Monday 2 July 2007

Manaqib Guru-guruku

Di antara syarat-syarat keberkatan ilmu adalah kita membesarkan para guru kita. Ia tidaklah menjadi kesalahan dan bercanggah dengan syarak, bahkan merupakan suatu perkara yang amat dituntut yang perlu dilakukan oleh para pelajar kepada guru mereka. Ini merupakan satu penghormatan dan kemuliaan yang kita berikan terhadap mereka disebabkan oleh ilmu-ilmu yang mereka miliki, bukan kerana jasad mereka. Dalam erti kata lain, penghormatan terhadap guru juga merupakan suatu penghormatan terhadap ilmu. Manaqib ringkas ini adalah senarai guru-guru saya di dalam pengajian turath sahaja. Pun begitu, penghormatan ini tidaklah tertakluk kepada guru yang disebut di sini sahaja, tetapi kepada semua guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik saya. Sayyidina Ali ibn Abi Talib pernah menyebut:

أنا عبد من علمني حرفا واحدا
"Aku adalah hamba bagi sesiapa yang mengajar aku satu huruf"(Ta'lim al-Muta'allim, Syeikh al-Zarnuji, m.s 16)

Justeru, di atas niat memuliakan guru-guru saya, saya nyatakan secara ringkas manaqib-manaqib mereka. Namun, tulisan tidaklah setanding dengan ilmu yang mereka curahkan kepada saya. Tanpa ilmu yg mereka berikan, mungkin pada hari ini saya tidak dapat merasai kehebatan dan keagungan ilmu-ilmu Islam serta para ulamanya. Semoga Allah SWT mencurahkan rahmat, rezki dan pahala kepada mereka, di atas kepayahan mereka mendidik saya. Terima kasih guruku.

1) Ust Nizam Abdul Kadir.
Beliau merupakan guru pertama saya di dalam pengajian turath. Merupakan lepasan beberapa buah pondok di Kelantan dan Terengganu. Kemudian melanjutkan pelajarannya di Jami'ah al-Azhar dan Master di UIA di dalam bahasa arab. Sekarang merupakan tenaga pengajar di Matrikulasi UIA, PJ. Alhamdulillah, saya berkesempatan mempelajari ilmu Tauhid daripada beliau. Syukran Ust Nizam.

2) Muallim Buang.
Kelahiran & warga negara Indonesia. Lepasan sebuah pondok yg masyhur di Jawa, Indonesia(lupa nama). Beliau adalah guru pertama saya di dalam bahasa arab. Beliau mengajar sy Matan Jurmiyyah yang merupakan kutaib asas di dalam ilmu nahu. Terima kasih muallim.

3) Ust Aspawani.
Beliau pernah dimasukkan ke dalam ISA selama 2 tahun dengan alasan kerana belajar di Pakistan. Semoga Allah SWT menimpakan bala ke atas mereka yang menzalimi mujahid fi sabilillah. Alhamdulillah, saya sempat menuntut dengan beliau Matan Bina wa Asas, sebuah kutaib asas di dalam ilmu sorof. Syukran ust.

4) Maulana Ust Zaharuddin bin Nawi al-Qasami.
Merupakan maulana lepasan Darul Ulum, Deobandi, India ... iaitu pusat pengajian tradisional yg banyak melahirkan tokoh-tokoh agung Islam seperti Maulana Hasan Ali an-Nadwi, Maulana Taqi Uthmani, Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ust Ishak Baharum (x-Mufti Selangor) dan ramai lagi. Beliau baru saje menamatkan thesis Master di dlm bidang hadis. Beliau telah merantau selama 15 tahun (1988 - 2004) semata-mata untuk menimba ilmu. Selain guru, beliau juga merupakan murabbi yg byk mendidik & memberi tunjuk ajar kpd saya. Alhamdulillah, sy berpeluang mendapatkan keemasan ilmu yg dimiliki oleh beliau terutamanya di dlm bidang nahu, sorof, balaghah, usul fiqh & hadis. Semoga keikhlasan ilmu yg diberikan kpd saya akan dibalas oleh Allah SWT dengan pahala yg berlipat ganda. Jazakallah Ust Zaharuddin.

5) Ust Abdullah bin Abu Bakar ad-Dimasq.
Beliau merupakan lepasan pondok di Fatani, kemudian melanjutkan pelajaran ke Mujamma' Kuftaro dan sekarang sedang dalam proses menamatkan thesis Phdnya di UIA dalam Bahasa Arab. Walaupun tak banyak ilmu yg sempat saya kutip dari beliau disebabkan oleh kesibukan beliau, tetapi alhamdulillah beliau banyak memberi semangat kepada saya dalam menuntut ilmu agama terutama ilmu nahu & sorof. Beliau juga yang membuka hati saya berminat untuk menimba sedikit ilmu di Syria. Terima kasih ust Abdullah.

6) Syeikh Ismail Sepanjang (Babo il).
Kelahiran Fatani, Thailand. Beliau merupakan seorang guru yang hebat dan mahir di dalam selok belok agama terutamanya ilmu Tauhid. Alhamdulillah, sy berpeluang mempelajari ilmu feqh, tasawwuf dan aqidah daripada beliau.

7) Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki.
Seorang ulama muda yang hebat dan mursyid di dalam tarikat. Anak murid kepada Syeikh Prof. Dr. Muhaddith Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani, seorang ulama besar Mekah al-Mukarramah yg bersambung nasab sehingga Saidina Hasaan, cucu Rasulullah SAW. Alhamdulillah, sy berpeluang mandapatkan beberapa sanad hadis, zikir, doa dan mempelajari ilmu tasawwuf daripada beliau. Jazakallah Syeikh.

8) Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.
Tak perlu sy perkenalkan beliau lagi sebab semua orang dah kenal beliau. Alhamdulillah, banyak istifadah dan ilmu yang sempat saya kutip daripadanya terutamanya dalam perkara yg berkaitan dengan feqh, hadis, adab-adab dan akhlaq.

9) Ust Harun Ali
Merupakan lepasan pondok Lubuk Tapah, Kelantan (12 tahun) dan kini sedang menuntut di Syria. Walaupun pada mulanya beliau agak berat untuk mengajar saya disebabkan oleh sifat tawaddu'nya, tetapi alhamdulillah akhirnya sy berkesempatan mengutip mutiara ilmu usul feqah daripada beliau. Syukran Ust Harun.

10) Syeikh Mohammad Yasin al-Farashi.
Seorang ulama muda yg hebat. Alhamdulillah, sy juga berkesempatan mengaji ilmu nahu, adab dan sedikit ilmu feqah daripada beliau. Jazakallah ust.

11) Syeikh Fauzi.
Juga seorang ulama muda yang hebat. Alhamdulillah, sy berkesempatan mengaji ilmu mantiq dan sorof daripada beliau. Jazakallah ust.

12) Maulana Prof. Dr. Abu Laith (Pensyarah Hadis di UIA).
Kelahiran India. Lepasan Darul Ulum, Deobandi dan Ummul Qura, Mekah. Alhamdulillah, saya berpeluang menuntut ilmu hadis daripada beliau. Semoga Allah SWT memberikan kesejahteraan kepada beliau ... Amin.

13) Syeikh Prof. Dr. Mustapha Daib al-Bugho.
Kelahiran Syria. Selama saya pergi ke Syria, alhamdulillah saya berpeluang menadah sedikit ilmu daripada beliau ie. feqah as-Syafi'i (Tanwirul Masalik Syrh Umdatus Salik) dan Mukhtasar Sahih Muslim. Walaupun tidak sempat menghabiskan kitab dengan beliau, tetapi dengan keberkatan ilmu yg beliau miliki, saya berdoa agar Allah SWT mencurahkan keberkatan ilmu beliau kepada diri saya ... Amin.

14) Syeikh Abu Yasin.
Kelahiran Syria. Berumur 67 tahun. Mempunyai sanad qiraat al-Quran daripada Syeikh Muhyiddin al-Kurdi, seorang Qurra' Besar Syria yang mempunyai sanad qiraat yg ke 28 daripada gurunya sehingga kpd Rasulullah SAW. Saya juga berkesempatan belajar al-Quran & tajwid dengan beliau samasa berada di bumi Sham. Terima kasih banyak-banyak di atas bimbingan dan tunjuk ajar beliau kepada saya. Semoga Allah SWT melapangi hidup beliau dengan rahmat dan rezki yang melimpah-limpah di atas sedeqah yg banyak beliau berikan kepada kami ... Amin.

2 comments:

Anonymous said...

al-Qasimi bukan alqasami.Diambil dari pengasas darul uloom Maulana Muhammad Qasim Nanautawi

Anonymous said...

Betulkan sikit Deoband bukan deobandi.Maulana Taqi bukan lepasan darul uloom deoband tapi ayahnya mufti syafi` mufti pakistan, anak murid Muhaddis Anwar Shah Kashmiri lepasan deoband. Abul Hasan Ali An Nadawi bukan Hasan An Nadawi.Bekas pelajar Darul Uloom Tok Khurasan, Prof Madya Dr Hayie Abd Syukur,Dr Muhmd Abu Lais Khairabadi, Tok Guru,etc.