Saturday, 28 July 2007

Hidup sempit jika tolak Tazkirah

oleh: Ust Zain Hashim



Tazkirah adalah satu pendekatan yang dianggap penting bagi menyampaikan mesej agama kepada manusia. Ia bertujuan memberi kesedaran tentang hakikat tanggungjawab diri manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada yang makruf (perkara-perkara yang baik menurut pandangan Allah) dan mencegah mereka dari melakukan yang mungkar dan keji.

Peranan serta fungsi tazkirah tidak boleh dipertikaikan sejak wujudnya Nabi Adam a.s. di dunia ini hinggalah ia diperhebat serta dikemas-kini oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Berdasarkan Sirah Nabi Muhammad s.a.w., baginda telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang nabi dan rasul dengan menyampaikan mesej daripada Allah iaitu sebagai penguasa (khalifah) dengan memastikan tazkirah sebagai wadah atau pendekatan yang cukup berkesan hingga ramai di kalangan mereka pada waktu itu yang beraliran jahiliyah bertukar kepada Islam. Ini semua hasil penerimaan mereka terhadap tazkirah yang disampaikan oleh baginda.

Bagi mereka yang menolak tazkirah seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka menemui kesudahan riwayat hidup mereka dengan mati dalam kesesatan dan dimasukkan dalam api neraka Allah di akhirat.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 124 hingga 127 surah Taha yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (menolak) daripada peringatan-Ku (Allah, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah dia, Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam buta, padahal aku dahulu (di dunia) adalah orang celik dapat melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat peringatan Kami, tetapi kamu melupakannya (menolak), dan begitu pula pada hari ini (Kiamat) giliran kamu pula dilupakan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih dahsyat dan kekal (tanpa berhenti).

Jelas daripada penjelasan ayat di atas, memberi kita panduan dan pedoman berguna, bahawa Allah SWT akan menghukum manusia yang ada dalam perasaan hati mereka rasa sombong untuk tidak menerima tazkirah (peringatan) yang boleh memotivasikannya menjadi manusia terbaik di sisi Allah SWT.

Justeru, apabila kita menyingkap kepada peninggalan sejarah generasi silam, kita dapati mereka yang berjaya bergelar ulama adalah mereka yang terdidik dengan menerima tazkirah sebagai alat memajukan mereka sebagai manusia yang sanggup berkorban untuk agama.

0 comments: