Daripada Ibn Abbas r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Ulama umatku ini ada dua: Yang pertama ialah ulama yang diberikan oleh Allah dengan ilmu lalu dikorbankannya untuk kesejahteraan manusia, tidak mengambil daripadanya sebarang upah dan tidak membelinya dengan harga dunia yang murah. Maka golongan ini akan diminta ampun oleh semua ikan-ikan di laut, binatang-binatang di darat dan burung-burung di udara. Yang kedua pula ialah ulama yang diberikan ilmu oleh Allah, lalu dia kedekut dengan ilmunya untuk kepentingan hamba-hamba Allah, dia mengambil daripadanya upah serta membelinya dengan harga dunia yang murah. Golongan seperti ini akan dikekang di hari kiamat kelak dengan kekangan daripada api neraka, dan kelak dia akan diserukan dengan satu seruan: Inilah orang yang diberikan ilmu oleh Allah, lalu dia kedekut dengan ilmunya untuk kepentingan hamba-hamba Allah, mengambil daripadanya upah serta menjualnya dengan harga dunia yang murah. Demikianlah diiklankan si alim ini sampailah selesai dirinya dihisab oleh Allah SWT ” [1]
Sidang pembaca sekalian,
Hari ini adalah hari di mana Allah SWT membongkarkan kebenaran dari sabda-sabda yang pernah dituturkan oleh Rasulullah SAW sejak 1427 H yang lalu. Kebenarannya terbukti samada melalui penghasilan kajian saintifik dan hakikat realiti yang berlaku di depan mata kita. Ini menunjukkan bahawa setiap sesuatu yang dituturkan oleh Rasulullah SAW bukanlah rekaan dan tipu daya baginda, tetapi merupakan wahyu yang benar daripada Allah SWT, Tuhan pencipta langit dan bumi, yang mengetahui zahir dan yang batin.
Di antara perkara yang benar-benar telah berlaku dan menjadi realiti pada hari ini adalah seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas di atas. Hadis tersebut menjelaskan tentang penyakit yang dihadapi oleh golongan cendekiawan Islam, tokoh sarjana Islam serta ulama-ulama yang sepatutnya menjadi tulang belakang Islam; iaitu penyakit cintakan kenikmatan dunia dan seisinya.
Inilah penyakit yang sedang dihadapi oleh umat Muhammad SAW, umat akhir zaman; iaitu umat yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai satu umat yang ramai bilangannya, tetapi mereka tidak lebih seperti buih-buih di lautan, lenyap dan hilang apabila dipukul ombak.
Hari ini kita berada di dalam suatu zaman di mana umat Islam tidak kenal akan agamanya. Walaupun di bibir mereka masih menuturkan kata-kata salam, syukur dan alhamdulillah[2], tetapi hakikatnya ia tidak lebih hanya sekadar tuturan. Malah apa yang mereka tuturkan menambah kehinaan terhadap Islam kerana reaksi mereka sangat jauh berbeza dari apa yang mereka tuturkan[3].
Islam kita pada hari ini hanyalah Islam pada ibadat dan ritual semata-mata, bukanlah Islam pada siasah dan daulah, ekonomi dan ketenteraan, pendidikan dan pembangunan, akhlak dan jati diri.
Persoalan yang perlu kita tanya, berapa ramai umat Islam hari ini yang menganggap dirinya sebagai sebahagian dari umat Islam yang lain? Berapa ramai di kalangan kita yang menganggap diri kita sebagai agen perubahan kepada kecelaruan yang berlaku kini? Bahkan ramai di kalangan kita menjauhkan diri bila menyentuh soal Islam, tidak peduli tentang hal ehwal masyarakat yang berada di sekeliling kita. Kita menganggap kita adalah kita, tidak ada kaitan dengan Islam. Kita tidak bekerja untuk Islam. Kita tidak menyediakan dan memperlengkapkan diri kita untuk Islam. Kita khayal dengan dunia kita sendiri. Hati dan minda kita tidak ada untuk Islam. Golongan remaja cara remaja. Golongan tua cara tua. Begitulah kita menghabiskan sisa-sisa hidup kita hari ini. Umat Islam hari ini memang umat Islam yang rugi. Inilah yang saya maksudkan bahawa Islam hari ini adalah Islam ritual sahaja. Walaupun kita menunaikan solat, membayar zakat dan mengerjakan perkara fardhu yang lain, tetapi ada di antara kita yang merah telinganya, terbeliak matanya, menggeletar tangan dan kakinya apabila dipanggil untuk bersama ‘ISLAM’, seolah-olah ia merupakan seruan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini yang mengajak mereka ke suatu zaman yang gelap gelita.
Pertembungan Iman dan Kebendaan
Hal ini berlaku kerana ada di antara mereka tidak pernah meletakkan Islam sebagai institusi perjuangan mereka. Mereka meletakkan agama hanya sebagai wasilah untuk mencapai kedudukan di dunia, bukan menjadikan ‘kedudukan’ sebagai wasilah untuk kepentingan agama. Agama terpaksa diletakkan jauh di penjuru sudut hati kerana awal-awal lagi mereka telah memusatkan dunia sebagai matlamat kehidupan mereka.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada dikalangan kita sanggup menjual agamanya dengan harga yang murah semata-mata untuk dunianya.
Golongan seperti ini sanggup mempergadaikan maruah diri dan agama semata-mata untuk menjilat kemanisan dunia yang sedikit. Mereka kedekut dengan ilmu, bahkan menyembunyikannya untuk hidup selesa di dunia. Perkara ini bukan sahaja tertuju kepada para ulama, tetapi kepada seluruh umat Islam di dunia.
Kesannya, lahirlah syaitan bisu yang bertopengkan ulama. Mereka berdiam diri terhadap perkara yang jelas haram di sisi Islam, bahkan sama-sama menyarung jersi bermain bersama pemimpin-pemimpin dalam menghina Islam. Di manakah haibah yang sepatutnya ada pada diri mereka? Sepatutnya mereka menjadi golongan yang dihormati dan disanjungi kerana Islam yang ada pada mereka. Mereka adalah benteng Islam ketika Ia diserang dan dipermainkan. Mereka adalah qudwah bagi masyarakat, berjalan membawa amanah yang Rasulullah wariskan. Tetapi tiba-tiba menjadi pengampu terlampau, bahkan burung kakak tua yang manis bertutur, tetapi sebenarnya tidak tahu apa yang sedang dituturkannya.
Ketahuilah, inilah golongan kedua yang disebut Rasulullah SAW sebagai sehina-hina golongan. Mereka pasti mendapat kekangan api neraka di akhirat kelak kerana kedustaan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Begitu jugalah dengan kerjaya yang lain. Para wartawan tidak jujur dalam menaqalkan berita yang mereka perolehi sedangkan ia merupakan suatu amanah, bukan barang dagangan yang boleh dijual beli. Tidakkah mereka ketahui bahawa telinga mereka, tangan mereka bakal menjadi saksi di akhirat kelak? Nahaslah mereka ketika itu kerana tiada siapa yang dapat menghalang telinga dan tangan mereka dalam memberikan penyaksian di hadapan Allah SWT.
Begitu juga dengan hakim, peguam, jurutera, ahli perniagaan dan para pemimpin, semua ini boleh digadaikan sekiranya mereka menggantikan iman dengan kebendaan.
Hal ini berbeza dengan umat Islam yang lalu. Mereka dahulu adalah umat yang digeruni dan dihormati kerana mereka menjadikan agama sebagai dasar kehidupan mereka. Mereka meletakkan agama di tempat yang tinggi, setingi-tingginya. Mereka tidak menjual agama untuk kepentingan dunia, bahkan segera membina saf untuk mempertahankannya. Mereka hidup sebagai satu umat, bergerak seperti satu badan yang satu. Tidak timbul soal perkauman, bangsa dan negara. Yang mereka bezakan hanyalah wilayah Iman dan kekufuran.
Bekerjalah untuk Islam
Bangunlah wahai umat Islam. Marilah kita bekerja untuk Islam. Bantulah Islam. Zaman ini adalah zaman perincian. Manusia tidak mampu menguasai semua bidang. Kemampuan mereka hanya terbatas terhadap satu-satu bidang sahaja. Sedangkan untuk membangunkan semula thaqafah Islam, khilafah Islam, tamadun Islam .. kita memerlukan pengislahan dari setiap sudut; iman, akhlak, thaqafah, ilmu, teknologi dan berbagai lagi. Islam memerlukan sokongan semua umat Islam. Islam memerlukan kerjasama dan kepakaran seluruh umat Islam. Kerja dakwah bukan hanya terpangku di bahu para ulama, tetapi di bahu semua umat Islam yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.
Wahai jurutera, doktor, peguam, arkitek, cikgu dan semua umat Islam!! bekerjalah untuk Islam. Kemuncak kejayaan kamu bukanlah setelah kamu bergelar Ir, Dr dan Yang Arif, tetapi kemuncaknya apabila kamu mati bersama Islam dan berjuang untuk Islam. Inilah sebenar-benar kejayaan di sisi Allah SWT.
Siapa kata anda tidak boleh menyumbang untuk Islam?
Dakwah Islam adalah dakwah yang universal, bersifat flexsible asalkan matlamat dan caranya selari dengan prinsip Islam. Kepakaran anda adalah dakwah anda. Sekiranya anda mahir dalam bidang IT, gunakan kemahiran tersebut sebagai wasilah dalam berdakwah. Sekiranya anda mampu menulis, luahkan isi hati anda melalui penulisan. Sekiranya anda pandai bersajak, bernasyid dan bersyair, berkaryalah dengan sajak dan syair anda. Semoga dengan seni tutur anda mampu membuat manusia menangis dan kembali kepada Islam. Seorang doktor yang hatinya terpaut kasih dan cinta untuk Islam pasti menjadikan kerjayanya untuk berdakwah. Ilmu tersebut digunakan untuk membuktikan keagungan Allah melalui penemuan sains. Apa guna ilmu setinggi langit dan sebesar gunung sekiranya ia tidak sedikitpun disumbangkan untuk Islam.
Kesimpulan
Ketahuilah! Samada mahu atau tidak mahu, suka atau benci, sebenarnya telah tertanggung di bahu kita sebuah amanah dari Allah SWT; iaitu menyampaikan Islam. Kita semua akan ditanya samada kita telah atau belum melaksanakan amanah tersebut. Tiada seorangpun akan terlepas dari persoalan ini. Persoalannya, sudahkan kita bersedia untuk menjawabnya???
Bekerjalah untuk Agama, bukan Agama untuk kerja
Sedarlah wahai insan abad ke-21
[1] Maksud hadis riwayat at-Tabrani
[2] Menyebut kebaikan dengan kalam disebabkan oleh perkara yang baik secara sengaja dengan jalan memuliakan dan membesarkan, samada ia selari dengan nikmat ataupun tidak. (Tuhfah al-Mureed, Ibrahim al-Laqqaani, m.s 11, Dar al-Kutub al-Ilmiah)
[3] Inilah salah satu golongan munafiq yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
“Di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian. Padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman” (al-Baqarah: 8)
Mereka adalah golongan yang bakal dihumbankan ke dalam neraka yang paling bawah kerana kemunafiqan mereka. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah bagi neraka” (an-Nisa’: 145)
0 comments:
Post a Comment