Monday, 11 May 2009

Terima Kasih Hakim Abdul Aziz Abd Rahim


[nizar_mahkamah_new.jpg]

Salam perjuangan ...

Tiada kalam yang mampu saya ungkapkan selain mengucap rasa syukur kepada Allah SWT di atas keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. 

Teruslah berdoa kepada Allah SWT agar Duli Yang Teramat Mulia Sultan Perak memperkenankan agar DUN Perak dibubarkan secepat mungkin. 

Namun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai isu yang amat mengembirakan seluruh rakat Perak ini. Lagipun, isu ini telah dan pasti banyak diulas oleh blogger-blogger lain yang saya kira tidak perlulah untuk saya memanjang-manjangkan arus perbincangan ini. 



Apa yang ingin saya sentuh adalah mengenai sebuah analisis yang dibuat oleh seorang tokoh sosialis terkenal, Professor John Esposito yang mengulas mengenai penceburan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia di dalam demokrasi di dalam bukunya ((Islam and Democracy)). 

Menurut kajian yang beliau lakukan terhadap sebahagian besar gerakan Islam di dunia seperti di Mesir, Algeria, Turki dan sebagainya, beliau telah membuat kesimpulan bahawa golongan yang telah mencabul kemurniaan demokrasi bukanlah datangnya daripada gerakan-gerakan Islam, tetapi golongan sekular dan nasionalis.  

Golongan sekular dan nasionalis yang selama ini menganggap diri mereka sebagai jaguh dalam mempertahankan sistem demokrasi inilah sebenarnya golongan yang telah mengoyak-ngoyakkan prinsip demokrasi, kerana mereka tahu bahawa mereka akan kecundang dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh gerakan Islam ini jika prinsip demokrasi terus diperlihara. Untuk mengekalkan hegemoni mereka, maka demokrasi dicabul dan digadaikan dengan begitu rakus sekali.    

Walaupun keberadaan gerakan-gerakan Islam di dalam demokrasi politik dianggap seperti seekor singa yang dipenjara, mereka tetap sabar dan masih tetap menjunjung tinggi undang-undang serta prinsip-prinsipnya. Bahkan berkat kesabaran itulah yang membuatkan rakyat mula bersimpati dengan kezaliman golongan sekular dan nasionalis terhadap apa yang telah diperlakukan ke atas gerakan-gerakan Islam ini.   

UMNO PENCABUL DEMOKRASI MALAYSIA

Apa yang berlaku di Perak khususnya dan di negara kita umumnya sudah cukup untuk membuktikan bagaimana sistem demokrasi negara begitu mudah dicabuli dan diperkosai oleh UMNO walaupun di siang hari. Undang-undang Tubuh Negeri Perak dilanggari, kuasa Speaker langsung tidak dipeduli dan kemuliaan Dewan Undangan Negeri dicalari dengan begitu hebat sekali sehingga membuatkan masyarakat terkeliru akan kesahihan undang-undang yang sebenarnya. Begitu juga mengenai isu pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris, UMNO begitu berani sekali melaksanakannya walaupun ia jelas-jelas bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Tetapi demi untuk menyekat kebangkitan Islam dan kemaraan rakyat, mereka sanggup menggadaikan masa depan generasi muda dan mencabul ketinggian undang-undang.  

Namun apa yang berlaku petang tadi telah menjadi bukti betapa masih terdapat golongan yang tidak sanggup melihat pencabulan undang-undang dan prinsip demokrasi terus dicabuli. Bagi saya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim adalah tokoh yang perlu diberikan sanjungan tinggi oleh kita semua disebabkan oleh keberanian beliau memutuskan keputusan yang benar dalam keadaan sistem kehakiman negara yang telah dicemari oleh najis-najis penyelewengan.

Walaupun seperti yang dinyatakan oleh Prof Salleh Buang, seorang pakar Undang-undang di dalam Asto Awani sebentar tadi bahawa UMNO dan Barisan Nasional mempunyai peluang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan (Appeal Court), tetapi Dr Abu Hassan Hasbullah pula mengatakan bahawa sebaik-baiknya isu ini biarlah ditentukan oleh rakyat Perak sendiri untuk membuat keputusan. Biarlah rakyat Perak yang menentukan siapakah kerajaan yang mereka inginkan, manakala BN dan Pakatan Rakyat perlu akur dengan sebarang kuputusan rakyat selepas itu. 

Justeru, kita mengharapkan sesuatu yang positif daripada Sultan Perak agar memperkenankan kehendak rakyat Perak keseluruhannya untuk membubarkan DUN. 

Adakan Pilihanraya semula di negeri Perak, ini saja jalan yang terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan ini. 

Kalau rakyat sudah memutuskan bahawa Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang mereka inginkan, mengapa perlu UMNO dan Barisan Nasional membuat rayuan lagi? Saya yakin, apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat Perak selama ini adalah demi untuk mempertahankan aspirasi rakyat dan saya juga yakin bahawa rakyat sudah pasti amat gembira dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebentar tadi. 

Tetapi kalau UMNO dan Barisan Nasional masih bertegas lagi untuk membuat rayuan, sedangkan rakyat telah membuat keputusan, bermakna mereka tidak lagi menghormati kehendak rakyat dan tidak lagi berjuang untuk kepentingan mereka, tetapi sebenarnya mereka berjuang untuk kesombongan mereka sendiri.    

Kembalikan HAK DEMOKRASI kepada RAKYAT

0 comments: