Wednesday, 4 July 2007

ISLAM & PEMIKULNYA: Di Mana Kesilapan Kita?

6) Islam itu memerintah dan tidak diperintah:

Sesungguhnya dakwah yang diseru oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah dakwah siasi yang kemuncak matlamatnya adalah untuk memastikan bahawa agama Islam itu tertegak sepenuhnya. Hal ini tidak akan terlaksana melainkan dengan tertegaknya sebuah Daulah Islamiyyah yang meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan yang tertinggi bagi negara. Ini adalah kerana ada sebahagian daripada perintah yang ditetapkan di dalam Islam hanya boleh dilaksanakan setelah terbentuknya sebuah kerajaan Islam seperti undang-undang jenayah hudud dan qisas, sistem ekonomi Islam dan pelbagai lagi. Dengan itu, kesyumulan Islam yang sebenar hanya dapat dilihat dengan terbentuknya sebuah Daulah Islamiyyah.

Sekiranya kita membiarkan Islam tidak memerintah, maka secara tidak langsung Islam akan diperintah. Ini sekaligus akan menggambarkan kehinaan kepada Islam kerana membiarkan agama lain memerintah dan mentadbir dunia dan seisinya. Sedangkan Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Banyak bukti-bukti yang menunjukkan dari perjalanan sirah Rasulullah s.a.w bahawa perjuangan baginda sebenarnya menuju kepada terbinanya sebuah Daulah Islamiyyah. Buktinya, walaupun Rasulullah telah ditawarkan dengan harta dan kedudukan sebagai raja dan penguasa di Mekah sebagai ganti supaya baginda memberhentikan usaha dakwahnya, namun baginda menolaknya lalu berkata:

والله يا عم لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر – حتى يظهره الله أو أهلك فيه – ما تركته

“Demi Allah wahai bapa saudaraku! Seandainya diletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan kerja ini, aku tidak akan sesekali meninggalkannya” (Dr. ‘Arif Khalil Abu ‘Aid, Nizdam al-Hukm Fil Islam)

Dalam kisah yang lain, nabi s.a.w memerintahkan para sahabat berhijrah ke Habshah untuk mendapatkan perlindungan setelah mereka mendapat tentangan yang hebat daripada orang kafir Quraish di Mekah. Baginda s.a.w bersabda:

اذهبوأ الى هبشة فان به ملك لا يظلم عنه أحد

“Pergilah kamu ke Habshah kerana di sana terdapat seorang raja yang tidak akan sesekali menzalimi kamu”


Namun begitu, Rasulullah s.a.w tidak berhijrah bersama para sahabat ke Habshah walaupun Raja Najashi berjanji untuk memberikan perlindungan kepada mereka. Mengapa baginda melakukan demikian?

Para ulama mengatakan bahawa tugas nabi s.a.w bukanlah untuk mendapatkan perlindungan semata-mata, tetapi untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t di atas muka bumi. Bukan juga tugas pewaris nabi untuk mendapatkan perlindungan dan berdiam diri apabila dikecam, apatah lagi sebagai syaitan bisu yang mengampu pemimpin-pemimpin yang zalim, tetapi berdiri teguh menjadi benteng yang mempertahankan kesucian Islam dan kedudukan umat Islam yang tertindas dan dizalimi. Walaupun nabi s.a.w mendapat perlindungan daripada kerajaan Habshah, tetapi baginda s.a.w tidak akan dapat mendirikan Islam di sana kerana struktur pentadbirannya yang dikuasai oleh golongan yang tidak menerima Islam.

Di sini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w inginkan sebuah kerajaan Islam yang bersih dari najis jahiliah yang bekuasa di dalamnya. Kalaulah Islam itu hanya menitik beratkan amalan ritual yang bersifat individu, sudah tentu Rasulullah s.a.w menerima tawaran tersebut dan membiarkan para sahabat melakukan amal ibadah dengan aman tanpa menyeru manusia lain kepada Islam. Gibb berkata: “Dalam keadaan seperti itu nyatalah bahawa Islam bukan sekadar keyakinan agama secara individu, tetapi ia mengharuskan berdirinya sebuah masyarakat yang merdeka ..” (Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, Fiqh Daulah dari Perspektif al-Quran dan Sunnah)

Sekiranya tidak terbentuknya sebuah Daulah Islamiyyah, Islam pasti tidak dapat menonjolkan Hadharah Islamiah yang mereka serukan. Islam juga tidak berkesempatan mempamerkan manhaj keadilan yang mereka laungkan kepada manusia. Islam juga tidak berperanan dalam mempertahankan golongan yang tertindas dan lemah. Islam juga tidak berkemampuan menjadi agama yang unggul dan digeruni. Islam juga tidak akan mampu menyayingi agama-agama lain kerana mereka diperintah, bukannya memerintah.

Yahudi dan Nasrani tidak pernah sesekali meredhai kebangkitan Islam apatah lagi membiarkan agama Islam bertapak menjadi hakim dalam sesebuah negara. Ini jelas berdasarkan daripada kata-kata Philip Fondese: “Ini dia Kristian dan Yahudi telah bangun memerangi Islam, kedua-dua mereka bercita-cita untuk menghancurkan seteru mereka”. (Ust Jalal al-‘Alim, Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya)

Selepas kegagalan Eropah dalam peperangan Salibiah yang pertama yang telah mengambil masa genap dua abad untuk menghapuskan Islam, mereka pulang ke Eropah untuk membuat kajian-kajian yang teliti untuk mencari jalan dan formula-formula bagaimana untuk membanteras Islam dan umatnya, sejak dua abad mereka berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan Islam, kerja-kerja jahat mereka ini didasarkan kepada beberapa pelan antaranya menghapuskan Sistem Pemerintahan Islam iaitulah Pemerintahan Uthamani di Turki. Meskipun pemerintahannya jauh dari semangat Islam yang sejati namun bagi pihak seteru Islam, Islam tetap menakutkan mereka, yang walaupun pemerintahannya berbentuk formaliti dari zahirnya sahaja, kemungkinan boleh menjadi pemerintahan Islam yang hakiki yang boleh mengancam Barat.

Kini peluang keemasan mereka yang mereka usahakan selama satu setengah abad sudah terlihat. Ketika berlakunya perundingan di persidangan Lozon bagi mengadakan perdamaian di antara pihak-pihak yang berperang, maka Inggeris telah mengenakan syarat-syarat berat ke atas Turki, iaitu Inggeris tidak akan menarik keluar askarnya kecuali setelah Turki menerima syarat-syarat berikut:

  1. Turki mestilah memansuhkan pemerintahan yang bercorak khilafah, membuang negeri khilafahnya dari Turki dan dirampas harta-hartanya.
  2. Turki mesti memerangi mana-mana gerakan yang dibangkitkan oleh penyokong-penyokong khilafah Islam.
  3. Turki mesti menghancurkan segala perkara yang berkaitan dengan Islam.
  4. Turki mesti menggantikan perlembagaan baru di tempat perlembagaan yang bersumberkan Islam.

Di sini, Kamal Attaturk telah melaksanakan syarat-syarat yang dikenakan itu semuanya. Semasa Menteri Luar Inggeris Crozon membentang senario yang berlaku di Turki di dalam Parlimen Inggeris, ahli dewan memprotes tindakan beliau itu dan mereka membayangkan takjub mereka, bagaimana Inggeris boleh memberi kemerdekaan kepada Turki, kerana berkemungkinan Turki akan mengumpul semula negara-negara Islam lain dan membuat serangan mengejut ke atas Eropah. Crazon menjawab: “Sebenarnya, kita telahpun melenyapkan Turki, iainya tidak akan bangun lagi selepas ini kerana kita telah melenyapkan dua kekuatan yang ada padanya, iaitu Islam dan Khilafah Islam”. Seluruh ahli dewan menepuk tangan tanda bersetuju. (Ust Jalal al-‘Alim, Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya)

Jikalau kita meneliti keempat-empat syarat yang diberikan oleh Inggeris ke atas Turki di atas, ianya sama seperti apa yang dilakukan oleh kuasa besar Amerika dan sekutunya pada hari ini kepada negara umat Islam. Buktinya, negara Islam seperti Iran dipertikaikan dan difitnah dengan pelbagai tuduhan. Semua organisasi atau gerakan yang berunsur Islam diperangi dan penggeraknya digelar dengan terrorist/pengganas. Semua aktiviti atau gerakan yang mengandungi unsur-unsur Islam cuba dihapus dan dimansuhkan. Akhir sekali, perlembagaan Islam dipinda dan digantikan dengan perlembagaan kafir. Marilah kita meneliti maksud hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

من مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة الجاهلية

“Barangsiapa yang mati tanpa di lehernya bai’ah, maka dia mati dalam keadaan jahiliah” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini membuktikan bahawa umat Islam wajib bersama-sama membangun dan mempertahankan sistem pemerintahan Islam kerana ia merupakan suatu amanah dan tanggungjawab kepada manusia sebagai khalifah. Gunung, tanah dan haiwan semuanya tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab ini selain daripada manusia. Selagi mana kita gagal untuk mengembalikan Islam di tempatnya, maka selagi itulah dunia akan terus diperkosa, manusia diperhamba dan Islam dan umatnya terus dihina. Rasulullah s.a.w bersabda:

اذا ضيعت المانة فالنتظر الساعة. قال كيف اضاعتها يا رسول الله؟ قال: اذا أسند الأمر الى غير أهله فانتظر الساعة

“Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah saatnya. Kami bertanya bagaimana cara amanah itu disia-siakan ya Rasulullah. Rasulullah menjawab: Apabila diletakkan amanah itu selain daripada ahlinya, maka tunggulah saatnya” (Hadis riwayat Bukhori)

Oleh itu, pengabdian manusia kepada Allah tidaklah sempurna sekiranya mereka tidak mengimani bahawa dunia perlu kepada manhaj Rabbaniah.

لا يتم الواجب الا به فهو واجب

“Tidak sempurna sesuatu kewajipan itu kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib”

Oleh sebab itu, saya menyeru kepada semua pendakwah dan penggerak Islam di samping menyeru manusia kembali kepada cara Islam yang sebenar, perlulah ditekankan bahawa perjuangan yang mereka bawa ini bukan sekadar untuk membawa manusia hanya mengenal Allah melalui ibadahnya malah untuk membawa Islam kembali menjadi raja di muka bumi melalui daulah-Nya.

Jauhilah kekeliruan sepertimana yang disebutkan oleh as-Syahid Syed Qutb: Islam yang dikehendaki oleh Amerika dan kepimpinannya di timur tengah, bukanlah Islam yg menentang penjajahan, kezaliman, komunisme tetapi sebenarnya mereka tidak mahu Islam memerintah, mereka mahu Islam yang membicarakan perkara yang membatalkan wudhu’ sahaja, dan bukan persoalan ekonomi Islam, politik Islam, masyarakat Islam dan kewangan Islam.”

Alangkah malangnya, sekiranya para cendekiawan dari generasi muda terutamanya yang mempelajari Islam juga terhanyut jauh dalam suasana tersebut tanpa memahami tuntutan semasa Islam. Kerana itulah, memahami Politik Islam menjadi ‘compulsary subject’ bagi kita samada suka atau tidak, tiadalah kuat Islam tanpa politik dan politik akan hancur tanpa aqidah. Berkata Imam Ibnu Taimiyah:

يجب أن يعرف أن ولاية الناس من أعظم الواجبات الدينية بل لا قيام إلا بها

“Wajib diketahui bahawa kekuasan ke atas manusia adalah sebesar-besar tuntutan agama, bahkan tiada pemerintahan kecuali dengannya” (Ibn Taimiah, as-Siasah as-Syariah fi Islah ar-ra’I wa ar-Ra’iyyah)

Penutup

Kesimpulannya, ini adalah beberapa faktor yang terlintas di fikiran saya berkenaan dengan beberapa perkara yang kita semua harus memberi perhatian terhadapnya. Saya berharap agar artikel ringkas ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca terutamanya kepada mereka yang cintakan Islam. Di dalam suasana yang sangat genting sebegini, saya mengharapkan kita termasuk di dalam golongan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya:

“Akan tetap ada satu golongan dikalangan umat aku yang bangun berdiri menyatakan yang benar, sebagaimana yang diperintah oleh Allah. Mereka tidak boleh diperlakukan oleh orang-orang yang menentang mereka”.

Di kesempatan yang terluang ini, marilah kita memuhasabah diri kita kembali dengan sepenuh keikhlasan kepada Allah ‘Azza Wajalla. Marilah kita tautkan semula ikatan ukhwah dan semangat ta’awun di antara kita. Hapuskanlah sisa-sisa jahiliah yang masih menodai jiwa dan permikiran kita kerana tiada untungnya kita memeliharanya sebaliknya mendatangkan kemudaratan kepada matlamat perjuangan Islam itu sendiri. Terima kasih di atas pengorbanan anda terhadap Islam. Alangkah manisnya perjuangan itu sekiranya ia ditautkan dengan semangat ukhwah dan kasih sayang di antara kita. Segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri dan kepadaNyalah saya bertawakkal.

Pandangan dan teguran yang ikhlas dari hamba yang lemah kepada mereka yang bersedia untuk menerima pandangan dan teguran.

0 comments: