Saturday, 23 May 2009

Mulia ilmu dengan kerendahan diri




Salam perjuangan ...

Saya rasa pasti anda semua mengenali beliau. Inilah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama dunia yang amat saya kagumi. 

Bagi saya, pandangan serta fatwa beliau amat semasa dengan keadaan dunia sekarang. Ini disebabkan oleh manhaj Wasathiyyah yang sering beliau laung-laungkan serta keberanian beliau dalam mendepani isu-isu global umat Islam masa kini. Justeru dengan ketokohan itu, tidak hairanlah mengapa beliau diberi jolokan "Syeikhul Ummah" oleh ulama-ulama lain yang setaraf dengannya. Beliau bukan saja dikenali di kalangan tokoh dunia-dunia Islam, malah digeruni dan dihormati oleh tokoh-tokoh dunia barat. 

Prinsip yang beliau serukan ini bukanlah satu prinsip jelmaan baru Islam sepertimana Islam Hadhari jelmaan Pak Lah. Tetapi ia merupakan prinsip yang dihayati oleh nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat RA. Oleh itu, prinsip yang beliau bawakan ini sebenarnya merupakan suatu penerusan kepada usaha untuk menghidupkan kembali semangat yang telahpun hidup di kalangan generasi terawal Islam dahulu. 



Prinsip ini kalau kita amati pasti dapat dilihat daripada ucapan-ucapan beliau, juga kebanyakan penulisan-penulisan beliau yang sangat mengharapkan agar umat Islam kembali kepada keaslian kefahaman Islam. Namun, pengembalian kepada keaslian Islam yang beliau serukan bukanlah dengan menafikan kepentingan mazhab serta keharusan bertaqlid kepada salah satu daripadanya, dan bukan juga suatu gerakan yang menafikan kewujudan serta kepentingan tasawwuf di dalam masyarakat. Keaslian yang beliau maksudkan adalah dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sebuah institusi teratas melampaui mazhab-mazhab yang berperanan sebagai wasilah untuk sampai kepada pemahaman Islam yang benar melalui prinsip kesederhanaan di antara bermudah-mudah dan berlebih-lebihan. Inilah sebenarnya asas perjuangan beliau selama ini dan inilah juga antara beberapa faktor yang membuatkan saya amat mengagumi beliau.

Di samping memahami permikiran beliau melalui penulisan-penulisan beliau, saya juga sering meng"update" setiap khutbah dan forum kuliah beliau melalui program "As-Shariatu wal Hayah" kelolaan al-Jazeera di Youtube. Kebiasaannya, setiap bulan pasti akan ada tajuk perbincangan baru yang diupdate. Namun sejak akhir-akhir ini, agak sukar juga untuk mendapatkan "update" kuliah terkini beliau. Saya pun tak tahu mengapa. 

Contohnya seperti hari ini. 

Asalnya saya mahu mencari rakaman khutbah dan forum kuliah terkini beliau, tetapi gagal. Tetapi alhamdulillah, saya ketemu pula dengan rakaman lain beliau dan setelah mendengarnya, ia begitu memberi kesan kepada saya dan menambahkan kekaguman saya terhadapnya.

Justeru, saya kira, perlu untuk saya kongsikannya dengan para pembaca yang lain agar kita semua mendapat manfaat berguna daripadanya. Secara ringkasnya, video ini merakamkan ucapan Syeikh Al-Qaradhawi di Multaqa Ikhwan al-Muslimin di mana beliau telah menasihatkan kepada kita agar senantiasa mengikut resmi padi .. semakin tinggi, semakin tunduk ke bumi.
Untuk mendengar nasihat beliau selengkapnya, seeloknya perhalusilah setiap ucapan beliau dengan baik. 

Oleh itu, artikel di bawah ini merupakan terjemahan ucapan beliau yang sedikit sebanyak saya usahakan bagi membantu para pembaca yang tidak memahami bahasa Arab. Saya mohon maaf terlebih awal sekiranya terjemahan ini gagal memberikan maksud sebenar daripada ucapan beliau itu. Semoga beroleh manfaat.  



Ketika menangisnya Imam Al-Qaradhawi

Aku ingin mengatakan sesuatu wahai para ikhwah, 

Sesungguhnya kemuliaan dan pujian yang aku telah dengar tidaklah memperdayakan aku dan menipu aku daripada hakikat yang aku ketahui. Demi Allah, aku lebih mengetahui kelemahan dan kelalaian diriku sendiri. Dan sungguh telah berkata Ibn Atoillah di dalam Hikamnya: "Manusia memuji kamu dengan sesuatu kebaikan yang mereka lihat daripadamu. Maka jadilah kamu orang yang sentiasa mencela dirimu sendiri dengan pandangan baik orang kepadamu. Orang mukmin tidak meninggalkan keyakinan dirinya (kelemahan diri) disebabkan oleh tanggapan orang di sisinya". Demi Allah, tanggapan orang kepadaku tidak menyebabkan aku terpedaya daripada mengenali diriku sendiri. Dan aku tahu dengan kemurahanNya, Allah telah menutup (kelemahanku) dengan kecantikan tuntupanNya. Telah berkata Abul Atahiah: "Allah telah mencantikkan kami dengan tidak membuka seluruh kesalahan-kesalahan kami. Maka jika dibuka kesemua kesalahan itu, maka pasti jelaslah ia". Allah tidak menjadikan kesemua maksiat itu memiliki bau sehingga boleh dibau oleh manusia. Aku memohon kepada Allah agar Dia menutup (segala kesilapanku) di akhirat seperti mana Dia menutupinya di dunia. Sesungguhnya aku takut dengan kemuliaan dan pujian seperti ini akan menghapuskan segala pahala dan keagungannya. Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam sahihnya, "Tiadalah seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah, lalu dia diuji dengan ghanimah (harta rampasan perang) kecuali ditangguhkan baginya dua pertiga pahala dan hanya kekal sepertiga sahaja. Namun jika dia tidak diuji dengan ghanimah tersebut, pasti sempurnalah kesemua pahala itu". Dan aku takut wahai ikhwah, daripada pujian-pujian dan ucapan-ucapan saudara (kepadaku) akan menghapuskan dua pertiga pahala itu sehingga meninggalkan sepertiga sahaja. Inilah ghanimah bagi orang yang berilmu iaitu pujian dan kemuliaan orang kepadanya yang akan menghapuskan dua pertiga pahala itu. Jika kemuliaan ini menghapuskan dua pertiga pahala, maka amat rugilah. Dan jika sepertiga yang berbaki itu pula tidak sunyi daripada kelompongan dan keburukkan, maka apakah lagi yang tinggal untuk manusia? 

Ini adalah perjumpaan para pelajar dan sahabat. Saudara mengatakan "Imam al-Qaradhawi". Demi Allah, aku bukanlah ketua dan imam. Aku sedar bahawa aku adalah seorang jundi. Dan sesungguhnya aku adalah seorang pelajar. Aku akan terus menjadi pelajar. Orang berilmu yang sebenar ialah mereka yang senantiasa menjadi pelajar di sepanjang hidupnya, dan aku akan terus belajar dan mencari kerana masih banyak kejahilanku seperti yang dikatakan oleh imam kita As-Syafi'ie rahimahullah: "Setiap kali bertambahnya umurku, aku lihat lemahnya akalku, atau aku lihat bertambahnya ilmuku disebabkan kejahilanku". Dan benarlah firman Allah, "Dan tidaklah kamu diberikan sesuatu ilmu melainkan sedikit", "Dan katakanlah: Wahai tuhanku, tambahkanlah aku dengan ilmu"

Aku belajar dengan beberapa sahabat di pejabat dan banyak yang telah aku pelajari daripada mereka sesuatu yang aku terleka dan tidak tahu mengenainya. Begitulah manusia belajar daripada pelajar-pelajarnya seperti mana kata sebahagian mereka kepada gurunya antaranya mengenai kisah Hud-hud di dalam al-Quran. Berapakah daripada kita yang belajar daripada pelajar-pelajar mereka? Telah berkata para salafussoleh RA: "Seseorang itu akan sentiasa menjadi alim dengan pencarian ilmu. Tetapi jika dia menganggap dirinya berilmu, sesungguhnya dia seorang yang jahil"

Aku berhijrah ke Qatar pada 12 September 1961 dan aku telah ditugaskan sebagai mudir ma'ahad thanawi di sini. Seingatku ketika di ma'ahad dulu, aku telah diziarahi oleh seorang lelaki. Dialah lelaki pertama yang menziarahi aku. Beliau mengatakan, "Aku adalah saudaramu Abdullah bin Ibrahim al-Ansori yang merupakan seorang pelajar di bumi Qatar". Inilah kali pertama aku mendengar seorang alim mengatakan bahawa dirinya seorang pelajar dan aku begitu ta'ajjub dengan ucapan tersebut. Begitulah yang seharusnya dilakukan oleh manusia iaitu menjadi pelajar kepada ilmu .........           

Ini saja terjemahannya. Manakala ucapan selebihnya memasuki perbincangan yang lain. 

................................................................

Kesimpulan yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau ini adalah:

~ Janganlah merasa bangga dan sombong dengan ilmu pengetahuan yang kita miliki kerana hakikatnya ia bukanlah milik kita, tetapi milik Allah. 

~ Tiada siapa yang mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini walau sebesar mana sekalipun gelaran yang diperolehinya. Hakikatnya semuanya datang dari Allah. Kita sendiri adalah bodoh sebelum pandai dan memerlukan bantuan serta dokongan orang lain dalam mencapai kejayaan yang kita kecapi. Dalam erti kata lain, kejayaan dan kepandaian kita bukanlah kejayaan dan kepandaian yang mutlak, tetapi merupakan hasil sumbangan dan bantuan orang lain sebelumnya. Sekiranya kita merasakan bahawa kitalah orang yang paling berilmu, ingatlah bahawa keilmuan yang kita miliki tidak sampai setitikpun dengan lautan ilmu Allah SWT.  

~ Setinggi manapun kedudukan dan keilmuan kita, samada kita berlatarbelakangkan seorang doktor, peguam, jurutera, akauntan, guru dan alim ulama ... sentiasalah memakai pakaian para penuntut. Dengan itu, kita akan senantiasa merasa sedikitnya ilmu dan agungnya orang lain. Bagi mereka yang tidak mempunyai asas agama, dampingilah para ulama dan orang-orang soleh agar kita terkena tempiasnya. Semoga dengan keikhlasan dan kebersamaan kita bersama mereka akan terpancarnya keberkatan dari ilmu dan akhlak mereka sedikit sebanyak pada diri kita. Sebuah syair arab berbunyi: "Serupakanlah dirimu dengan mereka kerana menyerupai orang-orang yang mulia itu membuahkan kejayaan"   

~ Janganlah merasa diri sempurna dan terbaik daripada orang lain. Kalau bukan kerana "hijab" atau penutup yang ditutup oleh Allah, dan kalau sekiranya kelemahan kita boleh dibau dan dihidu .. sudah tentu ramai orang akan membenci dan menjauhi kita kerana busuknya bau-bau kelemahan kita. Tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah, kelemahan dan kejahatan kita masih ditutupi oleh Allah SWT.    

Moga Allah merahmati

0 comments: