ini yang pertama.
Keduanya, apakah dengan penukaran nama Dewan Ulama kepada "Dewan Ulama dan Intelektual Islam" ini bermakna berlaku juga pertukaran kepada komposisi Presiden dan Tim. Presiden PAS? Kalau itulah yang berlaku, sudah tentu muktamar 1983 itulah yang menjadi batu asasnya. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku, PAS melalui gagasan Dewan Pemuda yang diketuai oleh Mustapha Ali pada Muktamar PAS 1982 telah menggagaskan satu usul baru dengan meletakkan Kepimpinan Ulama sebagai asas kepimpinan PAS dan semangat ini kekal berlanjutan sehingga ke hari ini.
PAS : PARTI ATAU JEMAAH?
Persoalkan perkara ini terlebih dahulu sebelum kita melanjutkan kepada perbincangan seterusnya.
Akan tetapi, di manakah relevannya dengan isu pokok perbincangan kita?
Relevannya di sini;
Kalau kita meletakkan PAS sebagai sebuah parti politik melebihi kerangkanya sebagai sebuah jemaah, maka sudut pandang mengenai isu siapa yang layak menjadi Presiden dan Timbalan Presiden itu pasti berbeza dengan sudut pandang jika kita meletakkan PAS sebagai sebuah jemaah yang bernaung di bawahnya sebuah parti politik.
Sebelum itu, saya rasa tidak perlulah saya perjelaskan apakah jemaah dan apakah pula parti politik kerna saya menganggap bahawa anda sudah sedia maklum dan mampu membezakan di antara kedua penjenamaan ini.
Kembali.
Namun di antara keduanya, saya yakin PAS adalah sebuah jemaah Islam yang memilih penceburan di dalam politik sebagai wadah dalam menyampaikan dakwah kepada semua pihak. Meletakkan PAS sebagai sebuah parti politik di dalam kerangka jemaah memerlukan kepada pimpinan tertinggi yang murabbitun sesuai dengan ruh dan semangat jemaah itu. Konsep jemaah itu memerlukan kepada bimbingan dan suluhan para pimpinan yang menyelusuri tradisi pembawakan manhaj nubuwwah, kerana harapan di dalam sebuah jemaah itu bukan pada melahirkan seorang ahli politik yang berjiwa besar semata-mata, malah untuk mengeluarkan para amilin yang Siyasiyyun dan Mu'allimun.
Kalau anda katakan, "Ah, tiada bezanya semua itu"
Saya jawab, "Ada !".
Bezanya adalah pada roh dan semangat para amilin yang berada di bawah pimpinannya. Presiden dan Timbalan Presiden, di samping berfungsi mengepalai badan Eksekutif, mereka juga berperanan sebagai simbol ke'izzahan sesebuah jemaah serta peniup semangat kepada ahli-ahli jemaah yang berada di bawah mereka.
Saya masih ingat lagi semasa almarhum Ustaz Fadhil Nor masih hidup, pada ketika itu saya cukup merasa bangga dengan komposisi Mursyidul Am, Presiden dan Tim. Presiden PAS yang diisi oleh ketiga-tiga tokoh yang begitu digeruni oleh UMNO. Itulah komposisi terbaik dalam PAS yang pernah saya rasai untuk ketiga-tiga jawatan itu bahkan ada yang menggelarkan Ustaz Fadhil sebagai Abu Bakr dan Ustaz Hadi sebagai Umar. Saya sendiri sangat kagum ketika gambar ketiga-tiga tokoh itu disatukan pada "bunting" Muktamar PAS yang menjadi simbol kekuatan dan kebanggaan PAS.
Dan itulah kekuatan para sahabat Ridwanullahi 'alaihim. Kekuatan mereka bukanlah pada bilangan mereka yang ramai, atau pada jasad mereka yang besar dan gagah, ataupun pada kelengkapan perang yang serba lengkap dan canggih ... tetapi kekuatan mereka adalah pada diri Rasululullah SAW yang menjadi "synergy" kekuatan mereka. Mereka berjuang demi Allah dan demi Muhammad yang mereka saksikan, sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir demi meraih keredhaan Allah SWT. Mereka yang dimaksudkan seperti Abu Ubaidah, Saiduna Abu Bakr, Saiduna Ali dan Saiduna Umar al-Khattab RA yang tercatat di dalam seerah membunuh ahli keluarga sendiri di dalam peperangan akibat permusuhan mereka terhadap Islam.
Selain daripada kolektiviti kerja yang dilakukan, batang tubuh nabi SAW merupakan simbol kekuatan yang dimiliki oleh para sahabat RA.
Jangan ada sesiapapun yang mengatakan bahawa generasi hari ini atau sebelumnya lebih baik dari generasi keluaran madrasah Muhammad SAW. Sekalipun bilangan ummahnya bertambah dan kelengkapan perangnya jauh lebih canggih, namun generasi awal itu tetap tidak dapat ditandingi.
Akurlah bahawa mereka adalah permata kelahiran Islam ummah Muhammad, manakala kita adalah generasi buih-buih di lautan yang musnah dipukul ombak.
ULAMA PROFESSIONAL & PROFESSIONAL ULAMA
Kadang-kadang saya "bengang" juga bila sesetengah orang beranggapan bahawa ulama itu akan dianggap "semasa" dan "professional" apabila mereka mampu bergerak selari dengan kemampuan golongan professional.
Maka tak semena-mena mereka perlu tahu berbahasa Inggeris dan mahir pula selok belok penggunaan komputer dan internet untuk mendapat pengiktirafan tersebut.
Bagi saya, sebelum kita mudah-mudah mengatakan bahawa dia telah dipengaruhi oleh pensekularan ilmu oleh barat, elok lah saya katakan bahawa si yang mengatakan juga sebenarnya telah termakan dengan pengsekularan istilah.
Apakah professional itu hanya layak kepada mereka yang berkelulusan kedoktoran, kejuruteraan, guaman dan ekonomi, dan mengetepikan para agamawan yang mahir di dalam bidang mereka?
Sedangkan kalau diperhatikan, bukan semua yang bergelar professional itu benar-benar professional dalam penghasilan dan gerak kerja mereka. Nama saja professional, tetapi hakikatnya tidak begitu.
Kalau tidak, tidak lah kedengaran doktor-doktor yang menjual surat MC, jurutera dan arkitek yang menipu, peguam yang touting dan hakim yang menyeleweng. Inilah contoh professional yang lansung tidak professional !
Sesiapa yang mahir dalam bidang masing-masing itulah professional, biarpun dia seorang ulama. Sekiranya dia mampu memfatwakan sesuatu yang baik sesuai dengan kehendak semasa yang berlaku, maka dia adalah ulama professional. Mengapa seolah-olah perlu mensyaratkan mahir berbahasa Inggeris, pandai berkomputer dan berinternet serta mahu pula menanggalkan serban dan bertali leher? Apakah semua yang berkelulusan professional itu sudah tentu mahir berbahasa Inggeris serta mahir pula mengenai selok belok komputer dan internet?
Biarlah mereka berserban dan berjubah sekiranya mereka mahu, kerana itulah pakaian ke'izzahan para ulama. Bahkan Imam Abu Hanifah pernah mengatakan, "Lebarkanlah lengan jubahmu dan besarkanlah serbanmu" kerana ia simbol keagungan dan ketinggian para ulama. Sebagaimana putih merupakan simbol pemakain doktor, hitam putih merupakan simbol pemakain peguam, biru merupakan simbol pemakaian polis dan hijau merupakan simbol pemakaian tentera, maka serban dan jubah pula merupakan simbol pemakain para ulama.
Mengapa setelah bertali leher dan berkemeja baru mahu digelar ulama professional?
Inilah yang saya katakan pensekularan istilah.
أنتم أعلم بأمور دنياكم
"Kamu lebih tahu tentang urusan-urusan keduniaan kamu (bidang kamu)"
Apakah kerana Rasulullah SAW gagal membuahkan hasil tanaman yang baik justeru menafikan nilai professional yang wujud di dalam diri baginda SAW? Mujur ia berlaku pada batang tubuh baginda SAW. Kalau sekiranya ia berlaku kepada selain baginda, sudah tentu beliau turut dianggap ketinggalan. Mungkin begitu.
Aaaa, Islam telah berjaya melahirkan ilmuan Islam yang mahir dalam kedua-dua cabang bidang ilmu seperti Ibn Rusd, al-Khawarizmi, Ibn Sina, al-Farabi dan sebagainya. Seronok sekali dia memberikan contoh. Tetapi bukankah jumlah mereka ini hanya segelintir saja, bahkan mungkin boleh dibilang dengan jari? Bukannya ramai pun di kalangan ulama seperti mereka.
Bererti, kalau memang ada, itu bonus. Tetapi kalau tidak, ia tidak menjejaskan kredibiliti dan professionalisma mereka sebagai ulama.
Bagi saya, isu Professionalisma bukanlah penyelesaian yang tepat kepada kelembapan, kelembikan dan kelesuan yang dilontarkan kepada golongan agamawan ini. Isunya adalah pada kesediaan dan kemampuan golongan agamawan itu sendiri untuk meletakkan diri mereka di dalam masyarakat.
Ia berbalik kepada soal sikap dan percaya diri.
KEJAYAAN SALAHUDDIN AL-AYUBI & TENTERANYA :
Ramai yang melihat bahawa kejayaan tentera Islam dalam mengembalikan Jurusalem adalah disebabkan oleh kekuatan yang dimiliki oleh Salahuddin al-Ayubi sahaja.
Tidak dinafikan Salahuddin al-Ayubi adalah nama yang paling cemerlang dari satu aspek. Namanya mempunyai hubungan yang erat dengan pembebasan al-Quds dari cengkaman penjajahan tentera Salib dan pengembalian kembali al-Aqsa dari tangan mereka.
Namun apakah anda menyedari bahawa proses pembebasan al-Quds dan pengusiran orang-orang Kristian yang memakan masa selama hampir dua ratus tahun itu tidaklah merupakan hasil perjuangan seorang pahlawan sahaja, sebaliknya ia adalah hasil terakhir dari berbagai-bagai faktor reformasi dan jerih payah seluruh ummat sebelumnya. Dalam erti kata lain, ia bukanlah perancangan dua tiga tahun, tetapi di sana telah berlaku reformasi dalam sektor permikiran, pendidikan, politik dan ekonomi yang tidak disangsikan lagi telah mendahului proses pembebasan Jurusalem berpuluh-puluh malah mungkin beratus tahun lamanya. Di antara tokoh-tokoh awal yang disebut-sebut telah mempersiapkan generasi-generasi ini antaranya adalah Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Syeikh Adi Bin Musafir, Syeikh Abu Madyan dan ramai lagi telah menjadi pembakar yang melonjakkan api kemaraan generasi seterusnya menentang regim Zionis pada ketika itu.
Untuk pengetahuan yang lebih lanjut mengenai sejarah emas ini, sila baca buku ((Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam)) yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh Dr. Majid Irsan Kaylani.
Oleh itu, saya amat yakin sekiranya para ulama mampu menyediakan diri mereka di dalam masyarakat, mereka pasti akan menjadi benteng dan harapan kepada masyarakat serta diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Lihat saja tokoh ilmuan dunia saat ini seperti Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan tokoh national tanah air seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketokohan mereka dan kesediaan mereka menempatkan diri mereka di dalam masyarakat telah menjadikan mereka sebagai permata yang sentiasa ingin didekati.
Kalau sebelumnya, nama Imam Hassan al-Banna sentiasa basah di bibir para du'at dan pejuang Islam walaupun beliau telah jauh meninggalkan kita sehingga berita kematiannya disambut sorak dan riang oleh puak-puak kafir seluruh dunia. Sama seperti almarhum Ustaz Fadhil Nor, ratusan ribu manusia yang membanjiri sepanjang jalan menuju ke Madrasah Darul Ulum untuk mengiringi pengkebumiannya telah membuktikan kecintaan pejuang-pejuang PAS kepada beliau serta kemuliaan yang telah Allah zahirkan di dunia lagi. Begitu juga dengan kotokohan yang dimiliki oleh al-Marhum Syeikh As-Sya'rawi, kematiannya bagaikan suatu kehilangan yang sangat besar di sisi masyarakat arab Mesir. Tidak ketinggalan juga dengan pemergian as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, lelaki uzur berkerusi roda lagi rendah suaranya, tetapi beliau mampu membariskan para shabab yang sanggup berdiri di belakangnya menentang kezaliman tentera zionis la'natullah. Malah dengan keuzuran beliau itulah justeru yang telah membimbangkan tentera zionis sehingga akhirnya beliau dibom syahid oleh mereka.
Bahkan kalau anda perhatikan kekuatan dan kemenangan yang diraih oleh mana-mana gerakan Islam dulu dan hari ini, pasti nama para ulama disebut-sebut sebagai pembakar semangat kepada kebangkitan sebuah perjuangan murni itu.
Di sini menunjukkan betapa para ulama mempunyai kekuatan tersendiri sebagai aset penggerak kepada kebangkitan ummah yang sukar untuk saya katakan di manakah rahsianya. Mungkin apa yang boleh saya katakan, 'kedudukan' mereka sebagai ulama itulah yang telah menjadi 'magnet' untuk menarik masyarakat mendekati mereka kerana hampirnya mereka dengan Allah, maka Allah juga menghampirkan masyarakat dengan mereka.
Maka atas dasar inilah, saya ingin menegaskan premis saya bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sebaiknya biarlah diisi oleh para Ulama.
Saya menyokong kepimpinan Ulama !
Rabu
3.39 am
0 comments:
Post a Comment