Sunday, 22 July 2007

Nasihat untuk para Da'ie


Saya ingin menukilkan sedikit kalam Sheikh Syed Ahmad Semait rahmatullahi ‘alaih mengenai penyampaian dakwah. Syed Ahmad Semait merupakan penterjemah bagi ringkasan Ihya’ ‘Ulumiddin – Mau’izatul Mukminin atau Bimbingan Mukminin(Mukhtasar Ihya') di dalam Melayunya. Kitab ini sangat bagus untuk dibaca, bukan sahaja untuk memperbaiki diri bahkan sebagai santapan rohani. Tujuan saya nukilkan kalamnya di sini adalah supaya saya dapat memuhasabahkan diri saya yang begitu lemah ini, juga dapat memanfaatkan orang-orang awam di luar sana yang asyik atau giat melakukan kerja-kerja dakwah. Usaha mereka sememangnya bagus. Hanya Allah sahaja yang dapat nilai betapa tingginya ganjaran yang diberikan kepada mereka. Harap mereka akan terus istiqamah dalam menegakkan agama Allah. Jadi, marilah kita sama-sama memuhasabahkan diri kita dengan membaca sedikit sebanyak mengenai kalam Sheikh Syed Ahmad Semait. Beliau berkata :

“Pada zaman yang akhir-akhir ini, ada sekumpulan orang yang terlampau sibuk dengan tugas tabligh (menyampaikan dakwah) dan keinginan mereka untuk bertabligh serta menyebarkan agama Islam amat merasuk jiwa mereka sehingga mereka sanggup berkorban sesetengah kepentingan dan maslahah diri sendiri semata-mata kerana tabligh. Memanglah tabligh itu adalah suatu tugas yang sangat utama lagi mulia, yang mana setiap orang Islam yang berkeahlian wajib menjalankan tugas itu. Hanya tugas bertabligh itu ada bermacam-macam syaratnya. Dan syarat yang utama sekali ialah bagaimana kita boleh bertabligh kepada diri sendiri sebelum kita bertabligh kepada orang lain.

Orang yang belum melengkapkan dirinya dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama Islam haruslah menganjurkan diri agar mempelajari ilmu-ilmu agama yang wajib itu sebelum melibatkan diri dalam perkara-perkara tabligh. Sebab tabligh itu adalah satu tugas nubuwwah (kenabian) dan si muballigh itu adalah orang yang mewarisi perjalanan Rasulullah SAW dan kerana itu dia tidak seharusnya seorang yang masih jahil dalam berbagai-bagai perkara agamanya.

Orang seumpama ini haruslah terlebih dahulu bertabligh kepada diri sendiri yaitu dengan mempelajari mata pelajaran agama Islam dari guru-guru yang muktabar dan benar-benar mengetahui selok-belok agama Islam. Terutama sekali dalam perkara-perkara fardhu ‘ain. Setelah dirasakan dirinya telah lengkap, barulah dia cuba pula melengkapi orang lain. Kalau tidak, tentulah bahayanya lebih besar dari faedahnya.

Sepertimana saya katakana tadi, si muballigh itu adalah menjunjung tugas mulia yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul. Sedangkan para Nabi dan Rasul pula adalah orang-orang yang dilengkapi Allah dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Tidak mungkin seseorang yang jahil menjadi Nabi atau Rasul. Bagaimana itu boleh berlaku pada dirinya? Bukankah tugasnya ialah untuk membimbing ummat dan mengajar mereka akan hal ehwal agamanya?? Demikian pula dengan seorang muballigh. Tidak patut dia adalah seorang yang tidak berilmu atau orang yang masih cantik ilmu pengetahuannya tentang agama ataupun jadi pak turut belaka. Dia harus belajar terlebih dahulu.”

“Sebagaimana Nabi dan Rasul itu menjadi contoh dan tauladan buat ummat, demikian juga seorang muballigh itu harus menjadi kaca mata dan cermin kepada seumum masyarakat.”

Saudara saudari sekalian, kalam yang saya nukilkan ini bukan semata-mata untuk memburukkan nama ‘Tabligh’, akan tetapi, nukilan ini saya khususkan untuk diri saya terutamanya juga untuk para pendakwah di luar sana. Moga-moga kita dapat mengislahkan diri kita dan sentiasa menunaikan perintah Allah dan menjaga sunnah junjungan Nabi kita SAW. Inshallah wa bi ‘awnihi aminn ya rabb!

0 comments: