Saturday, 28 July 2007

Da'ie, Lisan dan Tangan

Daripada Abdullah bin Umar r.anhuma, dari Nabi SAW bahawa baginda telah bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Orang Islam itu adalah mereka yang menjaga orang muslim yang lain dari lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh Allah SWT”[1]

Hadis ini menerangkan perihal muslim yang kamil. Di antara tanda muslim yang sempurna itu adalah mereka menjaga lisan dan tangan-tangan mereka dari melukai hati dan perasaan muslim yang lain. Mukhotob dalam hadis ini tidaklah tertumpu kepada lelaki muslim sahaja, bahkan ia meliputi muslimat juga.

Didahulukan perkataan لِسَانِه daripada perkataan يَدِهِ kerana kecelakaan melaluinya lebih banyak berlaku dan lebih teruk jika dibandingkan dengan tangan. Manusia sanggup berbunuhan, berpecah belah dan memutuskan hubungan kekeluargaan semata-mata kerana lisan. Kejahatan tangan selalunya akan bermula apabila manusia mula bermusuhan dengan lisan-lisan mereka. Begitulah bahayanya lisan sekiranya kita tidak mampu mengawalnya.

Mencaci Muslim yang lain adalah fasiq

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW memberi amaran kepada mereka yang tidak mengawal lisannya terhadap muslim yang lain. Daripada Abdullah ibn Umar r.anhuma bahawa Nabi SAW telah bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
“Mencaci orang muslim adalah fasiq dan membunuh mereka adalah kafir”[2]
Yang dimaksudkan dengan fasiq di sini adalah keluar dari ketaatan kepada Allah SWT dan yang dimaksudkan kufur pula adalah kufur dari perintah Allah SWT ke atas hak-hak orang muslim yang lain, bukanlah kufur yang hakiki.

Mencaci/menhina adalah salah satu sifat Jahiliyyah

Abu Zar r.a telah berkata:

إِنِّي سَابَبْتُ رَجُلًا فَعَيَّرْتُهُ بِأُمِّهِ فَقَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا ذَرٍّ أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
“Sesungguhnya aku telah mencaci seorang lelaki. Maka aku mededahkan rahsia ibunya. Lalu berkata Nabi SAW kepadaku: Wahai Aba Zar, adakah kamu membuka rahsia ibunya? Sesungguhnya amalan-amalan kamu terhadapnya seperti amalan jahiliyyah..”[3]

Da’ie v. Pemecah belah

Para da’ie sepatutnya memiliki sifat kesempurnaan yang disebutkan di dalam hadis pertama di atas kerana tugas dakwah adalah tugas nubuwwah. Nabi SAW menggunakan pendekatan yang cukup berhikmah dalam menyampaikan dakwahnya. Oleh itu, mereka yang berdakwah dengan perkataan yang berbisa bukanlah seorang da’ie yang sebenar. Allah SWT sendiri menyatakan bahawa sebaik-baik perkataan itu adalah perkataan mereka yang menyeru kepada jalan Allah SWT, iaitu para da’ie.

ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"[4]

Di dalam masa yang sama, Allah SWT sendiri telah menunjukkan manual/panduan berdakwah kepada para da’ie sebagai ikutan buat mereka:

أُدْع إلى سَبِيْلِ رَبّكَ بِالحِكْمَةِ والمَوْعِظَةِ الحَسَنَةِ وجَادِلْهُمْ بالتِي هِيَ أحْسَن
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan berhikmah[5] dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik”[6]

Sebagaimana lidah dan tangan merupakan penyebab kepada kerosakkan sesama manusia, justeru marilah kita menjaga lisan serta tangan-tangan kita dari menjerumuskan manusia ke lembah perpecahan dan kerosakkan. Teguran terhadap sesuatu yang salah juga memerlukan kepada cara yang betul. Cara teguran yang salah tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan merumitkan keadaan dan membuatkan orang yang mendengar bertambah benci dan menjauhi si penegur.
Oleh itu, para da'ie harus menjauhi dirinya dari digelar pemecah belah kerana ia bukanlah sifat yang sepatutnya terjelma dari insan yang bernama da'ie.


[1] Riwayat Bukhori, Kitab al-Iman, Bab al-Muslim Man Salimal Muslimuna Min Lisanihi wa Yadihi (1/10/9)
[2] Riwayat Bukhori, Kitab al-Iman, Bab Khauful Mu’min Ai Yahbutho ‘Amaluhu Wahuwa la Yash’ur (1/83/46)
[3] Riwayat Bukhori, Kitab al-Iman, Bab al-Ma’asi min Amril Jahiliyyati wala Yukfaru Sohibuhu birTikabiha illa bi ash-Syirk (1/59/29)
[4] Fussilat: 33
[5] Hikmah: ialah Perkataan yang tegas dan benar yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang bathil.

[6] An-Nahl: 125

0 comments: