Friday, 6 July 2007

Larangan mengharapkan Mati dan berdoa untuknya ketika ditimpa musibah.

Larangan mengharapkan Mati dan berdoa untuknya ketika ditimpa musibah.[1]

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah sesekali kamu mengharapkan(yatamanayanna) mati kerana mudarat yang menimpa dirinya, sekiranya ada dari kalangan kamu yang mengharapkan juga, maka bedoalah: (Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan ini membawa kebaikan bagiku dan matikanlah aku sekiranya kematian ini memberi kebaikan bagiku)"[2]

Imam Bukhori di dalam hadis yang lain meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Janganlah sesekali kamu mengharapkan mati dan jangan berdoa dengannya sebelum tiba saatnya, kerana apabila kamu mati maka terputuslah amalannya, dan tidaklah bertambah umur orang-orang beriman itu kecuali dengan kebaikan".[3]

Berkata Imam al-Bukhori: "Jangan sesekali kamu mengharapkan mati, sekiranya kamu melakukan kebaikan, maka diharapkan ditambahkan kebaikan itu bagi kamu, dan sekiranya kamu melakukan kejahatan, maka diharapkan kamu bertaubat"[4]

Rasulullah s.a.w melarang kita daripada mengharapkan kematian sekiranya kita ditimpa oleh sebarang kecelakaan. Larangan ini bukanlah larangan biasa(la tamanna) tetapi ia merupakan larangan yg bersangat-sangatan(la yatamannayanna) supaya kita jangan sesekali mengharapkan kepada kematian dalam sebarang musibah yang menimpa kita. Kerana dunia dan seisinya ini diciptakan untuk orang-orang yang beriman dan menjadi tempat bekalan dan semaian utk akhirat kelak, "Dialah Allah yg telah menjadikan bumi ini untuk kamu"[5]. Allah s.w.t telah menjadikan setiap inci perbuatan yang kita lakukan ini sebagai ibadah sekiranya ia dilapit dengan niat kerana Allah. Manusia sepatutnya dari hari ke hari menjadi insan yang terus-menerus matang kerana usia dan masa itu sendiri mematangkan kita sebagaimana bayi dari hari ke hari, bertambahlah pengetahuannya tentang persekitarannya dengan berlalunya usia dan masanya. Usia dan masa itu sepatutnya mendedahkan kita erti kehidupan kita di dunia ini. Maka untuk tujuan itu, wajib bagi semua umat Islam mempelajari ilmu(fardhu ain) kerana kita pasti tidak akan mengetahui hakikat rahsia umur dan masa itu sekiranya kita tidak mempunyai ilmu.

Mana mungkin orang yang tidak kenal akan kematian dan Allah s.w.t akan tahu berZINA itu haram. Mana mungkin orang yang tidak kenal nabi Muhammad s.a.w akan tahu yang berCINTA monyet itu dilarang oleh baginda s.a.w. Maka dengan kejahilan seumpama inilah yang membuatkan manusia menggadaikan usia dan masanya kepada perkara-perkara maksiat dan sayyiah. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis yang kedua di atas bahawa tidak bertambahnya umur orang yang beriman itu kecuali dalam perkara kebaikan. Orang-orang yang beriman itu itu adalah manusia yg terbaik, manusia yang tahu tujuan hidupnya, manusia yang kenal Tuhannya, manusia yang tahu batas halal dan haram dan semua perkara yg diperintah dan ditegah. Itulah sifat-sifat yang perlu ada pada orang mukmin:

"Telah bersaksi Allah bahwa sesungguhnya tiada Tuhan yang lain selain Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat serta orang-orang yang berilmu sama-sama menyatakan demikian" [6]

Sebaliknya, bertambah hinalah bagi mereka yang sudah memiliki ilmu, tetapi masih lagi tidak mampu mengenal batas halal dan haram. Allah s.w.t mewajibkan kita menuntut ilmu supaya manusia mengetahui batas halal dan haram. Dengan sebab itu, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa celakalah manusia yg diberikan umur yang panjang tetapi dimurka Allah dan beruntunglah manusia yang pendek umurnya tetapi diberkati oleh Allah:

"Dan jangan sesekali orang-orang kafir itu menyangka bahwa pemberian tangguh Kami kepada mereka adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya kami beri tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambahnya dosa mereka, dan bagi mereka azab yg menghinakan" [7]

Janganlah kita menjadi seperti kaum nabi Nuh yang panjang umurnya tetapi akhirnya dibalikkan oleh Allah kerana kesombongan mereka. Ambillah contoh seperti Imam Nawawi r.h yang walaupun pendek umurnya, tetapi bekas-bekas ilmunya dinaqalkan oleh umat sepanjang zaman.

Para ulama' mengatakan bahawa MATI adalah daripada sebesar-besar musibah dan bala, ia dinamakan musibah berdasarkan kpd firman Allah s.w.t:

"..lalu kamu ditimpa bala/musibah kematian" [8]

Tidakkah kita takut akan datangnya kematian dan sudahkah kita bersedia untuk berhadapan dengan bala dan musibah seberat itu. Barangsiapa yang mengalami penyakit jantung atau penyakit kritikal yang lain, kesakitannya sudah tentu tidak sehebat ketika di saat-saat akhir tercabutnya nyawa dari tubuh. Rasulullah s.a.w sebagai seorang Rasul Allah juapun mengalami kesakitan yang teramat sangat ketika mana Malaikat mencabut nyawanya, namun dalam keadaan sebegitu, baginda masih lagi berdoa untuk umatnya.

Marilah kita berfikir sesaat, tidakkah kita terfikir saat-saat itu? Tidakkah kita terfikir kesakitan yang dialami oleh Rasulullah s.a.w? Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sekiranya binatang-binatang tahu tentang mati seperti mana yang kamu tahu, kamu tidak akan makan daripadanya binatang yang gemuk-gemuk". Beginilah keadaannya sekiranya kita dipaparkan dengan suasana kematian, ditayangkan dengan keadaan orang yang berada di dalam kubur, divideokan orang-orang yang diseksa di dalam neraka dan sebagainya, sudah tentu kita tidak akan disebutkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Dua nikmat yg sering dilalaikan oleh kebanyakkan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang" [9]

Baginda bersabda lagi:

"Jika kamu tahu apa yang aku tahu, sudah tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis" [10]

Maka inilah hikmahnya Allah menciptakan alam akhirat dan kematian ini sebagai salah satu dari perkara-perkara ghaib supaya Allah dapat mengenali siapakah di antara kita yg benar-benar tergolongan di kalangan "Orang-orang yg beriman dengan perkara-perkara ghaib...".

Kesimpulannya, marilah kita memuhasabah diri kita dalam baki masa yang ada ini. Bahagikanlah masa yang seadilnya untuk nafkah dunia dan akhirat. Sekiranya kita bermati-matian belajar kedoktoran, kejuruteraan dan guaman untuk jaminan nafkah kita di dunia, sudahkah kita menyediakan nafkah kita utk akhirat kelak? Janganlah jadi seperti org tua yang bertongkat berjalan pergi ke masjid untuk mengaut segala nafkah akhirat yg tidak dicari ketika usia mudanya.

Wallahu a'lam ...



[1] Imam al-Qurtubi ada membicarakan perkara ini secara khusus di dalam bukunya, At-Tazkirah fi Usul al-Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, m/s 3, Maktabah Dar al-Hadith.

[2] Riwayat Muslim dalam Kitab az-Zikr

[3] Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Kitab az-Zikr drpd Abi Hurairah r.a dan juga Ahmad di dalam Musnadnya

[4] Dikeluarkan oleh Bukhori dan Imam Ahmad, kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a

[5] al-Baqarah: 29

[6] Ali-Imran: 18

[7] Ali-Imran: 178

[8] al-Maaidah: 106

[9] Diriwayatkan oleh Ibn Abbas dlm Sahih Bukhori

[10] Diriwayatkan daripada Anas dalam Musnad Tailasi

0 comments: